21September2017

Siti Aishah bukan perisik tapi korban kejahatan - Jusuf Kalla

Rata-rata media Indonesia termasuk Naib Presiden negera itu Jusuf Kalla percaya wanita yang ditahan dalam siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong-nam, Siti Aishah adalah korban penipuan.

Menurut Jusuf Kalla beliau percaya wanita itu menjadi korban kejahatan dan berikutan itu kerajaan Indonesia akan menyediakan peguam untuknya.

"Pasti kedutaan kita sudah bergerak untuk membela apabila memang dia jadi korban. Tapi kalau dia, katakan lah pelaku utama tentu lain soal," katanya dipetik Kompas.

Siti Aishah, 25, disifatkan sebagai seorang yang naif dan sopan.

“Saya terkejut mendengar dia ditahan kerana membunuh seseorang,” kata bekas bapa mertua Tjia Liong Kiong lapor Associated Press.

“Saya tidak percaya dia tergamak melakukan jenayah seperti itu atau seorang perisik seperti, seperti yang diperkatakan dalam media, walaupun saya tidak tahu apa dalam fikirannya.”

Perisik atau bukan, butiran wanita misteri itu secara perlahan-lahan mula muncul.

Antara 2008 dan 2011, Siti Aishah dan suaminya tinggal di sebuah rumah di kejiranan Tambora di barat Jakarta, lapor AP.

Memetik media Indonesia, detik.com, The Guardian melaporkan Siti Aishah pernah bekerja dengan Tjia di sebuah kedai pakaian di barat Jakarta, di mana beliau mengenai anaknya Gunawan Hasyim. Pasangan itu mempunyai seorang anak, Rio, pada 2009.

Selepas melahirkan Rio, Siti Aishah dan Gunawan berhijrah ke Malaysia untuk mencari kerja tetapi kemudiannya bercerai. Selepas perceraian itu Gunawan pulang ke Jakarta dan hidup bersama Rio.

Menurut laporan itu, Siti Aishah hanya pulang menemui Rio setahun sekali.

Detik.com berkata kali terakhir Siti Aishah melawat keluarganya Jakarta adalah pada 28 Januari. Laporan lain memetik pegawai imigresen Indonesia sebagai berkata dia meninggalkan negara itu pada 2 Februari.

Guardian turut menyebut laporan yang tidak disahkan dari sebuah laman web China yang mendakwa Siti Aishah didatangi di sebuah kelab malam dan ditawarkan AS$100 (RM445) untuk mengambil bahagian dalam “usikan TV realiti”.

Di Jakarta, ramai kawan-kawan Siti Aishah percaya dia diperdayakan untuk mengusik seseorang.

Bekas jirannya, Aminah, menggambarkan Siti Aishah sebagai seorang yang “naif” dan menambah tidak mungkin wanita muda itu terlibat dalam kematian Jong-nam.

“Saya tak percaya. Dia sangat baik dengan semua orang di sini, dia sangat naif.

“Tak mungkin dia sanggup bunuh seorang lelaki ternama. Tak mungkin. Mustahil,” kata Aminah lapor AP.

Siti Aishah salah seorang dari dua suspek wanita yang ditahan dalam siasatan ke atas kematian Jong-nam, yang dibunuh di klia2 pada Isnin.

Pasport menunjukkan dia berasal dari Serang di wilayah Banten, yang berjiran dengan Jakarta. Dia lahir pada 11 Februari 1992 dan dari etnik Jawa.

Beliau ditangkap di sebuah hotel di Ampang pada awal pagi kelmarin. Semasa tangkapan, polis menemui mata wang asing bersusun-susun, termasuk tiga not AS$100.

Sumber polis percaya Siti Aishah meninggalkan suspek wanita yang memegang pasport Vietnam, dan bersembunyi di hotel sehingga keadaan membolehkan dia meninggalkan negara ini.-17/2/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 904  tetamu dalam talian