21Jun2018

UMNO Johor tidak buat keputusan sokong sesiapa dalam pemilihan jawatan parti - Dr Latif

UMNO sebagai parti berusia 72 tahun kini melalui hari-hari yang penuh mencabar dalam mendepani kestabilan politik termasuk menguruskan secara berhemah dan bijaksana bagi memastikan parti terus relevan di sisi ahli parti dan rakyat jelata.
 
Perjuangan perlu diteruskan walaupun badai yang melanda itu cukup terkesan terhadap pucuk pimpinan tertinggi dan parti secara keseluruhannya.
 
Kita sebagai pemimpin dan ahli parti secara keseluruhannya redha, sabar dan bertabah dengan ketentuan Allah SWT.
 
Kesan daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 tempoh hari memperlihatkan peralihan pucuk pimpinan Dato' Sri Mohd Najib Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO.
 
Pada ketika keadaan yang rumit dan runcing itu, kesediaan dan keterbukaan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid menerima amanah yang dipikul sebagai Pemangku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional adalah satu langkah buat seorang insan yang sayangkan parti keramat orang Melayu Bumiputera.
 
Kesanggupan beliau jelas menunjukkan seorang pemimpin yang berjiwa besar dan sanggup memikul tanggungjawab berat.
 
Tanpa mempedulikan betapa teruknya kerosakan yang dialami parti, saya melihat Dr Ahmad Zahid seorang yang pantang berundur, tidak melatah tetapi mempunyai kebijaksanaan untuk mengatur dan membaikpulih bahtera UMNO secara berhemah.
 
Ahli UMNO sepatutnya melihat atas kesedaran seorang pemimpin yang sanggup memikul tanggungjawab yang amat berat ini. Berada pada ketika kemerosotan yang belum pulih lagi, sewajibnya setiap lapisan pemimpin dan ahli parti perlu memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi.
 
UMNO memerlukan seorang pemimpin berjiwa besar yang boleh memulihkan semangat juang parti dan pada waktu sama, melakukan rombakan revolusi secara besar-besaran untuk memastikan parti ini sentiasa bersama rakyat jelata.
 
Dr Ahmad Zahid adalah bakal seorang Presiden UMNO yang sudah melalui proses dari peringkat bawah sehingga ke atas. Seorang anak kampung Bagan Datuk yang dilahirkan sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat sudah melalui proses kepartian yang hebat.
 
Pernah diuji sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada 1997/1998 yang menyebabkan berlaku krisis kepimpinan, namun tidak melatah sekalipun dan menuruti kehendak pucuk pimpinan ketika itu yang akhirnya soal taat-setia menjadi paksi pegangan beliau.
 
Inilah ciri-ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang Presiden UMNO iaitu berjiwa besar, taat-setia, bijaksana, berhemah, dekat di hati ahli parti dan disenangi rakyat jelata. Inilah yang ada dalam diri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Soal berpuak-puak ini perlu ditolak jauh sama sekali kerana dalam pemilihan kali ini, kita perlu sedar akan kepentingan parti lebih jauh menjangkau dan memerlukan seorang nakhoda yang bijak membina semula.
 
Keadaan politik sekarang jauh berbeza dan UMNO memerlukan seorang Presiden seperti Dr Ahmad Zahid yang seterusnya memerlukan sokongan kita semua. Tidak mudah untuk menguruskan kepentingan ahli lebih 3 juta orang tetapi semangat kesatuan yang telah lama terbit dalam jiwa Dr Ahmad Zahid membolehkan parti boleh berada di landasan semula.
 
UMNO pasti BANGKIT dan BANGKIT menerusi kepimpinan Dr Ahmad Zahid yang mempunyai sentuhan dan naluri yang mendekati ahli parti. Saya menyokong sepenuhnya Dr Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO yang berjiwa besar yang sudah tentu mempunyai perancangan dan hala tuju untuk merapatkan saf dan kebersamaan pada peringkat pertama ini. Soal ini lebih penting sebelum merangka kepada hala tuju saf kepimpinan yang baharu pula.
 
Dalam pada itu, UMNO Johor tidak membuat keputusan untuk menyokong mana-mana jawatan pelbagai peringkat termasuah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
 
Kita menyerahkan kepada kebijaksanaan akar umbi bertanggunjawab untuk membuat pilihan mereka sendiri.
 
Jika ada mana-mana pihak yang mengaku UMNO Johor cenderung kepada seseorang tokoh seperti Tengku Razaleigh, ia adalah pandangan peribadi dan bukannya daripada UMNO Johor.
 
Sejujurnya UMNO Johor ada pengalaman hitam di antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam pada 1987 sehingga menyebabkan UMNO lama menjadi haram. Fikirkanlah.
 
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad Timbalan Pengerusi UMNO Johor dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO

11/6/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 931  tetamu dalam talian