21Oktober2014

Isu salun : Steadylah PAS...

pas-negara-islam
Majlis pelancaran Dokumen Negara Islam PAS, di Taman Melewar pada 12 November 2003, masih saya ingati dengan jelas.Pertama kerana ucapan penuh semangat Presiden PAS yang baru disahkan jawatan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beberapa bulan sebelum itu.

Hadi sebelum Muktamar PAS 2003 hanya memangku tugas Presiden selepas kematian Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebelumnya.

Kedua, acara tersebut berlangsung siang hari, jarang sebenarnya acara berlangsung sebelah siang di Markaz PAS Taman Melewar, selalunya akan dibuat sebelah malam berserta ceramah besar-besaran.
 
Kebetulan saya bertugas melaporkan acara besar tersebut pagi itu.

Ucapan Hadi, yang penuh semangat dan berapi-api, di depan beberapa wakil kedutaan asing, saya catatkan.

"Dokumen Negara Islam yang dilancarkan hari ini adalah merupakan satu dokumen asas yang boleh dijadikan panduan bagi sekelian rakyat Malaysia yang ingin mengetahui konsep negara Islam dalam pengertian yang sebenarnya," kata Hadi pagi itu.
 
Dokumen itu setebal 53 muka surat dan terbahagi kepada tujuh bahagian, iaitu kata-kata aluan Presiden, muqaddimah, tasawwur negara Islam, dasar utama pemerintahan Islam, ciri-ciri utama negara Islam, beberapa polisi umum negara Islam dan bahagian penutup.
 
Dalam kata-kata aluannya, jelas Hadi, Dokumen Nega Islam tersebut adalah "usaha serius menangani kegagalan akal manusia” berhubung pelbagai masalah dalam negara. Dokumen ini kononnya merangkumi semua aspek negara Islam berasaskan al-Quran dan Sunnah, yang disediakan tenaga pakar PAS"
 
Seperti jangkaan bos lama saya di Berita Keadilan, Khalid Jaafar yang merupakan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dokumen Negara Islam PAS itu menyebabkan perang terbuka antara PAS dan DAP dalam Barisan Alternatif (nama lama bagi Pakatan Rakyat) dan PKR tersepit di tengah-tengah.
 
Apa reaksi Lim Kit Siang sebaik Dokumen Negara Islam dikeluarkan? Katanya "dokumen ini tidak boleh diterima langsung kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan manifesto bersama Barisan Alternatif 1999.

Banyak reaksi negatif ketika itu dari DAP dan golongan liberal dalam PKR, dan majlis pelancaran Dokumen Negara Islam PAS pun dilupakan oleh pemimpin parti itu sendiri.
 
Hanya ada majlis pelancaran, tidak sempat hendak buat majlis penerangan.

Hari ini, dalam konteks Pakatan Rakyat (PR), PAS tidak lagi bercakap soal Dokumen Negara Islam.

Gaya dan retorik PAS berubah selepas melihat sokongan besar bukan Melayu kepada pembangkang menjelang PRU ke 12.
 
Rata-rata orang bukan Melayu tidak selesa dengan istilah 'Negara Islam' seperti yang diperjuangkan PAS maka beberapa minggu sebelum PRU ke 12, atau tarikh tepatnya 21 Febuari 2008, Hadi Awang mengeluarkan kenyataan media bertajuk "Negara Berkebajikan: Tawaran PAS kepada rakyat Malaysia.
 
Dari Negara Islam pada 2003, PAS dibawah ketua yang sama tukar jadi Negara Berkebajikan dalam jangkamasa tak sampai lima tahun.

Begitulah mudahnya PAS menukar haluan perjuangan mereka demi merebut undi bukan Melayu.
 
Sebab itu dalam kontroversi terbaru melibatkan Majlis Pembandaran Kota Bharu dengan pengusaha salun 'unisex', ramai yang boleh agak apa kesudahannya.

Walaupun bermatian Exco PAS Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan mempertahankan dasar yang menghalang orang perempuan gunting rambut orang lelaki (dan sebaliknya). Pada akhirnya PAS akur.
 
Takiyuddin pada Rabu umum "Berkuatkuasa serta merta penguatkuasaan syarat itu ditangguhkan 'sementara kajian dan penilaian dibuat'."

PAS terpaksa kaji balik perkara tersebut sebab DAP bising setelah akhbar The Star siarkan kisah pengusaha salun tersebut yang disaman lebih 10 kali sejak 2010 kerana gunting rambut berlainan jantina.
 
Sejak isu terbabit timbul, The Star setiap hari acah pemimpin DAP untuk hentam PAS dalam isu tersebut.

Dan menariknya, pemimpin DAP yang hentam PAS, dari peringkat atas sampai bawah, berani tanpa segan, mereka belasah habis-habisan, sampai PAS terpaksa 'kaji semula'.
 
Undang-undang kecil PBT yang wujud sejak 20 tahun dulu, ketika PAS rancak dengan program islamisasi Kelantan, bukan yang pertama dikorbankan PAS.

Sebelum ini, kerajaan PAS Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak pernah mengarahkan pusat hiburan ditutup ketika bulan Ramadhan.
 
Alasannya bagi menghormati kesucian bulan tersebut, dan macam biasa, pemimpin DAP melompat dan buat bising.

Apabila DAP bising, PAS dengan sendirinya menarik balik larangan tersebut.

Jangan lupa kisah qariah perempuan yang tidak boleh menyertai Tilawah Al Quran kerana kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat "suara adalah aurat."
 
Begitu juga dengan calon pilihanraya wanita yang pernah Nik Aziz larang, tetapi dengan peningkatan pengundi wanita, wujud desakan dari dalam PAS sendiri supaya polisi tersebut dihapuskan.

Selepas hampir kalah PRU ke 11 pada 2004, PAS merombak semula polisinya dan meletakkan beberapa calon wanita dalam pilihanraya dan ada diantara mereka yang menang.
 
Itu hanya satu dua contoh bagaimana PAS tidak pernah konsisten dalam apa yang mereka sebut "perjuangan".

Dalam mengejar cita-cita mereka ke Putrajaya, parti guna slogan 'PAS ganti UMNO' ini nampaknya dari hari ke hari dah jadi lain, melihat beberapa senario kebelakangan ini, slogan yang sesuai untuk mereka adalah 'PAS seperti DAP'.
 
Macam mana tidaknya, apabila timbul isu melibatkan dasar, DAP menjerit...PAS beransur...DAP menjerit...PAS beransur, lama-lama orang tengok PAS dan DAP ni sama saja.

Matlamat menghalalkan cara.-13/12/2012- OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 689  tetamu dalam talian