21November2017

YDP Agong tegur perbuatan ingin melihat ekonomi negara runtuh dan jadi bankrap...

Ibarat kata siapa yang makan cili...dialah yang rasa pedasnya.
 
Kerana nawaitu politik dan sebagainya...kebelakangan ini ada saja puak yang galak putar belit mengenai isu ekonomi negara dan disebar menerusi media sosial dan sebagainya hingga adakalanya boleh cetus kekeliruan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menegur tindak tanduk mereka yang galak main macam-macam andaian dan telahan seolah ingin melihat ekonomi negara runtuh dan negara jadi bangkrap.
 
Baginda sebaliknya berharap dan mendoakan agar ekonomi negara dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dengan lebih kukuh lagi.

"Sokongan rakyat seluruhnya sangat penting bagi membolehkan agenda ekonomi yang lebih cemerlang.

"Hentikanlah tindakan negatif yang merugikan negara, dengan membuat telahan dan andaian yang tidak bertanggungjawab seolah-olah ingin melihat ekonomi negara runtuh dan negara jadi bankrap," titahnya.
 
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V  membuat teguran itu dalam titah pada majlis sambutan Hari Keputeraan baginda, di Istana Negara Sabtu.
 
Baginda menzahirkan rasa optimis baginda terhadap peranan kerajaan.

"Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran semasa, beta percaya dengan mandat, sokongan dan dukungan semua rakyat kerajaan beta akan terus cekal dan tabah mengatur strategi dan agenda negara bagi membolehkan negara dan rakyat Malaysia, terus dihormati dan disegani di persada antarabangsa," titahnya.
 
Serentak dengan itu Baginda mengingatkan rakyat Malaysia perlu mensyukuri nikmat keamanan dan kedamaian yang dikecapi dalam apa jua situasi, suasana dan keadaan.
 
Titahnya  rakyat sudah banyak mempelajari dan mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku di beberapa negara di dunia, terutama di Timur Tengah, yang sedang berhadapan dengan peperangan bersenjata, bermandikan darah, berhadapan dengan pergolakan, kekacauan yang seolah-olah tiada noktah penghujung.
 
"Lantaran itu, beta menyeru kepada seluruh rakyat beta yang dikasihi supaya sentiasa menghargai usaha-usaha menjaga keamanan dan keselamatan negara, jangan pandang remeh dan mengambil mudah.
 
"Hargailah perjuangan dan pengorbanan, keringat dan air mata yang dicurahkan oleh anggota pasukan keselamatan yang bersabung nyawa, mengetepikan kerehatan demi menjamin keselamatan dan menjaga kerukunan dan kedamaian negara," titahnya.
 
Sultan Muhammad V bertitah rakyat juga harus berwaspada dengan perkembangan negatif akhir-akhir ini, dengan munculnya ancaman kumpulan pengganas yang kian serius dan membimbangkan di seluruh dunia, dan turut tidak terkecuali, negara ini.
 
"Beta yakin dengan kemampuan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi lain dengan kerjasama dan sokongan rakyat seluruhnya, pembanterasan ke atas anasir-anasir dan sel-sel ekstrem itu dapat diatasi," titah Baginda.
 
Baginda optimis dan menaruh harapan tinggi terhadap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, yang menjadi aset yang paling berharga, akan terus melangsungkan agenda perpaduan dan kerukunan hidup.
 
"Beta menyeru kepada seluruh rakyat beta yang dikasihi terus memelihara dan menyuburkan perasaan dan sikap kemuafakatan yang penuh bermakna, yang sejak sekian lama dipupuk dan dibaja," titahnya.
 
Dalam pada itu Baginda juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak diulik dan dibuai mimpi kelekaan dengan kemajuan negara yang dicapai.
 
"Jangan dijadikan alasan untuk kita berpeluk tubuh dan tidak berfikir bagi meningkatkan kejayaan dan kecemerlangan. Banyak lagi ruang untuk kerajaan dan rakyat melakukan usaha-usaha penambahbaikan dari semasa ke semasa," titah Baginda.- 9/9/2017
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 489  tetamu dalam talian