17Julai2018

Pengkalan Kubor: PAS dah goyang...mula 'tembak' SPR

Ini memang tabiat biasa pakatan pembangkang di Malaysia, macam kata pepatah tak pandai menari, lantai disalahkan...

PAS pada Rabu dalam sidang media hariannya mula menyalahkan SPR kononnya undi hari Khamis mungkin menyebabkan pengundi luar  dalam pilihanraya kecil (PRK) Pengkalan Kubor untuk 'menyekat' pengundi luar pulang mengundi hingga menyebabkan kerajaan Kelantan terpaksa mengisytiharkan cuti.

Dakwaan liar itu ditolak sepenuhnya oleh SPR.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, rekod SPR menunjukkan hari mengundi tidak mempengaruhi jumlah pengundi yang keluar membuang undi.

"Kita telah adakan hari mengundi pada hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis. Daripada rekod yang kita ada jumlah pengundi tak bergantung kepada hari berkerja atau hari tak berkerja.

"Ada masanya hari mengundi itu hari cuti...jumlah keluar mengundi amat rendah dan mengecewakan SPR dan ada masanya hari mengundi itu hari bekerja tapi jumlah keluar mengundi berlebihan," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media PRK Pengkalan Kubor.

Menjawab dakwaan PAS itu, beliau berkata, mengisytiharkan cuti peristiwa pada tarikh PRK Pengkalan Kubor adalah hak kerajaan negeri, namun ia juga tidak menjamin peratusan mengundi akan meningkat.

"Adakah dengan memberi cuti itu jumlah yang keluar mengundi lebih ramai, lebih daripada PRU-13.

"Ada kemungkinan beri cuti itu dia (pengundi) pergi berjalan pula, pergi ke Thailand, Kuala Lumpur, saya agaklah, dan saya harap pengundi jangan begitu," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penetapan tarikh PRK Pengkalan Kubor dibuat selepas menghubungi beberapa pimpinan tertinggi parti bagi mengadakan rundingan dan terdapat persetujuan secara prinsip tentang perkara itu.

Mengenai jangkaan peratusan keluar mengundi, beliau berkata, SPR menjangkakan lebih 70 peratus akan keluar membuang undi pada Khamis.

Peratusan keluar mengundi pada PRU-13 adalah 69 peratus.

Dalam masa sama, beliau turut mengulangi bahawa berdasarkan rekod daftar pemilih SPR, kira-kira 80 peratus pengundi bekerja di Pengkalan Kubor, bukan makan gaji.

"Mereka tidak bekerja pada waktu pejabat, boleh datang bila-bila masa sahaja," katanya.-24/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 607  tetamu dalam talian