18Julai2018

Silap cakap...menteri terbelit dalam isu harga barang

Datuk Saifuddin Nasution Ismail mungkin pakar dalam melakar strategi politik untuk PKR.Jangan lupa atas kemampuan itu Setiausaha Agung PKR ini pernah dilantik sebagai Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.
 
Kini Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu,Kedah ini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerajaan Pakatan Harapan.
 
Strategi politik di lapangan dan isu harga barang adalah dua dunia yang berbeza.
 
Ada pemerthati yang merasa lebih mudah bersilat di gelanggang politik berbanding hendak bergelut dengan isu harga barang yang melibatkan pelbagai faktor termasuk peniaga yang hanya kira nak buat untung.
 
Atas sebab itu selang beberapa hari angkat sumpah jawatan menteri beliau sudah terjebak dalam jerangkap samar isu harga barang.
 
Beliau silap langkah dan terbelit bila cuba hendak beri sinar kepada jawatan yang baru disandangnya dan gambarkan konon kejayaan kerajaan Pakatan Harapan dalam menurunkan harga barang
 
Ini bila Saifuddin buat kenyataan bahawa hampir 70 peratus barangan keperluan menyaksikan penurunan harga sejak kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula 1 Jun lalu.
 
Dakwanya penurunan itu dikesan berdasarkan tinjauan kementeriannya antara 1 Jun hingga 30 Jun lalu.
 
Katanya tinjauan membabitkan 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain di 1,688 premis seluruh negara itu, mendapati berlaku penurunan harga antara 0.04 peratus hingga 13 peratus.
 
Baki 30 peratus daripada 417 barangan itu pula, Saifuddin berkata, sama ada harganya kekal atau berlaku peningkatan.
 
Seperti yang dijangka kenyataan beliau tidak begitu meyakinkan ramai pihak.
 
Perasaan ini tidak dapat dibendung kerana sejak kemenangan Pakatan Harapan pada pilihanraya umum ke 14 pada 9 Mei lalu dan perlaksanaan sifar GST belum terasa lagi ada penurunan harga barang sebenar.
 
Saifuddin tentu sedar harapan orangramai yang pangkah kertas undi Pakatan Harapan menggunung tinggi untuk menikmati penurunan harga barang seperti yang digembar gembur dan dijanjikan dalam kempen pilihanraya.
 
Ini ditambah dengan rasa kecewa banyak lagi janji 100 hari Pakatan Harapan belum tertunai termasuk penghapusan tol dan penurunan harga minyak.
 
Sebagai ahli politik Saifuddin nampak macam tiada pilihan hingga terpaksa mempertahankan tinjauan yang dibuat kementerianya konon 70 peratus harga barangan turun.
 
Terdapat desakan agar beliau mendedahkan laporan terperinci tinjauan yang dibuat oleh kementerianya agar lebih telus dan mudah orangramai membuat penilaian samaada ia benar atau sebaliknya.

Saifuddin sepatutnya ambil pengajaran dari kesilapan awal rakan sejawatnya,Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dari PAN yang tidak lama selepas dilantik dakwa barang keperluan asas seperti ayam, sayuran dan daging lembu turun antara 30 hingga 50 peratus sejak Pakatan Harapan  mengambil alih kerajaan.
 
Dakwanya beliau menerima maklumat mengenai penurunan harga barangan terbabit, khususnya menjelang Aidilfitri.
 
Berdentum kiri kanan Salahuddin kena balon dalam media sosial termasuk ada yang kata beliau memandai-mandai 
 
Akhirnya Salahuddin angkat bendera putih mengakui kenyataan beliau telah timbulkan kekeliruan.
 
Katanya kenyataan tersebut terlalu umum, tidak boleh diandaikan berlaku di seluruh negara dan untuk semua bahan makanan kerana kajian belum dilakukan sepenuhnya.
 
Bekas Menteri Tan Sri Rais Yatim yang menyertai PPBM baru-baru ini dan kebelakangan ini bersuara mendokong Pakatan Harapan juga telah menuntut ketelusan dalam soal ini.
 
Dalam interbiu dengan sebuah portal berita yang disiar Selasa menegaskan orangramai tidak peduli siapa ada dalam kerajaan baru.
 
Katanya mereka lebih bertumpu kepada soal samaada isu kos sara hidup dapat ditangani atau tidak.
 
Beliau berpandangan kerajaan baru berdepan cabaran untuk menurunkan kos sara hidup.
 
Kata Rais kerajaan Pakatan Harapan harus tangani isu ini dan tidak boleh bagi alasan itu ini.
 
Ikut cakapnya Pakatan Harapan sudah janji jika menang harga minyak akan turun dan tol dihapuskan tetapi ia masih belum jadi kenyataan.- 10/7/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 358  tetamu dalam talian