24Februari2017

Kisah Dr Mahathir 'Juara U-Turn'...ini bukan mimpi

 
Tun Mahathir Mohamad kena tengok kiri kanan depan belakang kalau merasa tersinggung dan nak marah Datuk Najib Tun Razak nobatkan beliau sebagai 'Juara U-Turn'.
 
Mereka yang mengenali stail Perdana Menteri kata memang susah beliau main-main nak cakap begitu tak bersebab...apa lagi orang itu bekas bosnya yang ada status negarawan.
 
Sebenarnya bukan semua orang politik yang bersara secara umum diterima tergolong status itu.
 
Sebaliknya menyingkap balik caranya yang sukar goyang semasa pemerintahan 22 tahun ramai yang terasa macam mimpi di siang hari melihat gelagat beliau yang agak ' cacamarba' akhir-akhirnya ini.
 
Satu demi satu U-Turn @ alias korner baring.
 
Ada yang menilai kemuncak U-Turn Dr Mahathir bila beliau pada majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam Sabtu malam lalu bila tiba-tiba 'mengsucikan' pemberian BR1M...23 hari selepas mati-mati kata pemberian orang kerajaan itu satu rasuah dan salah disegi undang-undang.
 
Sekalipun cuba lapik U-Turn itu pasal BR1M itu dengan mengatakan ia akan dijadikan bantuan berkanun berlandaskan undang-undang dan bajet jika pembangkang menang namun semua orang sudah dapat ' baca' maksud dihati.
 
Mungkin beliau baru tersedar dakwaan karutnya pada niat baik kerajaan hendak bantu golongan berpendapatan rendah menerusi BR1M telah mencetuskan kemarahan ramai pihak dan boleh menjejaskan agenda politik pembangkang.
 
Kata orang dalam politik tidak ada yang mustahil.
 
Dr Mahathir telah membuktikan kebenaran kata-kata keramat dalam politik itu.
 
Siapa sangka beliau akan 'mengsucikan'  Datuk Seri Anwar Ibrahim ,orang yang beliau dengan tegas pernah kata tidak layak jadi Perdana Menteri sebelum menyingkrinya.
 
Ini kerana melalui siasatan yang dilakukan sendiri beliau sudah amat yakin bekas timbalannya itu elakukan perbuatan-perbuatan tidak bermoral (yakni dengan lelaki dan wanita.)
 
'Saya menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal politik, pertentangan pendapat dengan saya atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya yang rendah.

''Perbuatan yang dilakukan oleh Anwar tidak dapat diterima oleh saya, tidak dapat diterima oleh parti saya dan tidak dapat diterima oleh negara ini.'' itu kata-katanya sendiri.

Bayangkan orang yang kini sekali lagi menjalani hukuman penjara kerana bersalah meliwat didakapnya balik sebagai rakan politik semata-mata dengan nawaitu untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan BN.
 
Jadi apa nak hairan kalau beliau kini cukup erat dengan Lim Kit Siang ,orang yang pernah berulang kali dicopnya sebagai rasis.
 
Malah di media sosial sudah tersebar senarai antara U-Turn yang dilakukan setakat ini: 
 
 
Mahathir JAGUH U-TURN bukan sebab BR1M saja, tapi banyak sebab. Antaranya -

1. Dulu dia kata Dap dan Lim Kit Siang rasis, cauvinis, anti Melayu, anti Islam sekarang dah kawan baik, tak rasis tapi dia yang bodoh dan buta selama lebih 22 tahun ini.

2. Anwar itu peliwat, tak amanah, salah guna kuasa, penjenayah, tak layak jadi pemimpin, proksi Barat, sekarang dia terima Anwar dan Anwar tiba2 jadi bersih dan layak memimpin bersama dia.

3. Demonstrasi jalanan macam Bersih melanggar undang2 dan tidak demokratik, dibiayai Yahudi seperti Soros, sekarang dia sendiri join demonstrasi jalanan dan bawak puak2 Pribumi yang dulunya maki peserta Bersih untuk sama2 ke jalanan.

4. Media Barat tidak boleh dipercayai dan sengaja mencari jalan untuk memburuk2kan pemimpin negara, sekarang berita Media Barat termasuk yang memburukkan dia dan negara pun jadi rujukan dia.

5. Portal dan blog pro pembangkang adalah alat penyebar fitnah, sekarang berita dari Sarawak Report dan blog pro pembangkang pun jadi sandaran untuk membuat dakwaan dan fitnah.

6. Pelaburan asing baik untuk negara termasuk dari China, sekarang pelaburan asing jadi alat untuk menjajah negara dan negara akan tergadai kerana pelabur asing China.

7. Institusi Kehakiman adalah bebas, sekarang dia gambarkan seolah2 ia tidak bebas

8. Campur tangan asing perlu ditolak, sekarang Khairuddin dan Matthias pergi merata menjemput campur tangan asing dan dia tak larang dan halang.

Ada sesiapa boleh lawan JAGUH U-TURN ni?
 
Dalam padfa itu ada juga pemerhati politik yang mengaitkan gelagat U-Turn ini dengan sikap ' super ego' Dr Mahathir.
 
Beliau dikatakan sanggup bakar kelambu demi untuk capai apa yang dihajatnya untuk kasi bungkus BN.
 
Maka terpaksalah kaedah 'U-Turn' menjadi pilihannya.
 
Kini semua tertunggu-tunggu apakah beliau akan korner baring pula mengenai isu ibadah haji tajaan Yayasan 1MDB. 
 
Dr Mahathir sudah membuat 'fatwa' menjatuhkan hukum tak mabrur bagi mereka yang mengerjakan Rukun Islam kelima itu melalui wang Yayasan 1MDB.
 
Walaupun 'empunya diri' iaitu 1MDB telah tampil menjawab pembohongan Mahathir berkenaan, namun Pengerusi PPBM tersebut tetap ego mempertahankan tuduhan tidak berasasnya itu.
 
Entahlah...apakah beliau buat-buat lupa semasa Datuk Seri Mukhriz Mahathir bergelar Menteri Besar Kedah, anaknya itu pernah turut mencadangkan 20 nama untuk Yayasan 1MDB bantu mengerjakan ibadah haji.
 
Soalnya, adakah 20 nama yang dicadangkan Mukhriz itu juga tidak diterima ibadahnya? 
 
Kenapa pula Dr Mahathir tidak mahu bersuara dalam perkara ini?

Mungkinkan Mahathir menunggu mereka  yang mahu 'semak status' kemabruran haji datang bertemu dirinya?
 
Bagi Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad bekas Perdana Menteri itu mempunyai sikap mengubah pendiriannya dengan kenyataan berbeza-beza.
 
Ia termasuklah kenyataan tentang kemasukan lebih 700,000 warga China ke negara ini dengan pelaksanaan projek Forest City di Johor.
 
“Bagaimana Mahathir berkata projek Forest City itu akan membawa lebih 700,000 warga China?
 
“Sebelum ini kita dimomokkan 700,000 warga China akan digunakan kerajaan BN yang jahat ini untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.
 
Justeru, tindakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengkritik Mahathir mempunyai kebenarannya, kata Shahrir.
 
Sultan Johor mendakwa bekas Perdana Menteri itu cuba memainkan 'politik perkauman' mengenai pelaburan China dari negeri itu.
 
Mahathir juga pernah mendakwa warga China berkenaan akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada PRU14.
 
Apapun Shahrir gembira apabila Mahathir berkata akan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika pembangkang menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.
 
“Saya gembira BR1M diterima oleh Mahathir yang pada mulanya berkata ia sebagai rasuah dan dedak. Jelas Mahathir sering buat U-turn,” katanya.-18/1/2017- OLEH HELME HANAFI

loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 872  tetamu dalam talian