14Disember2018

UMNO mahu keputusan tidak meratifikasi ICERD dibuat di Parlimen...

UMNO belum terima kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai satu keputusan rasmi.
 
Malah ia anggap cara kenyataan itu dibuat tidak mengikut formaliti pentadbiran.
 
Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada kenyataan PMO itu menegaskan ia hanya boleh disahkan melalui tandatangan Perdana Menteri sendiri, yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar direkodkan dalam hansard rasmi.
 
“Pendekatan ini tidak boleh diterima dan tidak menjamin ianya akan berubah bila-bila masa sahaja, apatah lagi ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
 
“Sehingga ianya dimasukkan ke dalam hansard Parlimen, kami sukar untuk mempercayai keikhlasan kerajaan dalam membuat keputusannya,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
 
Namun begitu katanya, pembangkang berterima kasih kepada keputusan itu dan percaya ia ada kaitan dengan Perhimpunan Kebangkitan Ummah dalam menentang ICERD di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
 
“Ia juga dipercayai ada hubungan dengan langkah politik Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Rantau tidak lama lagi.” Kata Zahid.
 
Pada Jumaat PMO mengeluarkan kenyataan rasmi memberitahu kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD.
 
Menurut kenyataan itu kerajaan sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
 
“Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD.
 
“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” kata kenyataan itu.
 
Sementara itu Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata kenyataan bahawa Kerajaan mengubah pendirian dan menjamin tidak akan meretifikasi ICERD tidak boleh dibuat melalui surat atau press release sahaja.
 
“Ia perlu dibuat oleh Perdana Menteri melalui satu kenyataan kepada Parlimen Malaysia dan direkodkan secara rasmi dalam hansard dan minit Parlimen,” katanya. 
 
Sebelum itu beliau berkata UMNO akan berbincang dengan jawatankuasa dan sekretariat himpunan bantahan ICERD sama ada akan meneruskan atau tidak himpunan yang dijadualkan pada 8 Disember ini.
 
Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Annuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong mempunyai pendirian sama.
 
Katanya keputusan kabinet ini mesti diperkukuhkan dengan membuat pendirian rasmi dalam sidang Dewan Rakyat.
 
“Ini penting supaya usaha meratifikasikan Icerd tidak diteruskan pada masa akan datang. Ini kerana kita bimbang keputusan kabinet ini hanya bersifat sementara,”katanya.- 24/11/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 540  tetamu dalam talian