22Oktober2017

Tak perlu PAS dalam Pakatan... PAN, PPBM boleh ganti - DAP

Bersorak sakan DAP dengar cerita PAS hendak putus hubungan dengan PKR dan tidak jadi berkerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Berdasarkan perkembangan terkini itu, DAP memberikan semangat kepada parti-parti pembangkang lain bahawa mereka tidak memerlukan PAS.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata ketiadaan PAS membuka peluang kepada DAP dan PKR untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang dengan kewujudan Parti Amanah Negara (PAN).

Katanya, ketiadaan PAS turut membuka peluang kepada kerjasama politik dengan PPBM.

“Ketidakadanya parti PAS tidak melemahkan keazaman kita dan sebaliknya membuka peluang untuk mengukuhkan pakatan kita dengan munculnya PAN dan PPBM.

“PKR adalah rakan politik dan setiakawan kita sejak zaman reformasi. Kita akan sama-sama memainkan peranan untuk menerajui pakatan politik di Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

PAS disingkirkan daripada pakatan pembangkang oleh DAP dan PKR kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan kepentingan politik pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin PAS kemudian menubuhkan PAN bagi menggantikan PAS sebagai parti islam dalam pakatan pembangkang.

Pakatan pembangkang kemudian menandatangani perjanjian dengan PPBM yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas keluar daripada UMNO.

Mahathir bekerjasama dengan pakatan pembangkang kerana berdendam dengan UMNO apabila beberapa kepentingan perniagaan dan politiknya tidak dipenuhi UMNO dan kerajaan Barisan Nasional.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan berkata tidak ada ruang untuk kerjasama dengan sesiapa yang bersama dengan pihak yang menentang agenda perjuangan PAS.

Menurutnya PAS tidak mahu merangka kerjasama atas dasar dosa dan kezaliman yang diharamkan oleh Islam.

"PAS sebagai parti politik Islam mempunyai kayu ukur dan neraca tersendiri dalam menentu dan menilai matlamat dan hala tuju perjuangan.

"Kayu ukurnya adalah Islam yang rujukannya adalah al-Quran dan Sunnah. Justeru, tentulah ia berbeza daripada kayu ukur dan neraca parti politik lain. Dan silap jika ada ahli PAS yang mahu kami mengikut cara fikir, matlamat, hala tuju serta strategi parti seperti DAP, PKR, PAN, PPBM sementelah lagi UMNO," katanya.

Menurutnya lagi, sebarang kerjasama politik untuk berkuasa dengan mana-mana pihak sama ada parti politik atau badan bukan kerajaan hendaklah dengan tujuan mencapai matlamat tersebut.

”Maka sesiapa yang menentang matlamat perjuangan ini maka dia berpotensi menjadi musuh walaupun dalam masa yang sama dia juga adalah sasaran dakwah PAS.

”Sebagai parti politik, PAS menyertai pilihan raya tanpa jemu sama ada menang atau kalah sejak 1955 sebelum merdeka sehingga PRU13 selepas merdeka pada 2013.

"Sekiranya kemenangan berpilihan raya belum diperolehi maka kerja dakwah dan nasihat kepada pemerintah dan rakyat berkonsepkan Amar Makruf Nahi Mungkar diteruskan sehingga menanti PRU seterusnya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terkini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan kerjasama parti itu dengan PPBM berakhir selepas Tun Mahathir Mohamad mengumumkan penyertaan parti itu dalam Pakatan Harapan.-19/3/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 981  tetamu dalam talian