Rab05162012

Kemaskini terakhir08:52:33 AM GMT

Back Arkib Arkib Agenda Daily Berita Muka Hadapan Muka Hadapan Raja Nong Chik nafi dalang isu NFC...minta tanya Shahrizat dan suaminya sendiri

Raja Nong Chik nafi dalang isu NFC...minta tanya Shahrizat dan suaminya sendiri

  • PDF

rajanongcik-shahrizatMenteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah dalang di sebalik isu NFC sehingga menjejaskan imej dan kedudukan politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau dengan tegasnya meminta wartawan bertanyakan pada Shahrizat dan suaminya Datuk Seri Mohamed Salleh samada dakwaan itu betul atau tidak.

“Adakah ia betul...you boleh tanya Shahrizat samada dakwaan itu betul atau tidak,” kata Raja Nong Chik yang ditemui di Majlis Tun Daim Bersama BN Lembah Pantai di sebuah hotel dekat Jalan Klang Lama Jumaat malam.

Baru-baru ini Raja Petra Kamaruddin melalui portal Malaysia Today menulis isu NFC telah didedah dan didalangi oleh Datuk Seri Raja Nong Chik sebagai 'hidden hand' semata-mata untuk mengaibkan  Shahrizat.

Raja Nong Chik menyifatkan apa ditulis oleh Raja Petra Kamaruddin dalam Portal Malaysia Today itu adalah usaha yang dikehendaki oleh pembangkang untuk melaga-lagakan orang BN.

“Mereka (pembangkang) suka melihat berlakunya 'perlagaan' antara satu sama lain, Shahrizat berada sebelah saya dalam kabinet dan kita bekerjasama, we work together very well,...apa yang pembangkang mahu adalah kita 'bergaduh' sama sendiri,” tambahnya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai memberitahu keadaan itu sengaja ditimbulkan kerana Shahrizat telah berkhidmat di Parlimen Lembah Pantai beberapa penggal dan beliau mempunyai pengikutnya sendiri, jadi untuk berdepan dalam pilihan raya kali ini adalah melaga-lagakan antara kita dengan buat cerita yang bukan-bukan untuk pecahbelahkan penyokong.

Katanya, “tapi, untuk mengesahkan dakwaan ini benar tanya pada Shahrizat dan suaminya Datuk Salleh samada ini benar atau tidak. Kita tidak tahu buat kerja 'spin' yang bukan-bukan tapi kita hanya tahu buat kerja untuk menjayakan parti.”

“Siapa yang buat tuduhan itu jawab pada Allah dan paling penting tanyalah pada Datuk Salleh dan Shahrizat samada saya adalah 'the hidden hand' di sebalik isu itu,” ujarnya.

Sementara itu bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin ketika diminta menghurai lebih lanjut tentang isu NFC perlu diselesaikan, menjelaskan bahawa siasatan perlu diselesaikan dan sekiranya terdapat kesalahan serta ada pihak yang melakukan kesilapan, melanggar undang-undang dan terpulang pada Peguam Negara, ia tidak perlu mengambil masa lama.

Ditanya samada wajar Shahrizat diberi peluang bertanding dalam PRU akan datang, Daim berkata, “terpulang pada PM...my view is not important...beri muka barulah...ramai lagi muka baru, beri peluang yang muda-muda...that's my view...PM boleh putuskan.”- OLEH LUKMAN ABDULLAH





Isu NFC : Shahrizat bagi keteranggan kepada SPRM petang Rabu

KEMASKINI : Datuk Seri Shahrizat Jalil yang masuk kerja semula Rabu setelah cuti, pada sebelah petang berada di pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan mengenai isu Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Dalam satu SMS balas kepada pertanyaan Agendadaily samada betul tidak beliau berada di pejabat SPRM, Menteri  Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat jawab pada jam 4.04 petang, " Yes ! ada di sini".

Beliau berada di pejabat SPRM itu selama kira-kira dua jam.

Sebelum itu berlegar desas desus mengenai kemungkinan beliau memberi keterangan kepada SPRM petang Rabu.

Ditemui wartawan sejurus keluar, Shahrizat menjelaskan beliau asalnya menjangka dipanggil SPRM semasa bercuti.

Sebaliknya hanya terima panggilan Selasa.

Katanya itu prosedur SPRM.

Menurut Shahrizat semasa memberi keterangan itu beliau menyatakan tidak terlibat langsung dalam sebarang keputusan di NFC.

Beliau tidak tahu samada akan dipanggil lagi atau tidak selepas ini.

Kepada saut soalan, menteri itu berkata beliau datang memberi keterangan kerana statusnya sebagai isteri kepada Pengerusi NFC.

Makanya SPRM nak periksa samada terdapat pertindihan kepentingan dalam membuat keputusan.-8/2/2012


Shahrizat terus diasak isu NFC...saya minta petunjuk dan bimbingan daripada Allah

Sejak balik dari menunaikan umrah petang Jumaat hingga Ahad Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil jenuh kena bersilat dengan soalan mengenai kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Selepas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur sejurus tiba, Sabtu di Beruas dan hari ini selepas majlis di Wad Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Apapun Ketua Wanita UMNO itu yang akan masuk kerja balik Rabu ini selepas bercuti tidak berganjak dari pendiriannya tunduk pada tekanan agar letak jawatan menteri.

"Sebagai seorang peguam dan bekas majistret, saya tidak menghukum seseorang itu bersalah sehingga terbukti demikian. Itu undang-undang dalam negara," katanya ketika menjawab soalan wartawan selepas majlis penyampaian hamper sempena sambutan Maulidul Rasul di HKL.

Beliau menyifatkan tuduhan atau tohmahan seperti yang dihadapinya berkaitan kontroversi NFC sebagai perkara biasa yang dialami seseorang pemimpin.

Malah, beliau juga memahami apa yang dilakukan oleh pembangkang adalah semata-mata untuk melemahkan semangat beliau selaku Ketua Wanita UMNO, yang juga menjadi kekuatan kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN).

"Di serata dunia, setiap kerajaan dan setiap parti politik, sama ada anda dengan kerajaan atau dengan pembangkang, anda melalui tempoh yang penuh cabaran. Tidak ada yang luar biasa atau aneh.

"When you are a leader, you will always (be) on the line of fire," (apabila anda jadi pemimpin, anda akan sentiasa berada di sasaran serangan), katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hamper sempena sambutan Maulidul Rasul, di Wad Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Shahrizat berkata beliau tidak akan menjawab soalan-soalan berkaitan dengan NFC kerana siasatan sedang dijalankan dan meminta semua pihak tidak melabelkan beliau bersalah sehingga keputusan dibuat.

Beliau juga enggan mengulas desakan bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz supaya berundur kerana tidak mahu bersikap kurang ajar pada orang yang lebih tua daripadanya.

"Saya tidak mahu serang orang yang lebih tua daripada saya, saya datang dari keluarga di mana ibu bapa saya mengajar saya untuk tidak kurang ajar kepada sesiapa, lebih-lebih lagi mereka yang lebih tua daripada saya, jadi saya akan tutup mulut," katanya.

Mengenai pemergiannya ke Mekah,beliau berkata; "Kerana saya takut kepada tuhan, saya minta petunjuk dan bimbingan daripada Allah."

Serentak dengan itu Shahrizat menyindir dipercayai merujuk kepada Pengarah Stratejik PKR Rafizi Ramli yang kebelakangan ini kerap membuat kenyataan dakwaan mengenai NFC.

 "Semalam, apabila saya pergi ke Perak, ramai Wanita memberitahu saya bahawa terdapat seorang ahli pembangkang muda yang sering mengendap saya sejak tiga bulan yang lalu.

"Mereka beritahu bahawa orang ini bercita-cita jadi ketua Wanita, jadi adalah sesuai jika kita hantar pakaian seragam merah dan putih kepadanya," katanya.

Kepada soalan adakah beliau merujuk kepada Nurul Izzah Anwar atau  Rafizi Ramli, Shahrizat kata, "Beliau seorang lelaki."

"Saya lihat jika dia memakai seragam wanita , dia akan kelihatan agak cun kerana dia ini jambu sedikit."-5/2/2012








Shahrizat buat kejutan di Beruas...

shahrizat1



Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil muncul dengan penampilan yang mengejutkan sebaik tiba ke majlis Pemantapan Jentera Pilihanraya Jalinan Rakyat BN Perak di Beruas, Perak Sabtu.

Beliau yang baru pulang dari mengerjakan umrah di Mekah petang Jumaat dan akan memulakan tugas menteri Rabu ini setelah bercuti tiga minggu memakai tudung penuh berwarna putih.

Selama ini Shahrizat macam kebanyakan tokoh-tokoh lain hanya memakai selendang yang menampakkan “jambul”.

Menteri Besar Perak Dato’ Seri Dr.Zambry Abd Kadir yang menyedari perubahan ketara itu teruja sehingga dalam ucapan perasmiannya mengusik “Kak Ijat” dengan mencadangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kekal bertudung.

Merujuk kepada tudung berwarna putih yang dipakai Shahrizat, Dr.Zambry berkata “Kak Ijat kelihatan begitu manis . . saya harap dia pakai tudung terus.”

Shahrizat tiba jam 10.32 pagi disambut Jawatankuasa  Wanita UMNO Perak diketuai Ketuanya, Datuk Rosnah Kassim yang juga ADUN Ulu Kinta.

Sebelum ketibaan Shahrizat sepanduk mempamerkan sokongan kepada kepimpinannya seperti menceritakan apa yang berlaku dalam Wanita.

Sepanduk ikrar sokongan itu adalah mewakili Wanita UMNO negeri, Wanita UMNO bahagian Gerik dan Beruas.

Bagaimanapun hampir 30 peratus daripada 24 Ketua-ketua Wanita UMNO bahagian tidak hadir termasuklah Naib Ketua Wanita UMNO Kebangsaan Datuk Kamalia Ibrahim.

Shahrizat ketika berucap merujuk kepada ketidak hadiran Naibnya itu  berkata “Datuk Kamalia tak dapat datang  kerana sibuk . . .”

Untuk rekod isu Kamalia yang tidak sealiran dengan Shahrizat menjadi bualan panas lebih-lebih lagi komen-komennya seperti memberi gambaran meminta Shahrizat melepaskan jawatan Ketua Wanita.

Tetapi menurut rakan-rakan Kamalia, kenyataan Naib Ketua Wanita itu dalam sebuah akhbar berbahasa inggeris “tidak sedikitpun menyebut tentang desakan agar Shahrizat melepaskan jawatan.”

Mantan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz juga dipetik oleh media mahukan Shahrizat bertanggungjawab dan melepaskan jawatan yang dipegangnya.

wanita5xx

Sebaik tiba di padang Bakar Bata, tapak  program berkenaan, Shahrizat menghabiskan kira-kira 40 minit bersalam dengan peserta wanita BN khususnya Wanita UMNO Perak.

Kira-kira  2,000 hadir dalam program sehari itu.

Ketika Dr.Zambry tiba untuk merasmikan program, Shahrizat masih belum habis “program” bersalaman.

Agenda Daily pada sebelah petang menerima kenyataan akhbar yang ditandatangani Kamalia meminta Wanita UMNO menumpukan pada kerja-kerja pilihanraya bagi memastikan BN/UMNO memenangi PRU ke13.

Katanya “ Sejak beberapa hari ini, terdapat beberapa pandangan yang berbeza di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO seluruh negara.

“Sebagai Naib Ketua Pergerakan ini, saya mendapat banyak pesanan ringkas yang berbeza pendapat bagaimana isu Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, YB Senator Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil harus ditangani dan terdapat juga panggilan-panggilan telefon daripada mereka yang ingin
tahu kedudukan perkara sebenar.

“Wanita UMNO sebagai sayap parti mempunyai tanggungjawab yang besar memastikan kemenangan PRU13. Justeru itu, saya menasihatkan semua ahli Pergerakan Wanita UMNO menumpukan kepada gerak kerja Plliharaya. Kesetiaan kita adalah kepada pucuk pimpinan utama iaitu Presiden Parti YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak.

“Walau apapun berlaku, Wanita tetap berdiri teguh di belakang Presiden Parti dan tetap meneruskan kerja-kerja parti untuk memastikan kemenangan PRU13.

“Wanita UMNO perlu ingat bahawa sebagai ahli parti kita mempunyai amanah dan tanggungjawab kepada parti mendahului kepentingan diri sendiri. Apa jua masalah kepimpinan parti yang boleh mengugat kestabilan parti dan boleh menjejas kemenangan parti, haruslah ditangani dengan penuh bijaksana dan segera, agar tidak membawa perpecahan kepada Wanita"

“Secara individu sebagai ahli parti jika kita menjadi beban kepada parti maka kita perlu mengambil tanggungjawab mengutamakan kepentingan parti"

“Saya menyeru Wanita merapatkan barisan mengenepikan emosi dan menguatkan semangat demi penjuangan UMNO dan Barisan Nasional untuk menjamin kestabilan politik negara dan pembangunan bangsa Malaysia” katanya mengakhiri kenyataan tersebut.

Ketika memulakan ucapan sulung sebaik pulang dari Mekah pada jam 11.50 pagi, Shahrizat berkata beliau mengagumi kepemimpinan Menteri Besar Perak.

“Antara pemimpin ‘bapa” (merujuk kepada pemimpin lelaki) yang saya sayang ialah Dr.Zambry.

“Barangkali kerana satu kapal” sambil disambut tertawa dari orang ramai.

Shahrizat berkata “senyuman Menteri Besar kalau burung terbang jauh, apabila tengok senyuman itu boleh balik semula ke pangkuan.

“Sebab itu Datin (isteri MB) 'lembik kaki selalu” merujuk kepada senyuman Dr.Zambry.

Katanya semakin lama mereka melalui gerbang perkahwinan “semakin manis dan semakin sayang.”

Shahrizat juga mengingatkan semua pihak bahawa Wanita UMNO tidak lagi mahu dikenali sebagai sekadar sebuah sayap.

“Kita tidak mahu lagi jadi sayap tapi kita kini adalah tulang belakang BN” sambil disambut tepukan gemuruh.

Katanya kejayaan BN adalah faktor wanita yang bekerja keras. Ini katanya diakui semua pihak dan kali inipun Wanita UMNO dan BN akan memastikan kemenangan cemerlang BN dalam PRU ke13.

Shahrizat juga menganggap sebagai satu dugaan berhubung isu  NFC yang diterajui suaminya. ”Saya berserah kepada llahi. .  .saya ke Mekah menunaikan umrah dan berdoa serta memohon hidayah.”

“Kini saya dah dapat petunjuk….saya kini semakin kuat.

Katanya 30 tahun dalam  bidang politik, Allah membuka pintu kesenangan melalui pelbagai jalan tapi kini dia diuji dan dia menerima dugaan ini dengan tenang.

“Saya serah kepada Illahi . . .saya tak takut, saya cuma takutkan Allah saja.

“Apabila di Mekah saya mendapat hidayah . . .saya mohon kepada Illahi apa keputusan yang hendak dibuat. Saya kini sudah dapat hidayah . .”

“Sebagai pemimpin kita tak boleh lemah . . .kita tidak boleh membiarkan orang pijak kepala,” katanya sambil mendakwa berulang kali beliau adalah pemimpin akar umbi.

Beliau kesal kerana pada waktu “kita susah ada orang tunjuk taring . . .saya tak akan  buat begitu apabila melihat orang itu susah. Buat apa tunjuk kuat kepada orang yang sedang lemah.

“Mana orang politik tidak ada dugaan . . .orang lain lagi teruk. Pembangkang . . . . lagi teruk. Cabaran yang mereka hadapi lagi teruk.

“Saya bukan pemimpin depan komputer . . .saya turun padang, l am a grassroot leader,” katanya.

Sebelum menghentikan ucapan pada jam 12.20 tengah hari, Shahrizat meminta Wanita Perak, supaya terus menyokong dan membantu UMNO Perak khususnya Dr.Zambry bagi memenangi PRU ke13.

“Kita tidak boleh membiarkan pemimpin berseorangan menghadapi cabaran dari pembangkang. Sebagai contoh jika Perdana Menteri menghadapi cabaran dari pembangkang, kita tidak boleh membiarkan dia sendirian.

“”Wanita sentiasa setia masa susah dan masa senang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak”

Menurutnya Perdana Menteri sering berhubung dengan Dr.Zambry mengenai Perak.

Shahrizat memberi indikasi hubungan mesra Perdana Menteri dengan Menteri Besar Perak.

 “Zam (merujuk panggilan Najib pada Dr.Zambry) how’s Perak?

“ No problem sir, we’ll never give up” kata Shahrizat merujuk kepada keupayaan Dr.Zambry berdepan pembangkang.

Katanya Dr.Zambry mendapat sokongan daripada atas dan juga dari akar umbi khususnya Wanita UMNO di negeri Perak.

Beliau berkata kini “MB boleh tidor lena dengan sokongan wanita . . .kita memberi jaminan wanita akan menyokong dan bekerja kuat memastikan BN menang dalam PRU ke13.”

“”Kemenangan BN Perak atas bahu wanita . . .jadi saya mahu wanita bekerja kuat membantu Menteri Besar” pesan Shahrizat lagi.

Mengenai media internet pro pembangkang yang menabur fitnah menyerang UMNO, Shahrizat berkata Wanita akan juga menggunakan medium ini untuk menghantar mesej kepada orang ramai.

“No sweat  . . .kita tak takut menghadapi social media (media internet) pembangkang kerana kitapun mempunyai wanita-wanita yang sanggup belajar untuk menangkis serangan mereka.

“Walaupun kita sudah berusia, kita sanggup belajar dan kita yakin kita boleh belajar dengan cepat untuk menguasai media sosial ini. . . kita akan lawan depa.”- OLEH YUSOF HARUN - 4/2/2012







Shahrizat tidak akan tunduk dengan tekanan supaya letak jawatan




Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan tekanan mana-mana pihak yang menggesanya meletak jawatan.

Beliau berkata, tidak ada pemimpin politik yang tidak menghadapi tekanan dan menurutnya perkara itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat malah akan menjadikannya seorang pemimpin yang kuat dalam menghadapi cabaran. "Saya anggapnya sebagai asam garam dalam politik, saya dah lama dalam arena politik, tidak ada mana-mana pemimpin yang tidak melalui pelbagai pancaroba.

"Dan kalau orang yang tahu salasilah kepimpinan Wanita UMNO dan siapa yang membuat saranan seperti ini (meletak jawatan) pasti ada sejarahnya yang tersendiri," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang AntarabangsaKuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Bernama melaporkan mengenai sama ada beliau akan terus berada dalam barisan Kabinet, katanya beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razakuntuk membuat keputusan.

Shahrizat berdepan isu National Feedlot Corporation (NFC), yang diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Mengenai kenyataan bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz yang dipetik oleh sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris sebagai berkata sesiapa yang menjadi bebanan kepada parti perlu meletakkan jawatan, Shahrizat berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu kerana baru sahaja pulang ke tanah air.

Katanya, beliau sangat menghormati Rafidah dan akan terus berusaha memperkuatkan dan memperkukuhkan Wanita Umno supaya bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurutnya, beliau yang baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah akan memulakan tugasnya semula Rabu ini.

Shahrizat bercuti rehat selama tiga minggu bermula 13 Jan lalu daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. - 3/2/2012


IKLAN

Mari memancing udang di Pusat Memancing UdangGalah Tuah.

Inginkan perfume original sila lawat dan like XINXARA.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.