17Julai2018

Analisis kemenangan BN di Pengkalan Kubor berdasarkan PDM

Apapun pun jangkaan dan alasan, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor memihak kepada Barisan Nasional (BN) dengan kelebihan majoriti 2,635 undi. Meningkat 899 undi berbanding perolehan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13 lalu.

Menarik untuk dianalisis tentang pencapaian yang agak melonjak bagi BN ini. Ramai yang menghimpun alasan bahawa sokongan pengundi-pengundi muda, gerakan kempen BN yang lebih bersahaja, faktor kewibawaan calon serta gerakan kempen pakatan pembangkang khususnya Pas yang kurang 'meriah' dan tidak 'menyengat' turut mempengaruhi keadaan.

Sejak awal atau sebaik saja hari penamaan calon, gerakan kempen dilihat sedikit 'hambar'. Kebanyakan kempen bagi parti yang bertanding dilakukan secara menziarah dari rumah ke rumah. Ada juga dilakukan secara berkelompok di kedai-kedai kopi atau di tempat-tempat tertentu.

Tidak seperti lazimnya di mana-mana lapangan pilihan raya kecil, masing-masing parti bertanding turut mengadakan ceramah-ceramah perdana dengan kehadiran beribu-ribu orang. Kekerapan dan cara pendekatan juga agresif. Tetapi tidak di Pengkalan Kubor. Lagipun di sini dikatakan masyarakatnya lebih suka berbual-bual biasa tentang politik sambil minum-minum di kedai-kedai kopi.

Suasana demikian boleh diterjemahkan sebagai orang Pengkalan Kubor seolah-olah sudah tahu siapa dan dari parti mana calon yang mereka mahu pilih. Bukan sukar bagi penduduk yang tinggal di sekitar 29 kilometer persegi itu membuat pilihan.

Betullah sebagai sering diperkatakan mereka "berpolitik ini sudah lama sangat, tahulah mana calon dan mana parti yang nak dipilih.'' Sementara itu, kalangan pengundi muda mula 'menebalkan' minat untuk membuat keputusan sendiri dalam arena politik semasa. Kelihatan golongan ini semakin 'mengambil kisah' tentang dunia politik dan ke arah mana arah haluan kehidupan yang berkait dengan kuasa politik.

BN dianggarkan berjaya menarik tidak kurang dari 5 peratus sokongan pengundi muda pada PRK kali ini.

Tidak dinafikan, pengaruh legasi Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri di sini masih kuat. Keyakinan penduduk termasuk golongan muda masih terikat pada cara beliau melayan rakyat, mengambil berat tentang keperluan dan kesusahan selain membawa projek-projek pembangunan Persekutuan ke daerah sekitar.

Ertinya rekod perkhidmatan cemerlang Noor Zahidi, wakil rakyat dari BN itu masih sentiasa di hati rakyat Pengkalan Kubor. Tentu penyandang baharu, Mat Razi Mat Ail memahami situasi ini dan akan meneruskan pendekatan serupa. Beliau tentu berazam mengekalkan pendekatan ini setelah mendapat mandat daripada masyarakat Pengkalan Kubor.

Nyatanya pemilihan calon BN kali ini 'berlaga angin' dengan rakyat tempatan. Maksudnya personaliti Mat Razi yang diketengahkan oleh BN menepati citarasa rakyat Pengkalan Kubor.

Dengan berlatar-belakangkan pendidikan agama, pengasas sekolah pondok (tanah wakaf sendiri) dan memiliki ijazah Sarjana Pengajian Sejarah dan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah cukup meyakinkan pengundi bahawa Mat Razi adalah pilihan mereka.

Ditambahkan pula, Mat Razi yang perkhidmatan terakhirnya dengan kerajaan selaku Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat dan bertanggungjawab kepada sektor pengurusan sekolah-sekolah telah memberi peluang kepada beliau bergaul rapat dengan para ibu bapa serta rakan-rakan pendidik khususnya di sekitar Tumpat.

Hinggakan ada yang memberitahu, terdapat kalangan sanak saudara Mat Razi yang menyokong Pas sanggup tidak keluar mengundi kerana 'berat hati' untuk tidak memberi undi kepada calon BN itu.

PRK Pengkalan Kubor mencatatkan seramai 17,674 pengundi keluar mengundi. Mereka adalah 73.52 peratus dari jumlah sebenar pemilih berdaftar seramai 24,039 pengundi. Apa pun peratusan itu melebihi apa yang dijangka oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sekitar 70 peratus.

Dari sejumlah 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM), BN bukan sahaja dapat mengekalkan tujuh PDM yang ditawan pada PRU ke-13 lalu, malah berjaya merampas dua kubu kuat pakatan pembangkang iaitu PDM Kampung Ketil dan Telaga Bata.

Di Telaga Bata, BN peroleh 722 undi berbanding Pas 607 undi iaitu dengan majoriti 115 undi. Pada PRU ke-13 lalu, BN tewas di PDM Telaga Bata ini dengan 67 undi di belakang PKR. Sementara itu, di PDM Kampung Ketil, BN yang kalah dengan 102 undi kepada PKR pada PRU ke-13 lalu, kali ini memperoleh kelebihan 3 undi mengatasi Pas.

Terdapat peningkatan ketara jumlah pengundi yang menyokong BN walau masih tewas di beberapa kubu kuat pakatan pembangkang. Sokongan pengundi-pengundi muda turut menjadi faktor. Misalnya di Kedai Geting, pada PRU-13 BN mendapat 520 undi, berjaya meningkat kepada 532 pada PRK kali ini. PKR waktu itu mendapat 742 undi namun calon Pas kali ini sekadar meraih 671 undi.

Menarik juga di PDM Tujoh, di mana BN sebelum ini hanya memperoleh kelebihan 4 undi tetapi pada PRK kali ini berjaya meraih sokongan pengundi sebanyak 111 undi melebihi Pas.

Pakatan pembangkang yang diwakili Pas pada PRK Pengkalan Kubor ini menyaksikan kegagalan mereka meningkatkan pungutan undi di beberapa PDM yang didominasi mereka sebelum ini. Antaranya termasuk di Kampung Geting, Kampung Tebing dan Kedai Geting. Sejumlah 4,395 orang atau 18.2 peratus dari jumlah pengundi berdaftar berada di luar Kelantan. Majoriti dari kira-kira 50-peratus mereka yang balik mengundi dikatakan mirip kepada BN.

Para pengundi di Pengkalan Kubor telah mempamerkan sikap tersendiri. Terdengar riak suara mereka yang mula 'serabut' dengan wujudnya keadaan 'berpuak-puak' di dalam Pas selain 'pergolakan' yang tidak perlu disembunyikan dalam kalangan pakatan pembangkang. Justeru ada kecenderungan untuk mereka 'beralih arah'.

Tidak banyak lagi alasan sebenarnya yang boleh 'mempesonakan' kalangan pengikut Pas dan pakatan pembangkang.

Banyak unsur pergeseran terserlah dengan jelas. Lihat sahaja kemelut jawatan Menteri Besar Selangor serta ucapan-ucapan 'yang membidas sesama sendiri' di Muktamar Pas di Johor baru-baru ini.

Apa yang nyata, kalangan penyokong Pas kini telah berbelah bahagi sama ada menyokong pihak ulama yang berpijak pada perjuangan asal atau pihak yang lebih 'liberal' dan mesra PKR dan DAP. Ramai yang menganggap 'bibit-bibit keretakan' dalam kalangan pakatan pembangkang sukar menemui penghujung. Saban waktu ada-ada saja kedengaran 'kata-mengata' yang kurang enak di kalangan sesama sendiri.

Sesetengah penyokong Pas sendiri yang menyuarakan rasa kesal kerana Pas turut berkempen secara agresif untuk Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail di PRK Kajang (bagi menjayakan 'Langkah Kajang'), sebaliknya Pas kelihatan bersendirian di PRK Pengkalan Kubor. Tidak kelihatan kelibat pemimpin besar PKR dan DAP turun memberi sokongan kepada Wan Rosdi Wan Ibrahim di Pengkalan Kubor.

Jadi tidak hairan kalau ada yang mendakwa ramai dalam kalangan penyokong tegar Pas sendiri telah beralih menyokong BN dalam PRK Pengkalan Kubor kali ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima kekalahan Pas secara terbuka tetapi cuba 'mengheret' rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, PKR dan DAP 'memikul' kekalahan secara bersama. Kelihatan semacam status kesepaduan dalam kalangan mereka enggan berpijak pada konsep 'susah senang diharungi bersama'.

Ada yang melihat kenyataan Nik Aziz itu sebagai ingin mempertahan maruah Pas apabila calon tajaannya turut kalah walaupun telah 'merampasnya' daripada PKR.

Para pengundi Pengkalan Kubor telah membuat pilihan yang mereka anggap bijak dan tepat. Ternyata mereka mahu mengekalkan Pengkalan Kubor di bawah BN walaupun kerusi Parlimen Tumpat dan tiga lagi DUN di bawahnya berada di tangan Pas. Mereka mahu seorang wakil rakyat yang sentiasa berada dalam kawasan dan peka dengan keperluan serta permasalahan semasa rakyat.

Ketara juga, isu-isu yang dibangkitkan pakatan pembangkang dianggap sekadar 'memutar lagu lama'. Isu-isu seperti GST, Pemansuhan Akta Hasutan 1948, isu royalti dan soalan bocor tidak begitu 'termakan'.

Kalangan penduduk Pengkalan Kubor menganggap isu-isu itu sudah memadai dengan penjelasan melalui media massa saban waktu. Yang penting bagi mereka ialah calon dan parti yang boleh dijadikan 'sandaran' untuk membina kehidupan.

Sementara tuduhan Kelantan 'dianak-tirikan' kerajaan Persekutuan juga semacam isu 'klise' dan tidak dihiraukan sangat oleh pengundi-pengundi di Pengkalan Kubor. Secara rasionalnya mereka dapat melihat dan menikmati sendiri pelbagai projek pembangunan kerajaan Persekutuan yang dibawa ke daerah itu terutama sepanjang tiga penggal di bawah Noor Zahidi.

Pengundi Pengkalan Kubor telah menghantar isyarat bahawa mereka mahu kawasan sekitarnya terus maju dengan bantuan Kerajaan Persekutuan. Malah ada yang membuat telahan, mereka mahu kerajaan Kelantan berubah pada PRU-14. Alasannya mereka tidak mahu lagi berada di bawah sebuah kerajaan yang hanya mampu berjanji tetapi 'sepi' dengan pelaksanaan.

Sememangnya, BN boleh mengambil iktibar dan contoh dari segi penyelarasan jentera parti yang lebih tersusun, pendekatan turun padang yang lebih 'mesra rakyat' serta teknik penyampaian ceramah yang lebih berkesan dalam PRK Pengkalan Kubor ini.

DATUK SAYUTI MUKHTAR adalah Felo Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Tulisan ini kali pertama disiarkan Utusan.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 517  tetamu dalam talian