22Oktober2014

Hadi...jujurlah akui kesilapan walaupun pahit!

hadi-baruxx
raisxx
Jika 30 tahun lalu Datuk Seri Abdul Hadi Awang bikin kecoh dengan amanatnya mengkafirkan UMNO, kini Presiden PAS itu sengaja buat kecoh lagi juga berpunca amanat sama.

Kali ini beliau berkeras mahu RTM dan TV3 berinya sejam siaran langsung kononnya bagi memperjelaskan pasal Amanat Haji Hadi yang telah memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Pada awalnya, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyatakan RTM bersedia penuhi tuntutan Hadi.

Rais bagaimanapun mahu mufti serta tokoh agama akan dijemput menyertaiforum di televisyen bagi selesaikan kemelut berpunca amanat Hadi.

Bagaimanapun, menteri itu pada Rabu membatalkan rancangan untuk menyiarkan penjelasan Hadi berhubung isu itu kerana penyiaran amanat Hadi itu jelas akan bercanggah dengan satu fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 24 Julai 2002.

Namun, ada juga dalam PAS pemimpin yang cerdik tidak boleh diikut, bodoh tidak boleh diajar.

Contohnya PAS Selangor menyifatkan tindakan kerajaan atau UMNO tidak membenarkan Hadi untuk bersiaran langsung menerusi RTM dan TV3 kerana takut kepada kebenaran.

Itu kata Pesuruhjayanya, Dr Abdul Rani Osman manakala Naib Presiden Salahuddin Ayub lagi pelik bila minta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut serta dalam forum di TV itu.

Apa kena mengena UMNO takut atau Najib nak diheret dalam isu Amanat Haji Hadi?

Walaupun Najib adalah Presiden UMNO, parti yang dituduh Hadi sebagai kafir, isu sebenarnya tuduhan Hadi adalah terhadap ahli-ahli UMNO yang juga beragama Islam sama seperti Presiden PAS itu.

Tuduhan Hadi berkaitan agama dan sewajarnya beliau berdepan dengan ilmuan agama seperti mufti.

Pastinya Salahuddin sengaja mahu campur tangan dalam isu Hadi berhubung amanatnya dan beliau tahu dengan membabitkan Najib dalam kemelut itu, kontroversi isu tersebut akan berterusan.

Ini kerana Najib tidak mungkin mahu terbabit dalam isu yang harus diselesaikan sendiri oleh Hadi kerana beliau yang mencetuskan dakwaan bahawa UMNO kafir menerusi amanatnya pada 1981.

Sepatutnya Salahuddin dan pemimpin-pemimpin PAS lain menyokong Hadi memberikan penjelasan atau menarik balik amanat itu kerana sudah jelas terbukti ianya banyak memecah-belahkan umat Islam.

Pemimpin PAS harus melihat dengan kesediaan Hadi bersemuka setidak-tidaknya untuk membesihkan parti itu daripada amanat yang masih diikuti segelintir ahli-ahli tegar PAS.

Kepada Salahuddin. UMNO tidak tunggu apa-apa tetapi umat Islam di negara ini yang tidak sabar-sabar menunggu Hadi menjelaskan mengenai amanatnya dan menarik semula.

UMNO bukan mahu cuci tangan apabila Rais mahu penyertaan mufti atau ulama dalam forum bersama Hadi tetapi ini isu agama bukannya politik.

Terbaru apabila Rais membatalkan rancangan untuk menyiarkan penjelasan Hadi, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan mendakwa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berkaitan amanat itu seperti dijelaskan Rais.

Katanya, hanya Majlis Fatwa Negeri Melaka berbuat demikian dan mahu Rais memohon maaf daripada Hadi.

Itulah tahap kecerdikkan pemimpin PAS demi mempertahankan Hadi dan amanatnya.

Sebenarnya tidak ada beza jika fatwa itu dikeluarkan di peringkat kebangsaan atau negeri kerana yang jelas pada 1984, Majiis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan amanat itu tidak boleh disebarkan kepada umum.

Apapun keputusan pada 24 Julai 2002 adalah jelas :-

1. Bahawa Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah -

(a) bercanggah dari segi ajaran Islam;

(b) bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan Agamanya; dan

(c) bercanggah dengan prinsip dakwah Islamiah.

2. Mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) menyebar, mengajar, mempelajari dan mengamalkan amanat tersebut; dan

(b) menjual, mencetak, mengedar, membeli atau memiliki amanat tersebut.Kesimpulan isu amanat haji Hadi terus mengundang kontroveri malah PASdilihat masih mempolitiknya.

Sudah tabiat pembangkang, benda mudah mahu disusahkan asalkan mereka terus mengutip laba politik.

Persoalan dan jawaban sebenarnya di tangan Hadi dan perlu kejujuran beliau untuk menyelesaikannya.

Sama ada bersiaran langsung atau tidak, cubalah Hadi jadi manusia yang boleh menerima kebenaran dan sanggup mengakui kesilapan walaupun ianya amat pahit. -3/1/2013- OLEH ROSLAN BIAN


Tokoh agama akan dijemput bersama Hadi dalam rancangan TV - Rais


Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tokoh agama dan mufti negeri-negeri akan dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia. Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatar belakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita".

"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka Isnin.

Presiden PAS itu, katanya harus bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan forum tersebut akan dibuat dalam suasana yang sesuai.

Rais berkata Hadi tidak boleh membuat tanggapan bahawa keputusan (Amanat Hadi Awang) yang beliau buat pada 1981, itu adalah muktamad.

Menurut Rais Hadi bukan ahli jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri, sebaliknya beliau hanyalah seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula berasaskan sentimen yang diselubungi oleh politik.

Rais juga berharap Hadi akan menarik balik tuduhan kafirnya ke atas pengikut Umno semasa berlangsungnya program itu dan jika beliau mahu meneruskan amanatnya, Hadi harus mendengar pandangan daripada tokoh-tokoh agama lain yang akan turut serta.

"Sehingga kini, belum ada lagi permohonan rasmi dari Hadi tetapi segala perancangan untuk menyediakan rancangan berbentuk forum tanpa kehadiran penonton studio itu sedang berjalan," katanya.

Rais menjelaskan demikian ketika mengulas mengenai hasrat Hadi yang mahu muncul dalam kaca televisyen secara langsung selama sejam untuk menerangkan keadaan sebenar berhubung isu pepecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanatnya yang mengkafirkan Umno pada 1981, di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Rais meminta parti-parti politik dalam negara ini supaya bersatu dalam konteks kemasyarakatan Malaysia.

Malaysia harus dibantu tanpa mengira latar belakang politik, agama dan budaya supaya negara ini terus mendapat tempat tertinggi dalam aturan keduniaan dan antarabangsa, katanya.

"Kita perlu bersatu dalam konteks di luar politik dan bukan hanya politik sahaja yang boleh satukan kita, tetapi perasaan kekitaan sebagai rakyat Malaysia," katanya.

"Orang PKR (Parti Keadilan Rakyat) perlu jayakan anak mereka, orang Umno pun sama, kita tidak boleh terlalu banyak berlopak dalam politik sampai kita lupakan negara dan kewarganegaraan kita," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Hadi disyor mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai "Amanat Haji Hadi" tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Menurut Ahmad tindakan Presiden PAS itu yang hanya mahu tampil di stesen televisyen tertentu seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3, seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.

"Mungkin ada tujuan-tujuan tertentu. Tapi pada saya panggil sidang akhbar lagi ramai boleh datang. Ia boleh disiar secara langsung oleh segala web TV. Nak panggil stesen TV luar negara pun boleh," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kopitiam Killiney Putrajaya di sini, hari ini.

Ahmad berkata pada sidang akhbar Sabtu lepas selepas sekian lama berdiam diri daripada menjawab isu berkenaan, Hadi tidak memaklumkan untuk menarik semula amanat itu, tetapi hanya ingin memberi penjelasan.

"Mudah-mudahan dia akan tarik amanat itu. Tapi kelihatannya sukar. Saya kira kalau dia menarik balik amanat itu dan memohon maaf, dia berjiwa besar seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Walaupun tak nampak apa salah perdana menteri, tapi (memohon maaf) bagi pihak pemimpin yang tidak turun padang, yang tidak melaksanakan tugas dengan baik yang menyebabkan kekalahan pada pilihan raya umum 2008," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.-31/12/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 551  tetamu dalam talian