24Februari2017

PAS vs PH: Kerajaan lawan kerajaan di Selangor...

Situasi 'cacamarba'  di Selangor selepas PAS yang merupakan parti utama membentuk kerajaan dengan 13 kerusi DUN terpaksa bersaing dalam pilihanraya kecil menentang PAN (dua kerusi DUN berasal dari PAS) PKR 13 DUN, dan DAP 15 yang merupakan gabungan membentuk kerajaan negeri Selangor.

Yang pening adalah pegawai-pegawai kerajaan yang diminta untuk menyalurkan bantuan itu dan ini sempena pilihanraya kecil, mana satu nak tolong.

PAS pulak walaupun tegas dan bersedia hadapi semua risiko nak bertanding juga di Sungai besar diam-diam berharap orang dan pemimpin PKR bantu mereka dari belakang.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad dalam catatan facebooknya berkata banyak pihak dalam PKR yang mahu menolong dan beliau nasihatkan secara diam-diam supaya tidak bermasalah dengan parti.

"(Kawan-kawan PKR) bantulah PAS dalam kempen. Kami alu-alukan sumbangan anda. Persahabatan yang telah sekian lama terbentuk tidak akan terputus disebabkan PAN.," kata Iskandar.

Beliau turut memberitahu lebih 92,000 ahli PAS dari 800 cawangan telah digerakkan untuk membantu parti dalam menghadapi pilihanraya Sungai Besar.

Menurut Iskandar PAN boleh terus menyimpan harapan mereka untuk menggantikan PAS dalam kerajaan Selangor, namun  apapun keputusan dalam pilihanraya kecil pada 18 Jun ini, PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi exco dalam kerajaan negeri itu.

"PAN perlu ingat, PAS, DAP dan PKR yang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, sebelum wujudnya PAN," katanya.

Beliau menjawab desas-desus exco PAS perlu meletak jawatan dan digantikan dengan Amanah sekiranya undi calon Pakatan Harapan melebihi undi PAS dalam PRK nanti.

PAS optimis hubungannya dengan PKR di Selangor tidak terjejas walaupun parti itu menyokong calon PAN pada Pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Mengambil contoh di Britain, beliau berkata kerajaan campuran parti Konservatif dan Liberal Demokrat berjaya mengekalkan kerajaan perpaduan yang dibina selama lima tahun walaupun bertanding dalam beberapa pilihan raya kecil.

"Tiada masalah sebenarnya dan kita sepatutnya mempunyai kematangan politik dalam perkara ini," katanya.

Beliau mengulas kehadiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR pada proses penamaan calon Amanah pada PRK Sungai Besar di Dewan Seri Bernam.

Mohamed Azmin sebelum ini tidak menghadiri majlis pengumuman calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil itu pada Rabu lepas bagi mengelakkan konflik kepentingan dalam kerajaan negeri.

Tiga anggota Exco PAS dalam kerajaan Selangor ialah Iskandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Mohd Zaidy Abdul Talib.

Pada sidang media sama, calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang juga ADUN Meru pula menzahirkan kekecewaannya terhadap tindakan PAN bertanding dalam PRK itu, yang disifatkan 'mengganggu' kerusi parti Islam berkenaan.

"Jika kita berdua mahu menidakkan kemenangan BN (Barisan Nasional), maka mereka (Amanah) tidak perlu bertanding," katanya.

Pada pilihan raya kecil 18 Jun ini, Dr Abdul Rani berdepan pertandingan tiga penjuru dengan menentang calon BN yang juga ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi dan calon Amanah yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.

Sementara itu, mengulas penyertaan beliau dalam PRK kali ini, Azhar berkata 'sentuhan peribadi' merupakan pendekatan yang akan diambilnya semasa berkempen memandangkan beliau sudah biasa mendekati masyarakat setempat.

"Saya sudah biasa mendekati masyarakat di sini (Sungai Besar). Jadi, cara ini akan saya gunakan semasa berkempen,"katanya.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.-6/6/2016


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 903  tetamu dalam talian