15November2018

Tiada keputusan untuk terima Ahli Parlimen BN secara beramai, automatik...

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, belum ada lagi keputusan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menerima anggota Parlimen (MP) dari Barisan Nasional (BN) secara beramai-ramai dan automatik.
 
Bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Sabtu, Mahathir yang juga pengerusi PH berkata, PH akan melihat kualiti orang yang hendak menyertainya.
 
“Anggota (BN) yang cuma nak jadi wakil rakyat dan tidak ada tindakan apa kita akan consider (pertimbang). Tidak akan masuk secara automatik,” katanya. 
 
"Jika MP dari BN tinggalkan parti itu dan menjadi bebas dan menyokong kerajaan dan merayu dengan berlutut yang mereka hendak menyertai PH, barulah PH mungkin mempertimbangkannya,” tambah beliau.
 
Menurut beliau, ada MP BN yang nyatakan sendiri untuk masuk PH dan antaranya hendak masuk seperti dalam satu kumpulan.
 
“Itu tak boleh. MP BN masuk satu kumpulan mereka akan jadi besar daripada kita. We don't want to be under them we want to be above them (kita tak mahu di bawah mereka, kita mahu di atas mereka),” katanya.
 
"Jadi kalau hendak masuk PH seorang demi seorang, setelah mereka (keluar) parti lama mereka jadi bebas dan buat permohonan," katanya lagi.
 
Ditanya sama ada PH mempunyai senarai hitam anggota Parlimen BN yang tidak boleh menyertai PH, Perdana Menteri berkata tidak ada sebarang senarai hitam. 
 
Ditanya bagaimana Datuk Seri Mustapa Mohamed diterima masuk ke dalam PH, Dr Mahathir berkata Mustapa telah menemui beliau sejak dia masih dalam kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
Mengenai perjumpaan beliau dengan anggota Parlimen BN, Perdana Menteri berkata beliau tidak pernah memanggil sesiapa untuk berjumpa : “Mereka yang hendak datang jumpa saya, saya jumpa. Saya jumpa dengan semua orang even press (malah dengan media) pun saya jumpa." 
 
Mengenai cadangan daripada satu bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia supaya beliau menjadi Perdana Menteri selama sepenggal iaitu lima tahun, Dr Mahathir berkata : "I promise I will step down. I keep my promise (saya berjanji akan undur diri, saya pegang pada janji). 
 
“Adakah saya pada bila-bila masa tidak pegang pada janji saya Saya satu-satunya diktator yang meletakkan jawatan”.
 
Ditanya sama ada sebarang ketetapan dibuat mengenai tempoh beliau menjadi Perdana Menteri pada mesyuarat hari ini, Dr Mahathir berkata : “Saya kata dah, saya cuma dua tahun sahaja.
 
"Tak tahulah kalau dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi izin dua tahun setengahlah,” katanya berseloroh sambil memandang Anwar. 
 
Pada sidang media itu, Dr Mahathir turut mengumumkan bahawa Lim Kit Siang kini menjadi anggota dalam Majlis Presiden PH. - 3/11/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 370  tetamu dalam talian