25September2017

Artikel

Speaker DUN Selangor masih berfikiran masa beliau jadi ketua pembangkang...

speakerselangor200Datuk Teng Chang Khim bukan nama baru dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Sebagai anggota pembangkang DAP selama tiga penggal sebelum parti itu bersama-sama KPR dan PAS memimpin Selangor selepas pilihan raya umum 2008, Adun Sungai Pinang itu terkenal kelantangannya ketika mengkritik kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Teng sebelum itu Adun Bukit Gasing sejak 1995 dan jadi ketua pembangkang di DUN Selangor.

Ada beberapa insiden babitkan beliau di DUN termasuk polis pernah dipanggil  untuk membawa keluar Teng yang ketika itu ADUN Bandar Klang pada 2003, selepas beliau enggan menurut arahan Speaker Dewan Tan Sri) Onn Ismail supaya meninggalkan Dewan kerana tidak berpuas hati usul yang dibawanya ditolak.

Paling panas apabila beliau digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan DUN Selangor berikutan keengganan beliau "meminta maaf secara sopan" ekoran insiden membuang buku Peraturan-Peraturan Tetap Mesyuarat ke dalam bakul sampah pada 2005.

Namun, akhirnya bekas setiausaha politik Lim Kit Siang itu dilantik jadi Speaker DUN Selangor pada 22 April 2008 selepas kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor.

Sekaligus pelantikan itu jadikan Teng speakar bukan Melayu pertana di Selangor.

Sudah pasti tugas speaker antara lain menuntut keadilan, dan perlu lebih banyak bersabar untuk mendengar setiap masalah yang dibawa anggota Dewan tidak kira dari pembangkang atau kerajaan.

Tambahan pula sebagai bekas peguam, beliau patut tahu soal peraturan dan undang-undang malah tidak harus membezakan hak ahli Dewan termasuk daripada BN yang kini jadi pembangkang.

Bagaimanapun, Teng membuktikan beliau cakap tidak serupa bikin apabila menyebarkan khidmat sistem pesanan ringkas (MS) menyaran Exco-Exco PR yang membuat penggulungan di DUN Selangor menonjolkan kejayaan empat tahun PR memerintah negeri itu.

Agendadaily difahamkan, pesanan itu hanya dihantar kepada senarai kumpulan SMS dalam telefon pintar Blackberrynya malam sebelum insiden itu tetapi malang SMS itu pula disebarkan kepada Adun  BN.

Puncanya, Theng tersilap kerana  tidak membuang senarai nama bekas Exco yang digugurkan selepas dipecat daripada PAS, Datuk Dr Hasan Ali.

Teng akhirnya terperangkap dan ‘keadilan’ yang dikatakan sebelum ini ketika mula-mula mengangkat sumpah jawatan speaker terbukti hanya dibibir.

Beliau juga sudah melanggar sumpah setia ikrar untuk berlaku adil ketika menjalankan tugas speaker. Ekoran kesilapan itu, Adun-Adun BN memboikot dan  tidak mengikuti perbahasan dan penggulungan kerana mendakwa Speaker berat sebelah.

Bagaimanapun, Teng masih mahu mempertahankan tindakan itu apabila dalam satu temubual dengan portal pemgangkang, beliau mengaitkan penyebaran SMS itu oleh Dr Hasan sebagai bukti bahawa NGO Jati yang dipimpin bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu ada kaitan dengan BN.

“Ini yang mahu saya beritahu bahawa Jati mempunyai hubungan erat dengan Adun Umno. Saya kesal apa yang terjadi kerana sikap Adun BN yang lebih berminat menyerang saya daripada membincangkan perkara yang sepatutnya di dalam dewan,” katanya.

Katanya, jika Adun BN masih tidak berpuas hati dengan tindakannya itu mereka boleh membawa usul peraturan mesyuarat di dalam dewan berkenaanya.

“Kalau tidak puas hati, mereka boleh buat usul dalam peraturan mesyuarat dewan.

“Masa itu, saya akan turun ke bawah, tempat Adun Sungai Pinang bagi menjawab sebarang pertanyaan,” katanya.

Tambahnya, dakwaan Adun BN mengatakan bahawa beliau berat sebelah mempengerusikan sidang DUN itu ternyata meleset.

Tetapi apakah perlu Adun BN berbuat demikian jika sudah jelas Teng tidak berlaku adil.

Oleh itu, cadangan Adun BN untuk menghantar memorandum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sesuatu yang betul dan bijak setidak-tidaknya bakal jadi pengajaran kepada Teng bahawa tindakan berat sebelah itu tidak bersesuai dengan kedudukannya sebagai speaker. -29/3/2012- OLEH ROSLAN BIAN





BN Selangor cadang hantar memorandum kepada Sultan,dakwa Speaker berat sebelah


Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan mengambil langkah tertentu bagi membantah tindakan Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada persidangan Dun itu pada Selasa.

Mereka menyifatkan tindakan Teng yang menggesa anggota exco kerajaan negeri agar membahaskan kejayaan empat tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor sebagai berat sebelah dan tidak profesional.

Ketua Penerangan UMNO Selangor Abdul Shukor Idrus berkata antara tindakan yang difikirkan ialah menghantar memorandum kepada Sultan Selangor bagi membantah tindakan itu.

BN merupakan pembangkang dalam DUN Selangor.

Pada Selasa, enam anggota DUN dari BN bertindak keluar dewan kerana membantah SMS itu dengan menyifatkannya sebagai berat sebelah oleh Speaker berkenaan.

Teng ketika mengulas perkara itu pada Selasa menjelaskan bahawa beliau secara tidak sengaja menghantar SMS itu kepada anggota DUN Bebas Datuk Dr Hasan Ali kerana nama beliau masih diletakkan sebagai exco dalam telefon Teng.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Program Rapat 1Malaysia bersama Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM)di Shah Alami Rabu, Abdul Shukor, Adun Kuang, berkata sebagai Speaker Teng harus bebas, adil dan bertanggungjawab dalam mengendalikan sidang DUN. – 28/3/2012

 


Speaker DUN Selangor kantoi habis...bila rahsia bocor

Ini baru kes lawak.Kata orang pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.[GAMBAR MESEJ BERKENAAN DI TELEFON BIMBIT DI DALAM].Dari segi prinsip semua Speaker baik Parlimen maupun Dewan Undangan Negeri kena bersikap adil semasa mengendalikan sidang masing-masing.

Namun Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chan Kim kantoi habis Selasa gara-gara beliau tersilap semasa menghantar mesej sulit menerusi telefon Blackberry kepada semua Exco Kerajaan Negeri  Pakatan Rakyat semasa sidang sedang berlangsung.

Dalam mesej sulit itu beliau meminta semua Exco mempromosi kehebatan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Teng buat silap besar dan rahsia tindakannya yang menyalahi etika sidang itu bocor kerana beliau turut hantar mesej berkenaan kepada ADUN Bebas Gombak Setia,Datuk Dr Hasan Ali kerana terlupa beliau bukan lagi Exco.

Makanya mesej sulit itu terus diketahui oleh semua ADUN BN yang sedang hadiri sidang.

speaker-ayat600

Akibatnya mereka bertindak memprotes kerana Teng telah langgar prinsip Speaker mesti bebas dan adil.

Mereka menuntut Teng minta maaf tetapi beliau enggan.

Ekoran itu tujuh ADUN BN bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Ada yang kedengaran menyindir inilah contoh keadilan dan kebebasan yang dilaungkan oleh PR.-27/3/2012


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 465  tetamu dalam talian