20Jun2018

Kalah dan menang... Panglima Haji Hadi jawab Lim Kit Siang

Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan tidak tunggu lama untuk melancarkan serangan balas terhadap kenyataan pemimpin DAP Lim Kit Siang mengenai kekalahan PAS di pilihanraya kecil Pengkalan Kubor.

Nasrudin yang merupakan bekas Ketua Pemuda PAS dan 'orang Presiden' menyerang Kit Siang melalui beberapa catatan di laman facebooknya pada Ahad dan Isnin.

“Lim Kit Siang keluarkan amaran bahawa kekalahan PAS di Pengkalan Kubor adalah isyarat BN akan merampas Kelantan. Bagaimana dengan kekalahan PKR di Balingian dan DAP di Teluk Intan ?”

Nasrudin melampirkan satu analisa perbandingan tiga pilihanraya di mana Pakatan Rakyat kalah iaitu DUN Balingian Sarawak (PKR), Parlimen Teluk Intan (DAP) dan DUN Pengkalan Kubor (PAS).

Analisa tersebut menunjukkan bahawa penurunan undi di DUN Pengkalan Kubor antara yang terendah jika dibandingkan dengan Balingian dan Teluk Intan dimana PKR mengalami penurunan sebanyak 33 peratus sementara DAP mengalami penurunan sebanyak 27.3 peratus.

Nasrudin menyatakan bahawa partinya tidak langsung tersinggung dengan ketiadaan pimpinan tinggi PKR dan DAP yang membantu sewaktu tempoh berkempen di pilihanraya kecil Pengkalan Kubor.

"Dari segi mental dan spiritual, sememangnya pemimpin dan ahli PAS telah bersedia menghadapi kemungkinan kalah menang dalam pilihanraya. Kalah tidak membuatkan PAS mengalah sebagaimana menang tidak membuatkan PAS senang.

"Justeru pilihanraya hanyalah sebahagian dari tugas perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Masih banyak tugasan penting yang wajib dilunaskan oleh PAS seperti tarbiyah, dakwah, kebajikan dan lainnya," jelas beliau.

Menurutnya, kalah dalam satu satu pilihanraya tidak bermakna kalah pula dalam edisi berikutnya.

"Terkadang kalah dalam pilihanraya kecil tetapi PAS boleh memenanginya semula pada peringkat pilihanraya umum. Begitulah pasang surut pilihanraya. Post mortem atau analisa pilihanraya menjadi guide line untuk PAS bangkit dari kekalahanan atau mengekalkan prestasi kemenangan," katanya.

Ahad lalu, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang memberi amaran bahawa jika berlaku penurunan 4.5 peratus di semua DUN di Kelantan seperti apa yang berlaku di Pengkalan Kubor, PR Cuma akan dapat 20 kerusi sedangkan BN 25 kerusi di Pilihan Raya Umum akan datang.

“Dengan demikian kerajaan PR di Kelantan akan tumbang,” katanya.

Dalam Pilihanraya kecil Pengkalan Kubor pada 25 September, calon BN Mat Razi Mat Ail berjaya mengalahkan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan juga calon bebas, Izat Bukhari Ismail Bukhari dengan majoriti sebanyak 2,635 undi.

Mat Razi berjaya memperoleh sebanyak 9,961 undi manakala calon PAS pula, Wan Rosdi Wan Ibrahim meraih sebanyak 7,326 undi dan calon Izat Bukhary Ismail Bukhary sebanyak 38 undi yang menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 73 peratus.-29/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 680  tetamu dalam talian