30Oktober2014

James Bond dan jam Omega...

skyfall_
skyfallcokee
skyfall-sony-personal-q
skyfall-vanityfair

Menonton James Bond, pada kebanyakkan kita, bukan lagi kerana kelainan jalan ceritanya, kita tahu ia akan tampil begitu, begitu juga.

Tetapi Bond, selepas 50 tahun sejak kali pertama muncul dalam novel Ian Fleming, 1953, adalah lebih dari sekadar filem, ia merupakan jenama, atau lebih luas lagi adalah fesyen.

Sebab itu ramai yang berlumba untuk melihat filem tersebut setiap kali ia ditayangkan, kita akan rasa ketinggalan, jika ada rakan yang menonton lebih dahulu.

Bond, membangkitkan rasa, 'close to glamour'.

Agen rahsia dengan misi menyelamatkan dunia, perempuan cantik, kenderaan mewah, tampil penuh gaya, adakalanya dramatik, dengan wang bukan soalnya.

Menonton filem terbaru James Bond, Skyfall, pada hari pertama tayangannya di Malaysia, semalam, memberikan saya satu perspektif baru tentang filem perisikan itu.

Melihat James Bond dan Skyfall luar dari kerangka sebuah filem.

Dari segi penceritaannya, Skyfall, filem ke 23 James Bond, tidak lagi berperang dengan musuh luar, organisasi pengganas atau komunis/blok Timur seperti filem-filemnya sebelum ini.

Filem arahan Sam Mendes (Revolutionary Road,) adalah tentang musuh dalaman, pengkhianat negara yang merupakan bekas agen 00, pertembungan antara pemikiran lama dan baru, peperangan dalam diri sendiri.

Babak pembukaan Skyfall tetap sama dengan filem-filem sebelum ini, aksi kejar mengejar di Istanbul, selepas hard disc yang mengandungi senarai nama perisik NATO dalam organisasi pengganas jatuh ke tangan musuh.

Kejar mengejar dari kereta, ke motor, dalam kesesakan bandar, kesibukan pasar, lompat naik keretapi, 007 tertembak oleh agen lain, lalu jatuh ke sungai dan hilang.

Tiada apa yang baru tentang Skyfall sekurang-kurangnya 15 minit pertama tayangannya.

Kecuali lagu tema nyanyian Adele yang sungguh merdu dan montaj post-moden yang membawa makna berlapis-lapis.

Daniel Craig, yang jadi 007 untuk kali ketiga dalam sejarah Bond, terasa jauh dari susuk 007 yang kita kenali dalam novel Ian Fleming.

Bond dalam novel Ian Fleming adalah lelaki yang memberikan inspirasi, pembunuh berlesen yang 'bold dan courage'.

Sebaliknya Craig, dalam Skyfall, lelaki yang keliru, ketagihan alkohol, berpoya-poya ketika 'menikmati kematian' selepas 'missing in action'.

Hanya setelah pejabat M-16, perkhidmatan rahsia England diletupkan dan sejumlah agen mati, barulah Bond muncul tiba-tiba di rumah M lakonan Judi Dench, dan mahu bekerja semula.

Ada beberapa pembaharuan, pertama, watak Q, yang sinonim dengan lelaki tua, berkot putih dan mencipta sejumlah gajet canggih, kini diganti oleh lelaki muda, Ben Whishaw, (amat muda).

Kedua, setiausaha M, Eve Moneypenny (yang telah ditiadakan dalam beberapa filem Bond akhir-akhir ini) 'dibangkitkan' semula dan kali pertama dipegang oleh wanita kulit hitam, lakonan Naomie Harris.

Kali pertama juga, James Bond tidak menyebut catchphrase Ian Fleming "Shaken, not stirred".

Pergelutan Bond, M, dan M-16, dalam Skyfall adalah mengenai pengkhianat dalaman, bekas agen M-16, yang menyimpan dendam terhadap M dan berhasrat membunuhnya.

Raoul Silva dalam lakonan Javier Bardem cukup berkesan sebagai antagonist.

Lakonan mantap Javier Berdem seperti yang dia tunjukkan dalam Love in the Time of Cholera dan No Country for Old Men (2007) memberikan roh kepada Skyfall.

Silva menjadi pengganas siber, yang menyerang M-16, hanya kerana dendam lama, selepas dikhianati oleh M, yang dalam kata-katanya sendiri "melaksanakan tugasnya...".

Dari Istanbul ke Macau dan sebahagian besarnya di London, James Bond kali ini tampil dengan syarahan patriotik berlebihan, baik melalui 007, atau M sendiri.

Apakah ia mengujakan sebagai sebuah filem, pada saya tidak sama sekali, ia hanya pada taraf sekuel The Bourne sahaja dari segi jalan cerita.

Apa yang menyebabkan Bond mendapat pujian melangit, dari akhbar dan media seluruh dunia, jawapannya adalah jenama.

Bond yang perlu dilihat sebagai bukan hanya sekadar filem perisikan baik melawan yang jahat, tetapi ia merupakan duta masyarakat kapitalis.

Kita tahu, falsafah masyarakat kapitalis adalah wang bukan soalnya jika ia berbaloi.

Bagi mereka jika perlu untuk menghancurkan lima buah kenderaan dengan nilainya RM1juta, untuk ditonton dan diingati oleh 300 juta penduduk dunia, orang KL kata "tak ada hal..."

Dalam Skyfall, satu babak kejar mengejar di atas keretapi di Istanbul, beberapa buah kereta Volkswagen dihancurkan dengan Bond hanya perlu menyebut... "I dunno, I think it was a VW Beetle".

Juga Bond, beberapa minggu terakhir ini, dan seterusnya sehingga tahun baru, barangkali, terasa dekat dengan kita, melihatkan pada iklan di TV, mendengar lagunya di radio, di billboard besar Bond dan jam Omeganya dekat Bukit Bintang dan KLCC.

Omega antara jenama besar yang menaja filem Skyfall, ia adalah contoh bagaimana kejayaan penajaan filem ala kapitalis.

Bermula dari Golden Eye (1995) Omega dan edisi khasnya Seamaster dijual puluhan ribu unit gara-gara filem tersebut.

Sejak itu, Omega menjadi jam James Bond. Ingat Omega, ingat Bond, kecuali barangkali di Malaysia, di mana apabila kita sebut jam Omega, orang lebih ingat Anwar Ibrahim. (muahaha)

Bond ada di mana-mana musim ini.

Selain Omega, untuk minuman ringan, penaja utama Skyfall adalah Coca-Cola, tunggulah, anda akan lihat, Bond minum coke dalam iklan di kaca-kaca TV Malaysia tidak lama lagi.

Sony juga tidak ketinggalan merupakan penaja besar Skyfall, mengutip kata-kata Craig sendiri, dalam satu temubual dengan majalah Vanity Fair, kejayaan James Bond adalah kerana publisiti meluas yang diperolehi dari penajaan.

"Penaja membayar jutaan dollar untuk melariskan produk mereka dengan menampilkan Bond sebagai 'testimonialnya'," kata Craig dalam interbiu utama dengan majalah berpengaruh itu.

Beliau memberikan contoh mengenai penajaan Heineken... "Heineken beri kita  satu tan wang hanya untuk mengambil hanya satu shot gambar Heineken dalam bar. Ia mudah bukan, hanya di shot dan dibelakangnya botol Heineken . Tanpa mereka (penaja) filem ini tidak dapat dijual..."

Ya semudah itu dan sudah semestinya, Craig, penghias muka depan Vanity Fair bulan November.

Kapitalis utama dunia, berpakat untuk menyokong filem perisikan tersebut, menaburkan wang bagi iklan dan publisiti, sehingga menjadikan Bond seolah-olah sebahagian dari hidup kita -untuk musim ini-.

Saya menonton Skyfall, di hari pertama pembukaannya, di Alamanda, dalam panggung yang penuh, untuk filem dengan durasi lebih dua jam, pada sesetengah babak bosan dan berulang, namun tidak pernah ada kata penyesalan.

Kita semua, pada akhirnya, telah diolah dan dibentuk pemikiran, melalui iklan, ulasan, dan percakapan, bahawa Bond ini adalah yang terhebat, kita setuju, kerana itulah pendapat umum, hasil dari persepsi yang dibina masyarakat kapitalis.

Ya, selamat menonton. Saya dah sudah, diperdaya Bond, untuk sekian kalinya, dan tidak akan serik, untuk 'ditipu' lagi.-2/11/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 814  tetamu dalam talian