21September2017

Mengintai sokongan masyarakat Cina Sarawak kepada BN...

Keputusan akhirnya 7 Mei... tapi tengok kepada ceramah-ceramah SUPP, parti utama masyarakat Cina di Sarawak itu bakal mendapat sokongan lebih besar daripada sebelum ini.

SUPP boleh diibaratkan MCA di Sarawak... parti itu kalah teruk dalam pilihanraya lepas kepada DAP yang mendapat sokongan padu masyarakat Cina bandar.

Tapi itu cerita lama... sebelum Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri.

Tindakan yang diambil Adenan dalam dua tahun pentadbirannya sejak Februari 2014 dipercayai akan menaikkan undi popular SUPP di bandar-bandar.

Adenan dengan 53 langkah transformasi termasuklah keputusan beliau mengiktiraf sijil UEC, memperuntukkan RM12 juta kepada sekolah persendirian Cina untuk tempoh tiga tahun dan tidak menganggap kaum Cina sebagai pendatang.

Selain itu Adenan turut mengumumkan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi kedua bagi Sarawak.

Harapan Adenan adalah supaya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) mendapat sokongan semula daripada pengundi Cina.

Beberapa siri ceramah melibatkan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian melihatkan kehadiran orang ramai.

Salah satunya di DUN Batu Kawah yang sebelum ini dimenangi oleh DAP.

Kawasan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Sim, Christina Chiew (DAP) dan Liu Thian Leong, Bebas.

Dr Sim, 50, yang berjanji akan membawa pembangunan ke Batu Kawah sambil menambah parti menjangkakan ‘persaingan sengit dan garang’.

“Batu Kawah perlu banyak kemudahan dan aktiviti ekonomi dengan itu kita boleh terus maju menjadi bandar satelit, tidak sekadar bandar kecil,” katanya.

Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan hadir mengiringi Dr Sim ke Pusat Penamaan calon sebagai memberi sokongan moral kepadanya.

Christina mengalahkan Tan Joo Phoi juga calon SUPP dengan jumlah undi 7,439.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen cuba main 'reverse psychology' dengan mengakui DAP kali ini sukar untuk menembusi kekuatan BN di bandar - ungkapan yang patut ‘dibaca' dengan rasa curiga.

Kalau ikhlas hatinya, tentu sekali susah bagi DAP menerawang ke luar bandar.

Sedangkan impian DAP untuk meraih 22 kerusi kali ini dilihat agak ‘bercita-cita besar’.

Untuk rekod dalam pilihanraya sebelum ini DAP bertanding di 14 kerusi Cina bandar dan menang 12 daripadanya pada 2011.

Sedangkan di atas kertas, dalam pilihanraya kali ini untuk BN mendapat majoriti dua pertiga iaitu 55 daripada 82 kerusi dijangka tidak sukar kerana dengan PBB dan PRS sahaja sudah cukup mencapainya.

Sedangkan jika kaum Cina enggan memberi undi mereka kepada BN, kekuatan parti kerajaan itu dilihat tidak akan terjejas.

Bahkan kedudukan jawatan Ketua Menteri juga tidak terjejas.

Ini berikutan kawasan majoriti pengundi Cina cuma 16 kerusi sahaja berbanding 82 kerusi yang dipertandingkan.

Berdasarkan angka itu, jangan kata satu pertiga kerusi (jumlah keseluruhan) malahan satu perempat pun tidak mungkin mampu dicapai.

Sungguhpun kedudukan BN di Sarawak dianggap begitu kuat namun Adenan tidak mahu menggunakan kelebihan itu sebaliknya beliau terus mengambil pendekatan mengambil hati khususnya masyarakat Cina dalam era pemerintahannya ini.

Hakikatnya, kerajaan BN Sarawak pada masa ini berjaya melaksanakan dasar yang adil sekali gus membawa kesejahteraan kepada semua lapisan rakyat pelbagai agama dan etnik di negeri itu isu yang tidak mampu diperjuangkan oleh pihak pembangkang.

Dalam perkembangan sama SUPP mahupun UPP seharusnya melupakan perbezaan pendapat antara dua parti itu buat sementara waktu ini memandangkan setiap keputusan melibatkan pengundi Cina pada PRN Sarawak kali ini disifatkan sebagai amat penting.

Sedikit sebanyak keputusan yang bakal dibuat oleh pe­ngundi Cina di Sarawak pada 7 Mei ini akan mempengaruhi hala tuju dan masa depan negeri berkenaan secara keseluruhan kerana kaum Cina juga adalah salah satu komuniti terpenting di negeri tersebut.

Pada hari pengundian mereka ada dua pilihan sama ada mahu berganding dengan Adenan dan BN atau memilih menolak parti kerajaan itu.

Apa pun seperti yang dimaklumkan sebelum ini apa jua keputusan pada hari tersebut pastinya tidak akan dapat menggugat kedudukan BN.-26/4/2016 OLEH HELME HANAFI


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 961  tetamu dalam talian