17Januari2018

Pengkalan Kubor: BN henti kempen petang Rabu - Tok Pa

Jika ikut undang-undang SPR, tempoh berkempen dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor akan tamat  tepat jam 12.00 tengah malam (esok) Rabu.

Tapi jentera BN hanya akan berkempen sehingga petang esok, dan selebihnya adalah tempoh bertenang.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Pilihanraya BN DUN Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamad memberitahu pihaknya akan berkempen hanya hingga petang Rabu.

"Hari ini sehingga petang esok, kita akan mempertingkatkan usaha kempen dari rumah ke rumah dan ceramah.

"Semua program rasmi mulai hari ini dan esok dikurangkan, dan kempen akan berhenti pada petang Rabu, pada sebelah malamnya adalah tempoh bertenang serta solat hajat di semua PDM," katanya kepada pemberita di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Beliau juga mahu jentera BN supaya menjaga keselamatan, dan bersabar terhadap provokasi yang mungkin ditimbulkan pada saat-saat akhir ini.

"Jangan ada ketegangan, jangan bergaduh, kerana ia akan menjejaskan imej pengundi Pengkalan Kubor," ujar beliau.

Menyentuh perjalanan kempen, Mustapa mengakui, isu royalti masih menjadi modal PAS untuk meraih sokongan pengundi biarpun isu itu tidak lagi sepatutnya dibangkitkan.

"BN diserang hebat berkenaan hasil petroleum. Kerajaan pusat mahu selesaikan perkara ini melalui undang-undang. Kita juga sudah ada perbincangan dengan kerajaan negeri, jadi tak perlu isu ini dijadikan bahan berpolitik dan pilihan raya.

"Kita ada pendirian kita, sama macam kerajaan negeri. kita berpendapat tidak ada keperluan bangkitkan isu ini, kerana ia masih di mahkamah. tetapi sebab mereka gunakan isu ini sejak PRK Manik Urai, maka kerajaan pusat tidak boleh berdiam diri, kalau kita diam, maknanya kita mengiyakan.

"Sebab itu (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil pendirian perjelas isu ini. BN sentiasa terbuka dan mengambil tindakan bertanggungjawab, kita berpendapat ia tidak perlu dilaung-laungkan, apa kita buat adalah maklum balas kepada serangan bertubi-tubi PAS," katanya.

Mustapa juga menafikan dakwaan BN menzalimi rakyat Kelantan, sebaliknya menjelaskan bahawa Kerajaan Pusat sudah berkali membantu menyelesaikan defisit belanja mengurus dialami kerajaan PAS Kelantan.

"Kerajaan Kelantan adalah negeri paling teruk mengalami defisit dalam akaun belanja mengurus. Ini bermakna hasil kerajaan negeri tak mampu menampung belanja mengurus, tetapi Kerajaan Pusat bantu, kita tak ungkit perkara ini, ini tanggungjawab kita.

"Tapi bila dia kata kita zalim dan sekat, tidaklah kita bagi duit itu, tahun lalu saja RM86 juta diberikan untuk tampung defisit mengurus, jadi dakwaan BN tindas dan sekat tidak benar sama sekali," katanya.-23/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 598  tetamu dalam talian