26April2018

UMNO tidak akan pijak parti komponen BN yang lemah - Zahid

UMNO tidak akan meninggalkan mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun ada antaranya berdepan masalah dan tidak menunjukkan prestasi baik pada pilihan raya sebelum ini.

Menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ada ketikanya apabila UMNO terdampar, parti-parti komponen inilah yang mengangkat UMNO dan seterusnya membantu kemenangan BN.

“Kini mereka terdampar dan kita tidak boleh memijak mereka. Kita harus mengangkat mereka. Mereka juga sedang mengalami ujian.

“Ketika kita kuat, kita mesti membantu yang lemah, ketika kita lemah, kita mengharap bantuan daripada yang kuat,” ujar Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut Zahid, dalam situasi ini, beliau berpendapat perkahwinan politik secara kekal itu penting untuk dipertahankan bukannya perkahwinan muta’ah atau perkahwinan kontrak politik yang berkecai apabila rumah yang sama sudah rosak di sana sini.

“Dalam hal ini, tentulah rumah agam kita lebih baik. Justeru ketika rakan-rakan komponen dalam BN sedang menghadapi masalah,  kita tidak harus mengenepikan kerana mereka pernah menolong kita ketika kita juga di dalam kesusahan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama Editor BNBBC.my DATUK ROSLAN BIAN  sempena Perhimpunan Agung UMNO ke 71.

Zahid yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO juga mengulas mengenai beberapa bekas pemimpin yang meninggalkan parti dan bersekongkol dengan pembangkang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, UMNO sudah mengalami banyak kali peristiwa bekas pemimpin parti sendiri menikam dari belakang.

“Kita tahu pengasas UMNO tidak meninggal di dalam UMNO. Kita tahu presiden kedua UMNO tidak meninggal di dalam UMNO.

Kita juga mengalami serpihan dalam UMNO  apabila pengerusi biro politik menubuh parti lain yang berasaskan Islam.

Kita juga tahu tokoh dalam UMNO apabila parti berpecah kepada team A dan team B telah menubuhkan parti serpihannya.

Ini bermakna, bukan perkara baharu apabila pemimpin UMNO kecewa kerana matlamat peribadinya tidak tercapai sehingga menikam UMNO dari belakang,” ujar Zahid.

Tegasnya, UMNO kukuh selama 71 tahun kerana ia tetap diperkasakan walaupun pemimpin datang dan pergi tetapi parti membiarkan ia berlalu.

“Pokoknya, sesiapa yang memimpin UMNO di semua peringkat mesti mengutamakan UMNO dan memperkasakan UMNO sebagai organisasi sosial Melayu bukan hanya sebagai parti politik,” tambah beliau lagi.- 4/12/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 967  tetamu dalam talian