23Oktober2017

Siasatan bomba selesai... sahkan pusat tahfiz sengaja dibakar

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sudah selesai membuat siasatan kes kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada Khamis lalu yang mengorbankan 23 orang dan mengesahkan ia berpunca daripada perbuatan sengaja dibakar.

Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama di aras tiga bangunan itu.

Api marak dengan cepat disebabkan oleh gas LPG (gas cecair petroleum) yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama.

Tambahan pula, bahan mudah terbakar yang banyak di bilik asrama menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan lagi bahang api mengakibatkan mangsa sedang tidur terkorban dalam masa singkat.

Hal ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dalam sidang akhbar di Putrajaya.

Beliau berkata kebakaran didapati bermula di pintu masuk bilik asrama aras tiga berdasarkan keterangan saksi, keterangan mangsa terselamat dan disokong dengan kesan kebakaran di hadapan pintu masuk seperti pengelupasan pada dinding berdekatan pintu, kehilangan jisim pada pintu, siling, almari dan rak kasut.

Kesan kebakaran pada dinding sekeliling pintu masuk bilik asrama juga menguatkan lagi bukti tempat bermulanya kebakaran di pintu tersebut, katanya.

Menurutnya kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga berkenaan.

Wan Mohd Nor berkata pasukan penyiasatan kebakaran JPBM menemui bahan bukti iaitu dua silinder gas LPG berwarna hijau berbelang merah di hadapan pintu masuk bilik asrama.

Kedua-dua silinder ini sudah kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka,katanya.

Beliau berkata Unit Pengesan (K9) mengesan tujuh tempat dan mengambil tujuh sampel di hadapan pintu masuk bilik asrama.

Beliau berkata empat ekor anjing digunakan (seekor demi seekor) dan kesemuanya menunjukkan ke tempat yang sama.

"Sampel telah dianalisis oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasatan kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel berkenaan mengandungi residu cecair mudah menyala jenis petrol," katanya.

Wan Mohd berkata laporan kebakaran yang penuh telah dihantar kepada polis semalam.- 21/9/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 816  tetamu dalam talian