24Oktober2017

Semua jawatan UMNO tetap terbuka untuk ditandingi

umno513Disebalik pelbagai cadangan agar jawatan nombor satu dan dua parti tidak ditandingi,pemilihan UMNO kali ini yang memberi kuasa memilih kepada hampir 150,000 orang ahli adalah ' free for all'.

"Siapa sahaja yang mahu bertanding untuk jawatan tertinggi, daripada Majlis Tertinggi ke jawatan presiden, boleh mendaftarkan diri mereka sebagai calon,",kata
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Khamis.

Beliau yang ditemui di luar persidangan Dewan Rakyat berkata berdasarkan format baharu pemilihan, beliau berkata antara 148,000 dan 150,000 anggota UMNO dari 199 bahagian akan mengundi calon yang berkenaan.

Mengenai mekanisme pengundian, Tengku Adnan berkata satu bahagian dikira sebagai satu undi.

"Sebagai contoh, jika (Perdana Menteri dan Presiden Umno) Datuk Seri Najib Tun Razak ada pencabar, mereka harus bertanding di semua bahagian kerana setiap bahagian merupakan satu undi (kepada calon yang menang), sekalipun setiap bahagian mempunyai jumlah perwakilan berbeza," katanya.

Katanya taklimat UMNO mengenai format baharu itu akan diakhiri dengan UMNO Sabah Jumaat.

Ini merupakan kali pertama UMNO menggunakan mekanisme baharu pada pemilihannya susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Sebelum ini hanya sejumlah perwakilan dari bahagian-bahagian dibenar mengundi bagi memilih pemimpin parti itu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Tajol Rosli Ghazali menjelaskan pemilihan UMNO yang bakal diadakan hujung tahun ini akan mengadaptasi sistem 'Electoral College' yang menggabungkan sistem pemilihan dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Katanya sistem itu dilihat sesuai dilaksanakan pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang akan melibatkan 146,500 anggota peringkat akar umbi.

"Cara pemilihan kita berlainan sedikit daripada yang lalu. Kita akan menggabungkan sistem Amerika dengan sistem yang ada di United Kingdom.

"Kali ini satu bahagian ada satu undi. Misalnya, A dan B bertanding jawatan presiden, A menang maka A peroleh 1 undi," katanya ketika berucap pada Taklimat Kaedah dan Pelaksanaan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Bahagian peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, Khamis.

Tajol yang juga bekas menteri besar Perak berkata berdasarkan sistem itu, jika terdapat dua calon memperolehi jumlah undi sama, keputusan bergantung kepada undi daripada setiap 191 bahagian seluruh negara.

Beliau berkata penggunaan kaedah baharu ini mencerminkan proses pemilihan yang lebih demokratik dan inklusif apabila melibatkan lebih ramai ahli terlibat dalam proses pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Jika sebelum ini hanya 13 wakil daripada setiap bahagian memilih anggota Majlis Tertinggi, tetapi kali ini ahli di peringkat bahagian juga boleh memilih calon mereka, katanya.

"Ini adalah kaedah dan peraturan baharu yang akan dilaksanakan pada pemilihan hujung tahun ini selepas pindaan perlembagaan parti diluluskan pada 2009.

"Ini juga membuktikan keterbukaan dan UMNO sedia melakukan perubahan supaya ia terus kekal relevan dan perkasa berdasarkan landskap politik yang kian mencabar," katanya.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh berkata jawatankuasa pemilihan akan membentangkan kaedah pemilihan kepada pengurusan parti sebelum dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO selepas selesai taklimat di semua negeri.

Taklimat yang diberikan adalah untuk memperincikan kaedah pemilihan selepas pindaan perlembagaan parti yang baharu, katanya.

"Kita menerima segala cadangan dan pandangan untuk memastikan kaedah baharu ini bagi memilih jawatankuasa tertinggi yang akan diberikan kuasa kepada peringkat cawangan dapat berjlan mengikut kaedah yang diputuskan dalam pindaan perlembagaan yang diluluskan pada 2009," katanya.

Ab Rauf berkata sekiranya waktu mencukupi, satu simulasi pemilihan akan dijalankan sebelum proses pemilihan dijalankan serentak di seluruh bahagian.

"Kalau tidak (cukup waktu), kita akan berikan satu penerangan khas sebelum perjalanan persidangan di peringkat bahagian memilih majlis tertinggi diadakan," katanya.

Tarikh pemilihan peringkat cawangan diputuskan iaitu dari 15 Julai hingga 31 Ogos, manakala tarikh pemilihan peringkat bahagian dan pimpinan tertinggi parti belum ditentukan.-27/6/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 804  tetamu dalam talian