15November2018

Siri jelajah Zahid ke negeri negeri bukti UMNO masih mantap…

“Alhamdulillah...sokongan akar umbi tetap teguh...” .itu kata ringkas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada laman  facebook beliau yang papar gambar ramai hadir pada pertemuan beliau dengan pimpinan dan ahli UMNO Negeri Sembilan pada Selasa.
 
Siapa saja yang hadir pada Majlis Bersama Presiden UMNO di Rantau itu dapat rasai sendiri suasana parti itu tidak terjejas langsung dengan segala macam ‘ hu ha’ dalaman serta kes mahkamah satu demi satu pimpinan.
 
Pertemuan berkenaan adalah dalam siri jelajah Zahid bersama pimpinan parti ke seluruh negara kebelakangan ini.
 
Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
 
Siri jelajah itu bermula di Terengganu kemudian Kelantan,Perlis,Kedah, Pulau Pinang dan Selasa di Negeri Sembilan.
 
Majlis di semua negeri itu setakat ini berlangsung dengan jayanya.

 
Sementara itu Mohamad Hassan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam ucapan beliau menyuarakan hasrat ahli-ahli negeri itu mahukan UMNO terus bangkit.
 
“Manifestasi UMNO Negeri Sembilan yang mahu bangkit, yang mahu melihat parti ini yang tercabar, yang kalah di Negeri Sembilan, kita perlukan tiga kerusi, kalau menang dua, kita seri tetapi jika tiga, kita akan tubuh kerajaan.
 
“Walaupun tewas, kita akan pastikan pilihan raya umum ke-15, kita rampas kembali Negeri Sembilan. Pedulikan parti-parti lain DAP, PKR, PPBM mereka semua hanya tahu berjanji tetapi tidak mampu laksanakannya, hanya tahu membuatkan orang terpesona,” ujarnya.
 
Ini kerana katanya, UMNO yang sudah lama mentadbir lebih dipercayai kredibilitinya.
 
“UMNO telah lama mentadbir dan tahu apa yang kita buat, macam-macam kita tolong. Cuba lihat belanjawan baru-baru ini, adakah (bantuan) untuk kampung?” soal Mohamad Hassan sambil disahut audien, tiada!
 
Zahid pada sidang akhbar selepas majlis itu kata UMNO hari ini melancarkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai persediaan sekiranya PRK itu diadakan.

 
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lalu, Mohamad Hassan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas calon PKR, Dr. S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
 
Berikutan itu, Streram memfailkan petisyen di mahkamah memohon PRK DUN itu diadakan semula dan kes tersebut masih berjalan
 
Zahid memberitahu jentera PRK ditubuhkan bagi melancarkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengadakan PRK DUN berkenaan.
 
“Meskipun setakat ini mahkamah belum ada keputusan terhadap petisyen pilihan raya DUN Rantau, kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
 
“Lagipun rata-rata yang hadir pada hari ini adalah akar umbi parti dari Rembau, jadi pelancaran jentera itu amat sesuai dilakukan hari ini,” katanya. – 6/11/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 367  tetamu dalam talian