18Ogos2018

Semua cukai membebankan rakyat... tapi SST lebih teruk dari GST

Orang ramai perlu bersiap sedia satu lagi pusingan kenaikan harga barang berikutan keputusan kerajaan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengumuman kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus bagi perkhidmatan dijangka menyebabkan berlakunya fenomena kenaikan harga yang membebankan pengguna.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd. Aziz Abu Bakar berkata, kenaikan harga barangan akan berlaku apabila terjadinya cukai berganda di mana margin keuntungan yang akan dikenakan kepada saluran perniagaan seperti pemborong dan peruncit adalah pada nilai harga selepas dikenakan cukai jualan 10 peratus.

“Katakanlah harga sesuatu barang itu RM10. Pengilang akan jual kepada pihak pemborong dengan nilai RM11 disebabkan cukai 10 peratus yang terpaksa ditanggung pengilang. Kemudian pemborong itu pula yang akan meningkatkan harga jualan kepada peruncit (bermula RM11) sehinggalah pengguna yang akhirnya terbeban.

“Itulah situasi cukai berganda yang dimaksudkan dan sekali gus harga barang memang akan meningkat naik. Itulah kelemahan SST,” katanya dipetik Utusan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Isnin mengumumkan SST yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan mencadangkan 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus bagi cukai perkhidmatan.

Guan Eng menambah, SST yang akan dimulakan semula pada September ini dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan bagi 2018 dan hasil tersebut akan digunakan untuk menutup sebahagian kerugian kerajaan sebanyak RM21 bilion selepas memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula Jun lalu.

Tambah Abd. Aziz, tindakan kerajaan Pakatan Harapan untuk membendung kos sara hidup dengan menghapuskan GST sebenarnya adalah satu tindakan salah.

“Dalam keadaan tiga bulan ini (setelah pemansuhan GST) harga barang tidak turun melainkan sesetengah sahaja. Dan bila nak perkenalkan SST semula, harga memang akan berlaku peningkatan.

“Peniaga akan ambil kesempatan dan yang untungnya hanyalah peniaga. Akhirnya yang terbeban adalah pengguna. Dalam hal ini pengguna harus membuat penilaian dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan harus bertanggungjawab kepada setiap masalah yang berlaku khususnya berkaitan soal peningkatan harga barang.

Ditanya mengenai kemampuan SST dalam membendung isu manipulasi harga, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan meninggalkan mekanisma lama dan perlu mempunyai mekanisma baharu serta efisyen.

“Macam mana kerajaan mahu elak ketirisan dan cukai berganda yang berlaku sekiranya tiada mekanisma baharu. Kalau nak tolong rakyat dan pengguna, memang perlu ada mekanisma baharu.

“Sebab itu MATA dari dulu sokong GST. Tetapi kerajaan kini tetap mahu melaksanakan SST dan kami (MATA) bersetuju dengan syarat iaitu perlu ada mekanisma baharu. Namun, setakat ini masih belum ada apa-apa mekanisma baharu daripada kerajaan,” tambah beliau.-18/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 460  tetamu dalam talian