11Disember2018

PAS kucar kacir, bukan tempat rakyat bergantung harap

PAS sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi jelas tindak-tanduknya tidak sedemikian, kata Speaker DUN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut beliau, pengundi di Pengkalan Kubor boleh menilai perkara tersebut melihat kepada perkembangan politik beberapa tahun terakhir ini.

"Jelas sekali mereka tidak lagi memperjuangkan agama sebenarnya mereka memikirkan soal jawatan sahaja dan rakyat sekarang tidak seperti dahulu rakyat sudah matang dan boleh membuat penilaian," katanya.

Mengulas lanjut, kata Salleh, PAS kini sudah kucar-kacir sehingga mereka ada dua kumpulan yang berbeza pendapat sudah tentu rakyat tidak boleh gantung harapan dengan parti tersebut.

"Pengundi akan keluar beramai-ramai dan generasi baru harus tunjukkan sokongan kepada BN, kita berjuang bukan untuk hari ini tetapi masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas berkempen di PDM Teluk Jering pada Sabtu.

Menurut bekas Ketua menteri Sabah itu, PAS menggunakan isu tiada pembangunan demi menutup kelemahan mereka sendiri
sepatutnya mereka sebagai kerajaan negeri bertanggunjawab untuk berbuat sedemikian sehingga kerajaan Pusat menerusi ADUN yang diwakili BN terus menjalankan tanggungjawab mereka membawa pembangunan di Pengkalan Kubor.

"Jika ikut sistem (pembangunan) merupakan tanggunjawab kerajaan negeri kerana mereka telah diberi mandat untuk menjadi parti pemerintah di peringkat negeri mereka tidak mempunyai dana yang cukup untuk membangunkan negeri Kelantan ini

"Jika mereka tidak mempunyai kerjasama yang baik dengan kerajaan Persekutuan, mereka tidak boleh berbuat demikian.

"Kita di Sabah dahulu pernah berada dalam keadaan yang sama di mana kerajaan negeri diterajui oleh parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan, akhirnya pembangunan itu amat lambat sekali."

"Kita tidak boleh salahkan kerajaan Persekutuan kerana itu adalah salah kerajaan negeri sendiri kerana mereka asyik berpolitik dan berkonfrantasi dengan kerajaan Persekutuan sepatutnya yang penting kita menjalinkan hubungan yang baik

"Apabila kita menjalinkan hubungan yang baik yang terpenting sekali ialah parti itu parti yang mendokong perjuangan yang sama," katanya.

Mengulas mengenai PDM Teluk Jering yang menjadi PDM angkat UMNO Sabah, kata Salleh, beliau yakin bahawa PDM tersebut akan menyumbang kepada kemenangan BN di Pengkalan Kubor pada 25 September ini.

"Hasil interaksi kita dengan pengundi di kawasan ini, rata-rata mereka mahu ADUN BN dikekalkan supaya pembangunan yang dirancang dapat diteruskan seperti sediakala,"ujarnya.

PRK 25 Sept ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian ADUN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (BEBAS) dengan majoriti 1,736 undi.-20/9/2014

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 346  tetamu dalam talian