17Januari2018

BN dijangka menang selesa di Pengkalan Kubor

Sumber yang layak dipercayai memberitahu Agendadaily, BN sedang bersiap sedia untuk menyambut kemenangan mempertahankan DUN Pengkalan Kubor selepas 13 hari berkempen sejak 13 September lalu.

"Laporan awal dari PDM-PDM menunjukkan pengundi putih BN keluar beramai-ramai sejak pagi tadi," kata sumber tersebut.

Berdasarkan perkembangan tersebut, sumber itu memberitahu BN dijangka menang selesa mempertahankan DUN tersebut.

Sementara itu, SPR memberitahu peratusan keluar mengundi di Pengkalan Kubor adalah yang tertinggi dan terbaik dalam tempoh empat jam pertama berbanding semua PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengerusi SPRTan Sri Abdul Aziz Yusof berkata peratusan keluar mengundi sehingga pukul 12 tengah hari adalah lebih daripada separuh jumlah pengundi biasa iaitu sebanyak 54 peratus atau 12,945 daripada 23,929 orang.

"Saya berpuas hati dengan peratusan sehingga tengah hari ini yang jika trend ini berterusan sehingga tamat tempoh (pukul 5 petang), SPR jangkakan peratusan akan melebihi 70 peratus seperti yang kita sasarkan," katanya.

Katanya sasaran SPR ialah hanya 10 peratus keluar mengundi pada setiap jam tetapi jumlah yang keluar mengundi kini kira-kira 15 peratus bagi setiap jam dan ini sangat positif.

Beliau bagaimanapun menjangkakan peratusan keluar mengundi itu akan sedikit menurun pada sebelah petang berikutan ramalan cuaca berlakunya hujan di Pengkalan Kubor dan sekitarnya.

Mengenai laporan polis sepanjang kempen PRK itu, Abdul Aziz berkata SPR menerima tujuh laporan polis itu iaitu empat berkaitan pemasangan bendera dan bakinya adalah mengenai poster dan ceramah.

Sementara itu Pegawai Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) PRK DUN Pengkalan Kubor ACP Dahlan Mohd Noor berkata keadaan PRK sehingga tengah hari berjalan lancar, cuma berlaku beberapa kekecohan kecil akibat provokasi antara penyokong parti.

"Tetapi semuanya dapat dikawal polis dan laluan trafik perlahan berikutan kehadiran penyokong kedua-dua parti yang berada di bahu-bahu jalan untuk merayu undi," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, peratusan keluar mengundi dalam kawasan DUN Pengkalan Kubor adalah 79 peratus.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary.

PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. Pada PRU ke-13 tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.-25/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 671  tetamu dalam talian