15November2018

Zahid redha dan anggap 45 tuduhan satu ujian...saya akan jelaskan di mahkamah nanti

Datuk Seri Dr Zahid Hamidi redha dengan setiap pertuduhan yang diajukan kepada dirinya.
 
Bercakap kepada media selepas selesai sesi pertuduhannya di Mahkamah Jalan Duta, Jumaat, beliau menganggap ia sebagai satu ujian terhadap segala usaha yang telah dilakukan selama ini. 
 
“Saya amat redha dengan pertuduhan yang telah diajukan kepada saya. Dan atas keredhaan ini adalah untuk menentukan bahawa segala apa yang saya terima adalah satu ujian daripada Allah kepada segala usaha yang telah saya lakukan.
 
“Dan saya rasakan bahawa sebarang kerja amal baik yang kita lakukan masih lagi dianggap sebagai sesuatu yang melanggar perundangan,” kata Presiden UMNO itu.
 
Menurutnya lagi, beliau akan mengambil peluang untuk menjelaskan tentang pertuduhan-pertuduhan tersebut ketika perbicaraan berlangsung nanti.
 
“Saya akan menggunakan mahkamah sebagai tempat yang terbaik bukan hanya untuk membuat pembelaan, tetapi untuk menjelaskan perkara yang termasuk dalam tuduhan-tuduhan berkenaan.
 
“Dan saya akan buktikan bahawa apa yang telah saya lakukan dengan pembinaan beberapa premis untuk syumulnya Islam. Untuk pembinaan maahad tahfiz, surau, masjid, rumah anak yatim dan lain lain kebajikan untuk pelbagai kaum dan agama.
 
“Di mahkamah nanti akan saya jelaskan perkara ini. Insyaallah kerja baik yang saya buat dengan niat untuk menegakkan agama Allah, mudah-mudahan Allah memberikan perlindungan kepada saya,” katanya.
 
Terdahulu ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan RM114 juta.
 
 
Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Hakim Azura Alwi setelah pertuduhan dibacakan secara bergilir-gilir oleh empat jurubahasa.
 
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
 
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Sekayen 16(a)B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan  Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – 19/10/2018 Oleh AIDIL SYUKRI
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 883  tetamu dalam talian