26September2018

UMNO tangani ancaman berita palsu ejen media antarabangsa

Menggunakan pengaruh media tersohor, wujud kumpulan yang berkerja di belakang tabir untuk menggerakkan 'regime change' giat menyerang Malaysia menjelang pilihanraya umum ke 14 tidak lama lagi.

Antaranya Wall Street Journal, New York Times, The Economist dan Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Gandingan kumpulan yang terdiri daripada ahli politik, penguatkuasa, NGO dan media asing ini bekerja untuk memastikan kerajaan negara yang menjadi sasaran mereka tumbang dan boneka pro mereka mentadbir negara.

Ambil contoh operasi untuk menumbangkan Saddam Hussein di Iraq, ahli politik neo-con berbohong tentang senjata pemusnah massa di PBB, dengan maklumat yang kononnya di salurkan FBI dan CIA, sebelum NGO-NGO demokrasi dan hak asasi melobi kerajaan asing masuk campur menggunakan media yang dimiliki mereka.

Semuanya bergerak seiring Saddam digulingkan dengan serangan tentera besar-besaran.

Itu contoh paling ekstrim, ada juga kerajaan yang digulingkan melalui demosntrasi seperti Revolusi Oren di Ukraine, Arab Spring di Mesir dan Tunisia, dan separuh ketenteraan di Libya dan Syria.

Di Malaysia ancaman makin jelas terasa terutamanya dengan penyebaran berita palsu berkaitan 'penyelewengan' 1MDB dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka berbohong secara tersusun dan besar-besaran dengan maklumat dan info palsu bagi mengolah persetujuan orang ramai bahawa Najib telah menyalahgunakan kuasa.

Berikutan itu, Biro Penerangan UMNO kini mengatur gerak kerja bagi menangani berita palsu dan memerangi persepsi yang disebarkan pembangkang menerusi media sosial menjelang PRU14.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata isu yang dihadapi biro itu bukan lagi stereotaip dan mudah diramalkan, sekali gus menuntut PRU14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya itu perlu dikendalikan dengan cara tersendiri.

"Cabaran yang dihadapi kini lebih kompleks, kita tidak boleh nak agak dari segi masa dan apa cerita yang nak direka. Kadang-kadang ada yang menggunakan sumber dari luar negara atau menggunakan agensi atau pihak yang seolah-olah berwibawa," katanya.

Contohnya, beliau berkata ada portal berita kononnya tempatan tetapi sebenarnya adalah ejen media antarabangsa berpangkalan di luar negara, yang mempunyai niat dan agenda tersendiri.

"Mereka ni pakar dalam membuat berita palsu, mereka beli dan menyogok untuk dapatkan berita separa benar dan kemudian mereka putar, mereka ini pengguna media peringkat tinggi yang mempunyai misi. Mereka ada misi tertentu dan bukan hanya satu media yang nak melaporkan berita semata-mata," katanya.

Annuar berkata, ia bukan lagi permainan pada peringkat tempatan, malah sudah menjadi global dengan pihak yang berkepentingan bukan berada di depan mata dan menambah kata, kerajaan akan menjadi mangsa sekiranya ia tidak mempunyai ketahanan serta kaedah sesuai untuk menangkis perkara tersebut.

"Kita tidak boleh dedahkan apa yang kita buat, tetapi yang pastinya kita tidak mahu rakyat terpedaya...rakyat perlu dapat sumber sahih walaupun ia mungkin lebih perlahan daripada berita palsu atau fitnah, yang penting sumber sahih itu mesti diperoleh sebab sekarang ini membina persepsi sudah jadi strategi yang digunakan sepenuhnya oleh mereka yang nak jatuhkan kerajaan," katanya.

"Di luar sana, bermacam-macam maklumat berlegar menerusi medium seperti Facebook (FB), Instagram dan Twitter. Kita memberi tumpuan bagaimana untuk menyampaikan maklumat yang betul kepada mereka ini.

"Bagaimanapun kita tidak terlalu pesimistik. Di luar sana juga ada majoriti senyap yang bukan sahaja siang malam main FB dan kerjanya menyebarkan berita dan sebagainya.

"Masih ramai sebenarnya yang bijak menilai, mereka baca apa yang ada dalam kumpulan WhatsApp dan FB tapi mereka bukan orang yang mudah dipengaruhi.

"Mereka boleh fikir sendiri dan cari maklumat. Sekarang ramai yang dah faham, kalau dapat satu berita, mereka selidik untuk pastikan ia palsu atau benar, bukan dapat berita saja mudah terpedaya dan terus emosi. Kita anggap kebijaksanaan rakyat Malaysia berfikir itu adalah aset," katanya.

Menerusi persediaan yang dilakukan hingga kini, beliau berkata, UMNO dan BN menyasar kemenangan dua pertiga kerusi pada PRU14.

"Sasaran kita nak menang semaksimum mungkin kerana kita nak membentuk sebuah kerajaan yang kuat. Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat. Kalau kita pilih kerajaan yang lepas pilihan raya baru nak bagi-bagi jawatan PM, nak kongsi-kongsi kau dua tahun aku dua tahun, itu kita sengaja terjun.

UMNO dan BN, katanya, sentiasa berusaha mengatasi persepsi, penipuan, kempen membenci dengan penuh kesabaran, justeru parti itu yakin rakyat akan membuat keputusan yang jujur semasa pilihan raya umum nanti.-12/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 419  tetamu dalam talian