16November2018

Zahid dedah pasal pertemuan 7 Jun dengan Dr Mahathir…bukan saya minta bertemu

KEMASKINI : Setelah berbagai spekulasi timbul mengenai pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya di Putrajaya pada 7 Jun lalu…akhirnya Datuk Seri Dr Zahid Hamidi tampil mendedahkan apa cerita sebenar.
 
Sebelum ini gara-gara pertemuan ini ada kalangan ahli UMNO yang hentam dan kecam Naib Presiden UMNO yang jalan tugas Presiden UMNO kerana dakwa beliau ‘ terhegeh-hegeh’ mengadap Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM itu.
 
Ikut cakap-cakap yang tersebar mendakwa beliau yang memohon untuk adakan pertemuan itu.
 
Persepsi menjadi lebih buruk bila Dr Mahathir yang diminta mengulas pasal pertemuan itu dakwa Zahid datang jumpanya untuk dapatkan nasihat bagaimana hendak tabir UMNO selepas kekalahan dalam PRU14.
 
Zahid sendiri tidak buat apa-apa kenyataan selepas pertemuan itu kerana sejurus itu terus bergegas ke Makkah untuk tunai umrah dan kembali sebelum Hari Raya Aidilfitri.
 
Untuk memberi gambaran sebenar Zahid telah menceritakan mengenai pertemuan dengan Dr Mahathir semasa berucap di majlis Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Selangor di PWTC Rabu malam.
 
Zahid yang akan bertanding jawatan Presiden UMNO bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin kata,“selepas (pertemuan itu) saya mengerjakan umrah dan tidak ada followup statement yang keluar.”
 
Katanya beliau juga akan menjelaskan mengenai hal berkenaan dalam pertemuan dengan ahli-ahli UMNO di negeri-negeri lain selepas ini.
 
Beliau dengan tegas mendedahkan bukan beliau yang minta adakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
 
Sebaliknya katanya, “ saya dijemput untuk bertemu.”
 
Beliau juga mendedahkan semasa pertemuan itu Dr Mahathir telah meminta para Ahli Parlimen BN yakni UMNO menyertai PPBM.
 
“Saya jawab dengan tegas tidak ada jalan bagi kita sertai parti berkenaan.Saya tidak rela UMNO dibubarkan semata-mata untuk mencapai matlamat politik seseorang.
 
“Mana mungkin UMNO yang ada 54 Ahli Parlimen…mereka 13 orang.Ular lidi nak telan ular sawa,”katanya.
 
Zahid beri jaminan beliau akan tetap ‘ jaga jemaah’ seperti yang diamanahkan keatasnya untuk jalankan tugas Presiden buat masa ini.
 
Katanya mandat yang diberi kepadanya ialah mandat en bloc yakni BN dan UMNO dan akan terus pertahan parti .

Sementara itu bercakap kepada wartawan selepas menghadiri Perjumpaan Khas dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Anggota Jawatankuasa UMNO Empat Peringkat di Dewan UMNO Kelantan di Kota Bharu Khamis Zahid Hamidi menafikan beliau meminta nasihat daripada Dr Mahathir Mohamad untuk menguruskan parti itu.

Katanya rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi tahu bagaimana untuk menguruskan parti tanpa perlu campur tangan daripada pihak ketiga.

"Saya ingin menjelaskan saya tidak pernah meminta nasihat Tun (Dr Mahathir) bagaimana untuk menguruskan UMNO. Saya dan rakan-rakan tahu untuk menguruskan parti kami sendiri," katanya.

Ditanya mengenai pertemuan tersebut, Zahid berkata: "Saya tidak perlu menyebutkan kerana itu adalah perbincangan empat mata. Saya tidak boleh berkongsi (mengenai perbincangan dengan perdana menteri)." - 21/6/2018

 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 602  tetamu dalam talian