13Disember2018

UMNO tidak halang ahli mengundi dalam piliharaya kecil Port Dickson

UMNO tidak menghalang ahli parti itu untuk mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan berlangsung Sabtu ini.
 
Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak ada arahan oleh parti itu untuk memboikot pengundian PRK Port Dickson.
 
“Memang kita tak keluar apa-apa arahan pun,” katanya memetik laporan media Rabu.
 
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding PRK Port Dickson menentang Anwar.
 
Namun begitu, Mohamad berkata mengundi adalah hak individu.
 
“Siapa nak turun mengundi atau tak turun mengundi itu terpulang kepada masing-masing,” katanya.
 
Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata Ketua Bahagian Port Dickson Mohd Faizal Ramli tidak melanggar sebarang arahan parti.
 
Terdahulu Faizal menggesa pengundi Melayu, khususnya 13,000 anggota parti itu untuk keluar mengundi pada 13 Oktober ini.
 
Annuar berkata Faizal sekadar menyeru pengundi turun mengundi dan bukannya mengajak pengundi memilih mana-mana parti.
 
“Kita boikot dari segi tidak meletakkan calon, kita bukan boikot mengundi dan mengundi itu adalah hak pengundi-pengundi berdaftar dan parti tidak ada kuasa untuk halang hak pengundi-pengundi,” katanya.
 
Beliau berkata tindakan Faisal selaras dengan pendirian BN yang tidak menghalang pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
 
“Pengundi-pengundi juga boleh memilih serta mengundi calon yang mereka suka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
PRK Port Dickson akan diadakan Sabtu ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.
 
Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon BN Datuk VS Morgan yang memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).
 
PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan 7 penjuru membabitkan Anwar yang mewakili Pakatan Harapan; calon PAS Let Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar; bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas); Mohd Saiful Bukhari Azlan (Bebas); Lau Seck Yan (Bebas); Chan Keng Leong (Bebas); dan Kan Chee Yuen (Bebas).- 10/10/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 405  tetamu dalam talian