18Julai2018

'Tabur dedak'…jangan sampai Dr Mahathir gelak pada Azmin

Semua orang boleh faham Datuk Seri Azmin Ali merasa cukup tertekan dengan pertandingan tiga penjuru yang bakal beliau hadapi di kubunya di kawasan Parlimen Gombak dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa di Ampang.
 
Tidak pasti samaada beliau akan lari ke kawasan lebih selamat atau tidak tetapi setakat ini dari gerak kerjanya nampak macam Menteri Besar Selangor ini sudah set nak pertahankan kerusi Parlimen dan DUN di dua kawasan itu.
 
Ada cerita yang berlegar di kalangan orang pakatan pembangkang sendiri yang kata Azmin kali ini nampak agak gabra walaupun dikhalayak umum setiasa menampilkan muka konfiden habis.
 
Pada pilihanraya umum ke 13 Azmin menang kerusi Parlimen Gombak setelah menewaskan calon BN Raman Ismail dan calon bebas Said Nazar Abu Baker.
 
Beliau dapat 54,827 undi ,Raman 50,093 manakala Said Nazar 474.Majoriti Azmin 4.734 undi.
 
Bagi DUN Bukit Antarabangsa beliau menang setelah dapat 16,507  undi menewaskan calon BN Mohamad Nadzim Ibrahim yang dapat 12,458.Majoriti beliau ialah 4,044
 
Namun untuk PRU14 padang permainan sudah berbeza.Gelombang dan badainya lain macam.
 
PAS sudah tiada dalam pakatan dan kini tinggal serpihannya Parti Amanah yang lemah disamping Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) enter frame.
 
Dulu Azmin diketahui banyak bergantung kepada jentera PAS di Gombak dan di Bukit Antarabangsa.Jentera PKR secara bersendirian dikebanyakan tempat adalah lemah.
 
Dalam sepak terajang politik untuk PRU 14 PAS sudah tentu akan ‘sembelih’ Azmin cukup-cukup selain beliau terpaksa bersilat dengan calon BN.
 
Atas sebab itu ramai pemerhati politik kata jika Azmin berani dan terus kekal bertanding di Gombak dan Bukit Antarabangsa ia merupakan antara tempat yang semua orang kena pasang teropong masa PRU14.
 
Apakah pecahan undi tiga penjuru akan telan Timbalan Presiden PKR atau tidak?
 
Dari apa yang dipantau kebelakangan ini keresahan jelas terpancar dari kem Azmin.

 
Ini dapat dilihat dari aksi ‘ tunjuk hebat’ menerusi pemasangan awal bendera PKR yang akan jadi lambang rasmi pakatan dan segala macam sepanduk s serata pelusuk Gombak.
 
Paling ketara ialah program-program ‘ tabur dedak’ yang rancak di kawasan berkenaan kebelakangan ini.
 
Nampaknya Menteri Besar Selangor itu seolah berazam hendak kunci rapat rapat kubunya agar tidak dibolosi PAS maupun BN.
 
Terbaru agak riuh menjadi bualan politik bagaimana Azmin dan jenteranya disebalik program bantuan program masyarakat dan kemudahan awam mengedarkan barangan seperti komputer riba dan iPad  serta wang tunai di Gombak dan Bukit Antarabangsa. 
 
Juga dilaporkan oleh sebuah portal dalam dua majlis di Ukay Perdana dan Kampung Kerdas, jumlah bantuan yang diedarkan lebih RM2.24 juta.
 
Bagi golongan muda, Azmin memberikan lebih RM44,000 sebagai bantuan kepada pelajar, serta 14 komputer riba.
 
Menteri Besar itu juga memberikan enam komputer riba kepada ketua kampung sebagai sebahagian daripada inisiatif Peduli Rakyat oleh kerajaan negeri.
 
Beliau juga meluluskan RM75,000 diminta oleh persatuan penduduk Spring Ville 2 bagi kemudahan awam.
 
Dalam bagi sana bagi sini Azmin juga tidak lupa mengingatkan mereka secara berjenaka kata ‘Amin amin amin, undi jangan lupa’ bila menyambut sorakan dan ‘ amin’ dari orangramai yang seronok terima bantuannya.
 
Dalam ucapannya di Ukay Perdana  Azmin dilaporkan menafikan pemberian itu dilakukan kerana pilihan raya umum ke-14.
 
Katanya bantuan yang disampaikan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan sementara sebagai pentadbiran yang peduli rakyat.
 
Itulah drama pakatan pembangkang.Bila BN bagi segalanya dicop ‘dedak’ untuk pancing undi.
 
Apa yang mereka buat segalanya mulus suci.
 
Cuma harap-harap pembesar utama pakatan pembangkang Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering hentam kerajaan dengan ayat  ‘cash is king’ tidak gelak berguling-guling melihat gelagat Azmin.- 15/4/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 544  tetamu dalam talian