18Disember2014

UMNO yakin sapu bersih tiga DUN dan Parlimen Machang

pm-jeli-8
jazlankelate-2
usthalim-1
halim-1
Kawasan Parlimen P29 Machang mempunyai ceritanya yang tersendiri dalam politik Kelantan. Barisan Nasional (BN) hampir memerintah Kelantan bila DUN N34 Kemuning dalam kawasan Parlimen itu hanya kalah dua undi pada Pilihanraya Umum ke 11 tahun 2004.

Dan pada PRU11 juga Datuk Sazmi Miah berjaya memenangi kerusi Parlimen Machang walaupun ketiga-tiga kerusi DUN di situ kalah manakala pada PRU12, UMNO/BN terus dimalukan bila semua kerusi Parlimen dan DUN kalah.

Bagaimanapun, barisan kepimpinan UMNO Bahagian Machang yang diterajui Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub (gambar bawah, kanan) sudah bersedia untuk sapu bersih kesemua kerusi DUN dan Parlimen yang dikuasai pembangkang sekarang pada PRU13 nanti.

Jazlan yang ditemui Agendadaily baru-baru ini memberitahu beberapa faktor penting bagi menyokong keyakinannya bahawa Machang akan menjadi penyumbang kerusi di DUN Kelantan dan Dewan Rakyat.

“Saya tidak mahu retorik, kita melihat secara praktikal dan melihat keadaan semasa, suasana di Machang kita yakin rakyat di sini akan beri sokongan pada BN. Beberapa sebab dan faktor besar serta faktor sampingan yang memihak pada BN,” kata Jazlan.

Menurut Jazlan, faktor utama adalah rakyat sudah dapat melihat kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merealisasikan slogan Rakyat Didahulukan dan jelas apa yang diperkatakan oleh PM itu telah meresap ke dalam jiwa rakyat.

Kata Jazlan, “rakyat sudah pun mula dapat menikmati dan merasai apa yang dimaksudkan oleh PM, pelbagai jenis bantuan samada secara langsung atau tidak langsung.”

Faktor kedua, kata Jazlan, “kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, beliau dilihat sebagai tokoh yang mampu membawa perubahan besar pada negeri ini sekiranya BN diberi mandat oleh rakyat, sudah ada keyakinan rakyat Kelantan terhadap Datuk Pa untuk membawa Kelantan ini ke suatu era perubahan yang dinanti-nantikan sekian lama oleh rakyat Kelantan.”

“Gadingan di negeri Kelantan Datuk Pa dan dipusat oleh Datuk Seri Najib telah memberi satu keyakinan yang tinggi kepada rakyat, bukan sahaja di Machang tetapi di negeri Kelantan ini untuk memberi sokongan pada BN kali ini,” tambah Jazlan.

Faktor ketiga, di Machang khususnya dan Kelantan amnya, Jazlan berkata, “rakyat sudah nampak dengan jelas kegagalan, kepalsuan dan retorik daripada pemimpin-pemimpin PAS ini.”

Menurut Jazlan, sandiwara terbaru kerajaan PAS Kelantan ialah mengadakan upacara pecah tanah Lebuhraya Rakyat di kawasan DUN Kemuning.

“Sebenarnya masa mereka untuk bersandiwara sudah tamat, rakyat sudah lihat dengan jelas batu asas, pecah tanah dan janji-janji sebelum ini yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak satu pun terlaksana,” jelasnya.

Jazlan memberitahu usaha PAS itu adalah untuk menagih simpati rakyat Kelantan apabila terpaksa melaksanakan projek yang menelan belanja kos hampir RM2 bilion untuk kepentingan rakyat.

“Mereka cuba bermain politik kononnya kerajaan pusat zalim terhadap rakyat Kelantan dengan mengambil keputusan tidak membina lebuhraya dari Kuala Krai ke Kota Bharu. Kita tahu setiap musim perayaan seperti Raya Puasa, Raya Haji dan musim cuti sekolah jalan akan jadi sesak, mereka jadikan ini sebagai bahan politik,” tambahnya.

Kata Jazlan lagi, “mereka nak memusingkan pemikiran rakyat dengan meletakkan kesalahan ini pada kerajaan pusat dengan kata lain hendak melindungi kelemahan pentadbiran kerajaan negeri. Ini adalah helah dengan mengadakan pecah tanah untuk membina lebuhraya rakyat dan minta derma daripada rakyat.”

Jazlan menyifatkan kerajaan PAS Kelantan sudah terjerat apabila menyelar kerajaan pusat dalam isu tol lebuhraya kerana tindakan mereka untuk kutip duit rakyat bagi membina lebuhraya itu lebih buruk dan menyusahkan rakayat.

"Mereka memungut derma pada rakyat ini bukankah merupakan kutipan tol, kita buat lebuhraya baru kutip tol tetapi kerajaan PAS ini agak pelik kerana lebuhraya entah di mana sudah minta 'tol' dengan rakyat”

“Semua rakyat yang diminta, yang tidak ada kereta pun diminta untuk menderma sedangkan lebuhraya yang dibina hanya mengutip tol pada mereka yang ada kereta sahaja,” jelas beliau sambil meminta rakyat memahami permainan politik PAS yang sedang menagih simpati rakyat.

Menurut Jazlan, rakyat dapat menilai dan melihat bahawa bukan cara menderma untuk membina sebuah lebuhraya.

Katanya, “untuk mendapatkan lebuhraya di Kelantan ini mudah saja, rakyat Kelantan perlu memberi peluang pada kerajaan BN untuk menerajui negeri ini dan apa yang dijanjikan oleh PAS dalam soal lebuhraya itu akan dilaksanakan oleh kerajaan BN.”

Jazlan menjelaskan bahawa beberapa faktor itulah yang memberi keyakinan satu gelombang baru telah wujud sejak tahun 2004 sokongan pada BN tetapi gagal memerintah kerana Machang tidak dapat menyumbangkan kerusi walaupun satu dari tiga kerusi DUN.

“Kali ini kita yakin dan percaya, Insyaallah Machang akan menyumbang ketiga-tiga kerusi DUN, berkat sokongan daripada rakyat dan diizinkan Allah, kerajaan Kelantan akan diterajui oleh BN. Di peringkat kerusi Parlimen pun kita rasa lebih bersedia pada kali ini, semangat yang ditunjukkan oleh jentera amat tinggi dan masalah dalaman parti boleh dikatakan hampir tidak ada,” katanya.

Menurut Jazlan, masalah dalaman telah diselesaikan, jentera parti berada pada tahap semangat yang cukup tinggi, hanya menunggu masa saja untuk bekerja pada bila-bila masa pada PRU ini. Sokongan rakyat sudah bertambah maka kombinasi ketiga-tiga ini rasa tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh menang kerusi Parlimen Machang.

Katanya, “apabila DUN menyumbang kerusi pada BN sudah tentulah akan membawa kemenangan pada kerusi Parlimen. Dalam masa yang sama kesedaran rakyat amat tinggi bahawa perlunya dua pertiga majoriti kembali kepada BN, kalau tidak maka hasrat murni PM dengan beberapa perancangan sudah tentulah akan merencatkan perjalanan perancangan tersebut.”

Diminta mengulas kedudukan Pengarah Jentera Pilihanraya, Jazlan memberitahu keputusan mesyuarat UMNO Bahagian Machang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan tokoh-tokoh penting untuk menerajui jentera peringkat DUN masing-masing namun ianya tidak bermakna mereka akan terpilih sebagai calon pilihanraya.

Pengarah Jentera Pilihanraya kawasan N33 DUN Pulai Chondong diketuai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ustaz Abd Halim Ismail, (gambar kiri) bagi N34 DUN Temangan diketuai oleh Cikgu Azemi Md. Zin bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Machang yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Machang juga seorang guru penolong kanan di sebuah sekolah menengah di Machang dan kerusi N35 DUN Kemuning dipertanggungjawabkan pada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Machang Eriandi Datuk Ismail.

“Ini bukanlah gambaran mereka akan jadi calon, kita akur apa keputusan yang dibuat oleh pengerusi badan perhubungan UMNO negeri dan pucuk pimpinan, kita akan menerima siapa saja calon,” kata Jazlan.

Katanya, “di Machang ini bukan soal calon, soalnya kita menunggu bila masa PM akan bubar Parlimen dan DUN dibubar untuk kita bekerja kearah kemenangan. Hal calon ini sudah menjadi perkara keempat atau kelima, tak penting bagi kita, individu sudah jadi tak penting keutamaan pada BN/UMNO dulu yang menjadi perkara utama yang patut kita letak dihadapan.”

Mengulas tentang kemungkinan beliau mungkin bertanding kerusi Parlimen Machang, Jazlan hanya mahu berterima kasih pada pucuk pimpinan sekiranya beliau dicalonkan.

Bagaimanapun, Jazlan anggap ianya satu tanggungjawab tetapi lebih penting adalah kerja bersungguh-sungguh bukan untuk diri sendiri tapi untuk memastikan hasrat rakyat tercapai dalam usaha membela rakyat yang berada di kawasan luar bandar ini.

Bagi Jazlan tidak ada jalan lain melainkan UMNO/BN mesti menang barulah boleh melaksanakan tugas dan walaupun dirinya tidak tercalon bukan menjadi apa-apa masalah kerana yang pentingnya dan menjadi perkara pokok ialah parti mesti menang, hasrat kita untuk tolong BN kembali memerintah Kelantan serta mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat akan jadi kenyataan.

“Kalau kita asyik memikirkan kepentingan kita samada akan jadi calon atau tidak maka saya percaya parti tidak akan menang kerana setiap pemimpin ada pengikutnya tersendiri. Setiap pemimpin daripada Ketua Bahagian, Timbalan, Naib, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri serta lain-lain ada pengikut dan pengaruhnya tersendiri namun tempat terhad,” jelas beliau.

Katanya, “PM lebih tahu, mata telinganya lebih luas daripada kita, siapa 'winnerable candidate' yang dimaksudkan itu maka kita kena akur dan yakin, kalau bukan kita maka kita kena akur bahawa kita bukan lagi memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh PM. Kalau kita memikirkan pemimpin parti diperingkat bahagian mesti bertanding maka untuk suasana kali ini, dalam keadaan begini genting maka kita membuat tafsiran yang silap.”

Jazlan seterusnya meminta pemimpin parti berkorban, akur, patuh pada pucuk pimpinan, tidak boleh menjadi suatu kewajipan bahawa pemimpin parti mesti bertanding, kalau kebetulan pemimpin parti bertanding itu secara kebetulan sebagaimana dikehendaki oleh PM.

“Tetapi kalau tidak pemimpin parti yang dipilih pun maka pemimpin parti perlu untuk melakukan suatu pengorbanan yang besar,” tambahnya.

Apabila diminta mengulas tentang sikap sesetengah pemimpin UMNO Bahagian yang bercakap soal pengorbanan di depan pemimpin besar parti, Jazlan berkata, “memang sebelum pilihanraya ini semua pemimpin parti akan bercakap manis, sebelum nama calon diumumkan oleh PM atau pengerusi perhubungan maka pemimpin parti akan mengatakan kita akan akur pada keputusan pucuk pimpinan, kita perlu berkorban, kita tak penting parti penting...ini semua adalah satu mainan ataupun dendang yang lama kita dengar.”

Beliau seterusnya berharap pucuk pimpinan akan lebih serius, tegas dan tidak ada kompromi, kalau didapati pemimpin parti di peringkat bahagian atau di mana-mana peringkat sekalipun didapati tidak memberi kerjasama, sabotaj dan tidak mahu berkorban untuk parti dan melakukan 'cah keting', boikot pilihanraya maka Presiden parti mengambil tindakan tegas.”

“Hatta terpaksa pecat orang-orang seperti ini daripada parti kita kena lakukan, jangan biarkan ianya menjadi suatu kuman barah yang akhirnya akan membunuh seluruh badan. Tabiat ini kalau tidak dihentikan dan dimatikan serta diambil tindakan yang serius pada PRU13 ini nanti ianya akan menjadi lebih parah untuk masa-masa akan datang, kalau nak cegah...cegah sekarang,” katanya yang mahu pucuk pimpinan lebih tegas dalam hal ini.

“Kena buat...kena buat betul-betul sekarang, kalau nak laksana, laksanakan betul-betul sekarang... tak ada amaran...tak ada warning...kalau dapati bersalah ada saksi yang jelas, kita boleh yakini tanpa ragu-ragu maka kita kena ambil tindakan hatta dilucutkan keahlian dalam parti.” ujar Jazlan.
 
Sementara itu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Machang Abd Halim Ismail (kiri sekali) selaku Pengarah Jentera Pilihanraya DUN Pulai Chondong berharap rakyat Kelantan akan membuat penilaian yang sebaiknya dalam memilih parti untuk menerajui negeri itu.
 
"Kita harap BN akan jadi pilihan rakyat Kelantan pada PRU13 nanti dan Machang akan memberi sumbangan besar pada DUN Kelantan dan Parlimen, kita akan memastikan Kelantan dikuasai semula oleh BN dengan sokongan penuh rakyat, " katanya.-16/7/2012 OLEH LUKMAN ABDULLAH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 738  tetamu dalam talian