17November2018

Sita kapal Equanimity ikut prosedur undang-undang - Liew Vui Keong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menyangkal dakwaan bahawa tindakan menyita kapal Equanimity oleh kerajaan adalah tidak sah dan merampas prosiding negara lain.
 
Beliau berkata ini kerana kerajaan Amerika Syarikat telah menyatakan persetujuan supaya kerajaan Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Malaysia sebaik sahaja kapal layar itu tiba di negara ini.
 
"Tindakan penahanan kapal Equanimity dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang Malaysia dan dakwaan itu tidak berasas sama sekali.
 
“Atas permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran penahanan atau waran tangkap terhadap kapal Equanimity yang dilaksanakan apabila kapal itu sampai di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos, 2018," katanya menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat Selasa.
 
Azalina sebelum itu meminta kerajaan menyatakan sejauh mana kebenaran dakwaan peguam kepada ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low bahawa tindakan sita terhadap kapal Equanimity oleh kerajaan Malaysia adalah tindakan tidak sah dan dikatakan merampas prosiding negara lain. 
 
Liew berkata pada masa ini kerajaan masih menunggu kepulangan  Jho Low untuk menuntut kapal yang dikatakan dibeli menggunakan dana penyelewengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
 
Sebuah portal berita pada Ahad melaporkan bahawa Jho Low menyatakan tindakan kerajaan menyita kapal layar Equanimity sebagai tidak sah.
 
Menurut laporan itu, Jho Low menerusi peguamnya menuduh bahawa tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai 'merampas' prosiding undang-undang negara lain selain menyelar kenyataan kerajaan yang mahu menjualnya secepat mungkin bagi mengelak penyusutan nilai.- 14/8/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 711  tetamu dalam talian