18Disember2014

SPRM sudah selesai membuat tapisan keutuhan bakal calon bertanding PRU-13

sprm-logo
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai mengadakan proses tapisan keutuhan calon-calon daripada parti-parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata pihaknya masih bersedia menerima permohonan bagi tujuan itu jika parti-parti politik ingin berbuat demikian di saat-saat akhir.

Tanpa menyebut butiran dan keputusan proses itu, beliau berkata tapisan untuk politik bukan perkara baru kerana SPRM telah menapis 891 calon pada pilihan raya umum 2008.

"Hasil daripada proses ini akan dimaklumkan kepada pihak pemohon dan keputusan muktamad untuk menentukan calon itu, bukan bidang kuasa SPRM, tetapi bidang kuasa parti berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani ikrar integriti korporat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) bersama SPRM di Seremban, Isnin.

Bernama melaporkan turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mat Ali Hassan, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Sok One a/l Esen dan Pengurus Besar SAINS Zulkifli Ibrahim.

Sutinah berkata sebenarnya tiada peruntukan undang-undang yang memerlukan mereka menghantar nama kepada SPRM untuk membuat proses tapisan dan ia adalah inisiatif SPRM untuk memastikan calon-calon yang akan mentadbir negara nanti orang yang berintergriti dan bersih daripada rasuah.

"Ini merupakan kaedah atau pendekatan yang kita tawarkan melalui tapisan keutuhan. Nama bakal calon ini kita rahsiakan. Ini aspek kerahsiaan yang kita akan jaga," katanya.

Kebiasaannya proses ini mengambil masa sekitar seminggu atau dua minggu dan paling lama sebulan, katanya.

Beliau berkata tapisan ini bukan hanya khusus untuk calon yang bakal bertanding pada pilihan raya umum dan ia juga dibuat ke atas individu yang akan menduduki sesuatu jawatan penting.

Mengikut pekeliling yang dikeluarkan sejak tahun 1985, ia memberi kuasa kepada SPRM membuat tapisan ke atas penjawat awam antaranya untuk tujuan kenaikan pangkat, bersara awal dan perakuan sebelum mendapat pingat.

Sementara itu, Sutinah berkata setakat ini 175 syarikat di negara ini telah menandatangani ikrar integriti korporat bersama SPRM yang menekankan aspek pencegahan rasuah dalam dunia perniagaan dengan mewujudkan kod etika perniagaan dalam tiga industri utama iaitu sektor peralatan perubatan, farmaseutikal dan pembinaan yang berisiko tinggi rasuah.-18/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 600  tetamu dalam talian