25September2017

Siasatan FGV dan FIC selesai bulan ini - KP SPRM

 
 
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Felda Global Ventures (FGV) dan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) kini di penghujung dan setelah siap dilengkapkan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara, pada bulan ini.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata ketika ini, masih ada lagi beberapa perkara yang perlu diteliti dan dilengkapkan dalam kedua-dua kertas siasatan kes itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam untuk tindakan selanjutnya.
 
"Saya hendak menyatakan bahawa siasatan yang melibatkan FGV dan FIC tinggal sikit lagi serta sudah hampir selesai.
 
"Maka insya-Allah, kami akan menghantar kertas siasatan bersama beberapa cadangan SPRM kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada kes ini untuk dibawa ke mahkamah atau sebaliknya," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen pencegahan rasuah pengangkutan awam SPRM bersama Prasarana di stesen LRT Bangsar, di Kuala Lumpur,Selasa.
 
Ditanya mengenai cadangan yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes ini, Dzulkilfi berkata pihaknya masih belum membuat keputusan kerana siasatan masih belum lengkap.
 
Beliau berkata SPRM juga belum memutuskan untuk mendakwa mana-mana individu termasuklah membabitkan bekas pengerusi FGV Tan Sri Isa Samad dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad.
 
SPRM memulakan siasatan terhadap FGV pada Jun lepas termasuk memanggil Isa dan Zakaria untuk memberi keterangan berhubung beberapa dakwaan termasuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
 
Sebelum SPRM memulakan siasatan itu, FGV mengalami kemelut dalaman apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lepas.
 
Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu sebelum melantik Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV menggantikan Isa yang meletak jawatan.
 
Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.
 
Selepas itu, SPRM menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, juga dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu kerugian besar.
 
Sementara itu, Dzulkifli ketika ditanya mengenai tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang masih enggan memohon maaf atas kenyataan fitnah terhadap SPRM, Dzulkifli berkata SPRM sudah membawa kes itu ke Pejabat Peguam Negara dan belum mendapat maklum balas.
 
Pada 25 Ogos lalu, SPRM memberi ketua menteri Pulau Pinang itu tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataannya bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai penahanan haram oleh SPRM. SPRM berkata kenyataan Lim itu adalah kenyataan berunsur fitnah yang bertujuan memburuk-burukkan nama baik serta mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.- 12/9/2017

loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 431  tetamu dalam talian