14Disember2018

Untung bersih FGV meningkat kepada RM208 juta pada 2017

Keuntungan bersih Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) meningkat kepada RM208.04 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017 daripada RM66.45 juta yang dicatatkan pada 2016.
 
Perolehan bagaimanapun susut dua peratus kepada RM16.97 bilion daripada RM17.24 bilion bagi tempoh yang sama, berikutan keuntungan rendah yang terakru daripada sektor gula akibat kos gula mentah lebih tinggi, menurut FGV dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group, Datuk Zakaria Arshad berkata sektor perladangan mencatatkan peningkatan ketara dengan keuntungan sebanyak RM554 juta berbanding RM234 juta pada 2016, didorong pengeluaran tandan buah segar (FFB) lebih tinggi, margin jualan minyak sawit mentah (MSM) lebih baik serta prestasi kukuh daripada syarikat usaha sama.
 
Beliau berkata, pengeluaran MSM bertambah 12 peratus kepada 2.99 juta tan seiring dengan pertumbuhan pengeluaran FFB daripada 3.91 juta tan yang dicatatkan pada tahun kewangan 2016 kepada 4.26 juta tan pada tahun kewangan 2017, manakala profil usia purata meningkat dari 14.9 tahun kepada 14.5 tahun.
 
Keuntungan sektor logistik dan lain-lain juga melonjak kepada RM45 juta daripada RM8 juta bagi tempoh yang sama dipacu oleh pengendalian lebih tinggi dalam perniagaan pukal dan kenaikan muatan tanan oleh operasi pengangkutan seiring dengan kenaikan jumlah pengeluaran MSM, katanya.
 
Pada masa depan, FGV dijangka memulihkan kekurangan tenaga kerja menjelang pertengahan 2018 sekali gus mempertingkatkan kecekapan pengambilan hasil tanaman dan menambah pengeluaran FFB tahun ini sebanyak sembilan peratus kepada 4.85 juta tan.
 
Selain itu, langkah tersebut turut mengurangkan kos di kilang, tidak termasuk sebarang caj lain seperti penghantaran atau cukai, bagi pengeluaran MSM kepada RM1,562 bagi setiap tan.
 
Zakaria berkata, FGV akan terus mengembangkan keupayaan perniagaan sektor logistik dan lain-lain untuk mewujudkan peluang luaran bagi syarikat, termasuk pemerolehan tangki cecair dan kering baharu selain meneroka peluang perniagaan luaran daripada pelbagai projek infrastruktur.
 
"Bagi sektor gula, kami mencapai kemajuan menerusi pengurusan kos efektif, pengukuhan modal dan rasionalisasi operasi," katanya, dengan menambah, kilang penapisan di Johor, dijadualkan memulakan operasi pada separuh kedua 2018, akan meningkatkan kapasiti penapisan gula untuk pasaran eksport.
 
Beliau berkata, keputusan prestasi kewangan setahun penuh 2017 syarikat adalah selaras dengan usaha transformasi dan pertumbuhan FGV sepanjang tempoh itu.
 
"Usaha mempertingkatkan transformasi dan pertumbuhan akan diteruskan pada 2018, dengan pihak pengurusan mengunjurkan keputusan positif seterusnya dapat dicapai," katanya.
 
Pendapatan sesaham FGV meningkat kepada 3.90 sen pada 2017 daripada 0.9 sen pada 2016.- 23/2/2018
 
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 497  tetamu dalam talian