20Ogos2018

PRK Pengkalan Kubor: Penamaan calon 13 Sept, mengundi 25 Sept

Penamaan calon Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Tumpat,Kelantan akan diadakan pada 13 September ini manakala hari pengundian 25 September.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan demikian di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya pagi Jumaat.

DUN Pengkalan Kubor mempunyai 24,039 pengundi berdaftar.

Daftar pemilih untuk PRK itu ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku pertama tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 20 Ogos 2014.

"Sebanyak 11 buah sekolah digunakan untuk pusat pengundian dengan 46 saluran mengundi. Sebanyak 422 petugas akan dilantik untuk PRK kali ini," katanya.

Abdul Aziz berkata daftar pemilih di kawasan berkenaan mengandungi 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH) dan daftar pemilih itu akan mula dijual pada 8 Sept ini.

"Kawasan itu mempunyai 12,462 (51.84 peratus) pengundi lelaki, wanita 11,577 (48.16 peratus), pengundi berdaftar paling ramai ialah kategori umur 30 hingga 39 tahun iaitu 5,744 (23.89 peratus)," katanya.

Sementara itu SPR, katanya, menetapkan tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara ialah pada 15 Sept dan untuk luar negara pada 13 Sept.

Beliau berkata pusat penamaan calon pula akan diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, penjumlahan rasmi undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa Tumpat, Kelantan sementara pusat pengundian awal di Dewan Delima Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

"Kos perbelanjaan pilihan raya kali ini sebanyak RM696,750 dan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya akan diwujudkan," katanya.

Pada sesi soal jawab kemudian Abdul Aziz berkata seperti PRK sebelum ini, dakwat kekal akan digunakan.

Mengenai jangkaan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi, beliau berkata mungkin jumlahnya tidak kurang daripada 70 peratus memandangkan pada pilihan raya umum ke-13 jumlah keluar mengundi ialah 79 peratus.

Ditanya kemungkinan berlakunya banjir semasa proses pilihan raya pula SPR bersedia menghadapinya kerana sebelum ini pernah ada pengalaman berdepan situasi berkenaan semasa pilihan raya kecil Tenang di Johor, katanya.

PRK ini terpaksa diadakan berikutan kematian ADUN BN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos baru ini.

Allahyarham yang menjadi ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor merupakan satu-satunya kawasan DUN dimenangi BN dalam kawasan Parlimen Tumpat.Dua lagi kawasan DUN dimenangi PAS.

PRK bagi DUN tersebut  merupakan PRK ketujuh selepas PRU 13 pada Mei tahun lepas.

PAS pada PRU 2008 menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada PKR tetapi parti itu gagal merampasnya daripada BN.-28/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 695  tetamu dalam talian