20Mei2018

Pengkalan Kubor: Azwan jelaskan sebab Pemuda 'back' Rosidi

Jika dilihat pada sokongan awal nama paling popular ditonjol menjadi calon mewakili BN dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor ialah Ketua Pemuda UMNO Tumpat Rosidi Mahmud Kamarudin.
 
Namanya disyorkan Pergerakan Pemuda BN dan UMNO Kebangsaan namun hakikatnya sama ada Rosidi terpilih lebih bergantung kepada keputusan muktamad dibuat oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.
 
Rosidi pula bukanlah satu-satu sahaja calon diketengahkan malah beberapa nama lain turut menjadi sebutan seperti anggota MT UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
 
Bayangan awal pencalonan Rosidi dibuat Naib Ketua Pemuda BN Khairul Azwan Harun di Ipoh Jumaat ketika diminta media tempatan mengulas mengenai calon PRK itu kelak.
 
Kerusi DUN Pengkalan Kubor ini merupakan satu-satunya dimenangi BN dalam kawasan Parlimen Tumpat manakala dua lagi kawasan DUN dimenangi PAS.

Calon PKR kalah kerana kerusi milik PAS itu diserah kepada PKR sehingga timbul keadaan tidak senang diperingkat akar umbi.
 
Maka mengambil kira senario ini Azwan yang juga Pengarah PRK Pemuda BN berpendapat Rosidi adalah pertaruhan mereka mengambil kira pengundi dikawasan ini separuhnya mereka berusia di bawah 40 tahun.


 Katanya Rosidi yang telah dua penggal menjadi Ketua Pemuda Bahagian itu merupakan anak tempatan di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kira-kira 43 peratus pengundi di kawasan DUN Pengkalan Kubor merupakan mereka yang berumur di bawah 40 tahun.
 
Berdasarkan perhitungan ini Azwan berkata sekiranya BN meletakkan calon muda, lebih mudah untuk mereka menarik sokongan pengundi muda di DUN Pengkalan Kubor.
 
"Saudara Rosidi merupakan anak tempatan dan sudah tentu beliau tahu kehendak masyarakat di situ, tambahan lagi beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang baik."
 
Menyentoh peluang BN, Azwan menjelaskan beberapa isu kebelakangan ini, seperti pergolakan politik di Selangor membabit isu MB baru memberi kelebihan pada BN  mempertahankan DUN berkenaan.
 
"Saya harap pengundi di Pengkalan Kubor akan dapat melihat betapa rapuhnya ikatan Pakatan Rakyat dalam banyak isu sejak kebelakangan ini," ujar beliau.
 
Walaupun Kelantan merupakan kubu pembangkang sejak 23 tahun lalu, Pengkalan Kubor mempunyai sejarah tersendiri. Para pengundi di sini begitu menyenangi Allahyarham Noor Zahidi kerana khidmat yang ditumpahkan kepada mereka selama ini.
 
Maka tidak hairan satu-satunya DUN dimenangi BN dalam Parlimen Tumpat ialah Pengkalan Kubor. BN juga dikatakan berpeluang mengekalkan DUN ini berasaskan factor sejarah itu tadi.
 
Permulaan kita lihat kira-kira 2,000 pengundi masyarakat Siam di kawasan ini memberi jaminan akan terus menyokong calon BN.

Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan, Eh Chot Cha Chan memberitahu jasa BN dalam  kerangka membela  nasib masyarakat Siam di DUN itu tidak boleh dilupakan.

"Allahyarham Datuk Noor  amat prihatin terhadap masyarakat Siam dengan menjaga kebajikan kami dalam pelbagai cara.

Salah satu jasanya pemberian peruntukan tahunan RM200,000 untuk Sekolah Bahasa Thai di kawasan itu.”

PRK Pengkalan Kubor—PRK ketujuh selepas PRU ke13 tahun lalu-- diadakan pada 25 September depan manakala penamaan calon pada 18 September ekoran kematian ADUNnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57 tahun,  di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu.
 
DUN Pengkalan Kubor, salah satu DUN dalam Parlimen Tumpat mempunyai 24,039 pengundi berdaftar.
 
Dalam PRU ke13 lalu, Noor Zahidi menewaskan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. Ini merupakan penggal ketiga Allahyarham dipilih mewakili DUN ini sebagai wakil rakyatnya.-30/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 722  tetamu dalam talian