24Februari2017

Kisah Husam dari 'kesayangan' kepada 'terbuang' dalam PAS...

Ingat lagi kisah bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang berucap dalam satu majlis anjuran Parti Amanah Negara (PAN) awal Januari lalu... ?

Husam menyertai dan berucap di Majlis Makan Malam PAN Kelantan pada 1 Januari di Petaling Jaya dan menyertai majlis DAP di Johor pada malam keesokkannya.

Ketika ditanya apakah beliau tidak takut sebagai ADUN PAS hadir majlis PAN dan DAP, kata Husam beliau tiru Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sepentas dengan Perdana Menteri datuk Seri Najib Razak.

Ada orang PAS yang geleng kepala dengar alasan Husam... dah rasa diri dia setaraf Presiden PAS rupanya.

Husam adalah kisah sedih dalam PAS... pernah jadi anak kesayangan, bintang harapan dan disebut-sebut akan mewarisi kepimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat mentadbir Kelantan.

Daripada 'anak kesayangan' Husam yang merupakan ADUN Salor Kelantan kini 'anak terbuang'...

Lepas kalah bertanding Parlimen Putrajaya pada pilihanraya ke 13, Husam sedar-sedar beliau disingkirkan daripada barisan kepimpinan kerajaan Kelantan.

Beliau tidak dilantik semula sebagai Exco kanan dan paling 'menyayat hati' idolanya Nik Aziz tidak membela Husam seperti kelazimannya.

Kelantan tiba-tiba jadi negeri asing pada Husam.

Sejak itu Husam selalu 'geletek' PAS dari dalam... ada saja tindakannya yang menyusahkan PAS Kelantan.

Beliau soal itu ini berkaitan hal balak dan hasil negeri.

Sebagai Exco yang pernah jaga balak, Husam arif benar mengenai 'sepak terajang' PAS Kelantan berkaitan sumber alam itu.

Berbeza dengan kawan-kawan lain, selepas kalah dalam muktamar PAS lalu, orang seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayob, Khalid Samad, dan beberapa lagi yang selalu tidak sebulu dengan kepimpinan ulama PAS memilih keluar parti.

Husam terkontang kanting di Kelantan... masih kekal sebagai ADUN Salor dan YDP PAS kawasan Kubang Kerian tapi jarang kelihatan dalam majlis anjuran kerajaan negeri.

Beliau khabarnya tidak sihat sejak setahun lalu dan masih dalam proses berubat.

Walaupun kurang majlis di Kelantan dan lama menyepi, dalam majlis makan malam PAN baru-baru ini, Husam disambut bak pahlawan, beliau bahkan diberikan pentas untuk berucap walaupun masih merupakan pemimpin PAS Kelantan.

"Husam senang diterima dan dikelilinggi rakan-rakan dalam majlis PAN..." kata seorang rakan penulis yang hadir dalam majlis PAN itu.

Agak janggal pada Husam untuk tidak mengikut jejak MP Tumpat Kamaruddin Jaafar dan MP Kuala Krai Dr Hatta Ramli yang keluar PAS walaupun terikat dengan sumpah talak isteri.

Ramai tahu idea sumpah cerai isteri semasa keluar parti itu walaupun dari dari Nik Aziz tapi dipersetujui dan dilaksanakan oleh Husam.

Kini bintang Husam sebagai pemain politik terus malap.

Duduk dalam PAS dan tiada fungsi sementara kawan-kawan lain dah tukar kapal.

Yang terbaru... kerana Husam juga PAS mengeluarkan pekeliling bagi melarang ahlinya daripada bekerjasama atau terlibat dengan mana-mana aktiviti PAN dan DAP di semua peringkat, demi memelihara keutuhan dan perpaduan parti Islam itu serta mengelakkan pelanggaran perlembagaan parti.
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, arahan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Januari lalu.

Bagaimanapun, ahli PAS yang ingin menyertai aktiviti politik anjuran parti politik yang bukan membabitkan kedua-dua parti politik itu boleh berbuat demikian dengan mendapat kebenaran Jawatankuasa Pusat.

"Ahli-ahli PAS dilarang mengambil bahagian, melibatkan diri, bekerjasama atau menyertai sebarang program atau aktiviti PAN dan DAP di semua peringkat.

"Ahli-ahli PAS perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum menghadiri sebarang jemputan program/aktiviti politik dan seumpamanya dari mana-mana parti politik lain (selain dari PAN dan DAP yang dilarang terus sebagaimana (i) di atas,"  menurut pekeliling yang dikeluarkan PAS, bertarikh 9 Januari.

Pekeliling itu ditujukan kepada setiausaha perhubungan PAS negeri dan Wilayah Persekutuan dan dewan-dewan peringkat pusat untuk disampaikan kepada ahli di peringkat bawah.

Husam menyertai dan berucap di Majlis Makan Malam PAN Kelantan pada 1 Januari di Petaling Jaya dan menyertai majlis DAP di Johor pada malam esoknya.

Berdasarkan arahan itu, ahli dan pemimpin PAS boleh menyertai program mana-mana parti politik, termasuk UMNO dengan syarat mendapat persetujuan parti, tetapi tidak boleh sama sekali menyertai program anjuran PAN dan DAP.-11/1/2016

 



Steadylah Husam…terus geletek PAS dari dalam

 

Siapa sangka Datuk Husam Musa terus bertahan sebagai ahli PAS yang ‘cukup istimewa’.Kalau ikut norma biasa disiplin dalam mana-mana parti politik beliau sudah lama kena tendang keluar.

Namun bekas Naib Presiden PAS yang melalui zaman malap dalam karier politiknya kini dari hari ke hari terus ‘buat lawak’ geletak parti itu dan kepimpinannya dari dalam dengan gelagat ikut suka hatinya.

Terbaru ialah hadiri dan berucap di majlis anjuran parti Amanah di Petaling Jaya Jumaat malam.Mat Sabu dan gengnya tentu sekali cukup gembira dengan kemunculan Husam dari parti lawan sebagai ‘penyeri’ pada pentas majlis mereka.Ia ibarat contoh orang kuat UMNO muncul dan berucap di majlis anjuan PKR.

Baru-baru ini bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Saifuddin Abdullah yang buat perangai telah mendapat kad merah dari UMNO kerana menghadiri majlis anjuran Pakatan.Ini bukan pertama kali Husam yang isytihar tetap nak kekal dalam wadah PAS uji kesabaran parti dan kepimpinanya.

Sebelum ini beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Salor di Kelantan berlagak macam ‘ tukang tembak’ rambang tidak bertuan dalam parti.

Senapangnya juga dihalakan pada Presiden Datuk Seri Haji Hadi Awang. Mengenai ‘ lawak’ terbarunya menghadiri majlis parti serpihan PAS,Husam membela dirinya gunakan alasan Hadi hadir satu pentas dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis anjuran alumni bekas pelajar Al-Azhar di Kuala Lumpur bulan lalu.

Dakwanya beliau hanya ikut jejak langkah Presiden PAS.

Husam yang dipercayai seolah menyindir kata beliau yakin tidak akan dipecat dari PAS kerana menghadiri majlis anjuran parti Amanah itu.Beliau juga umum tidak akan menyertai Amanah dan hendak kekal dalam PAS sebagai respon pada suara kalangan hadirin agar beliau lompat masuk dalam kapal Mat Sabu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan orang kuat DAP Lim Kit Siang.

Bukan setakat itu,malah di majlis berkenaan Husam umum beliau akan ikut serta roadshow bersama Lim Kit Siang anjuran Pakatan untuk tibai UMNO/BN.

Tindak tanduk tebaru Husam ini telah mencetuskan sikit polimek. Ketua Dewan Ulama Datuk Dr. Mahfodz Mohamad menyifatkan adalah tidak wajar Husam menyamakan kehadirannya dengan jemputan yang diterima Presiden PAS hadir di majlis alumni bekas pelajar Al-Azhar.

Menurutnya majlis yang dihadiri Hadi dianjurkan oleh persatuan tertentu, sedangkan Husam hadir dalam program anjuran seteru politik mereka.

“Jadi tidak bolehlah hendak membuat andaian sendiri dan hendak membuat kias sendiri yang dia (Husam) boleh hadir ke majlis musuh politik PAS sedangkan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 itu bukan anjuran UMNO tetapi dianjurkan oleh bekas-bekas pelajar (Alumni Universiti Al-Azhar),” katanya.

Mahfodz dalam pada itu menegaskan kehadiran Hadi pada majlis Disember tahun lepas telah pun dirujuk ke PAS Pusat terlebih dahulu.

Berbeza dengan Husam yang tidak merujuk terlebih dahulu kepada PAS Pusat.

“Sepatutnya (Husam) tidak boleh menyamakan keadaan beliau dengan Presiden PAS, kerana (Datuk Seri Abdul Hadi) hadir itu telah diputuskan oleh PAS Pusat, mereka hadir ke Multaqa itu pun dimaklumkan kepada AJK PAS Pusat.

“Husam pula tidak maklum, jadi dia buat kias sendiri, jadi kiasnya itu tidak betul dan hendak disamakan dengan Presiden PAS,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mahfodz berkata, tindakan Husam itu juga membayangkan kedudukannya sekarang dalam PAS.

“Jadi itu sudah ada petanda-tanda yang dia sudah tidak jelas kedudukannya. Pasal kalau dia memang betul-betul sayangkan PAS sedangkan Amanah itu tidak sehaluan dengan PAS, tambah pula mereka yang keluar daripada PAS, jadi sepatutnya dia tahulah,” katanya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua anggota PAS tidak dihalang menghadiri mana-mana jemputan selagi ia selaras dengan pendirian parti.

Bagaimanapun, katanya mereka perlu memastikan majlis yang dihadiri itu boleh membawa kebaikan kepada parti.

Tuan Ibrahim berkata kebiasaanya PAS akan menilai setiap jemputan yang diterima, dan perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat dalaman parti untuk menimbang kehadiran mana-mana anggota ke majlis berkenaan.

Selain itu, katanya anggota PAS turut bertanggungjawab mempertahankan parti daripada segala tohmahan buruk pihak luar terhadap parti itu

"Adalah menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk mempertahan tohmahan buruk pihak di luar parti dan membetulkan persepsi terhadap parti," katanya.

Apa yang jadi tandatanya sekarang apakah PAS akan bertindak terhadap Husam yang dikatakan jelas sudah langgar sempadan dan disiplin parti?Ada sumber dalaman PAS yang menduga parti itu akan biarkan Husam terus ‘syok sendiri’.“Kita tengok sudah berapa lama dia nak main sandiwara ini,”katanya.- 3/1/2016


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 910  tetamu dalam talian