23Oktober2017

Rafizi guna fakta dan rujukan tidak tepat tuduh FELDA - Shahrir

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad menolak dakwaan Rafizi Ramli bahawa badan berkanun itu membiayai pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London melalui pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Shahrir, Ahli Parlimen Pandan yang juga merupakan Naib Presiden PKR itu menggunakan fakta dan rujukan yang tidak tepat berhubung pembelian aset tersebut.

"Pada Disember 2009, KWSP telah meluluskan pinjaman berjaminan kerajaan kepada FELDA sebanyak RM6.5 bilion. Tujuan utama pinjaman ini adalah untuk membiayai keperluan program tanam semula peneroka FELDA dan keperluan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) bagi melaksanakan aktiviti pelaburan. Pada masa itu, FGV merupakan sebuah syarikat subsidiari milik penuh FELDA.

"Keputusan untuk mendapatkan pembiayaan daripada KWSP dibuat setelah FELDA meneliti rasional keperluan pembiayaan pada masa itu. FELDA membayar semula
prinsipal dan keuntungan pinjaman KWSP ini mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP. Pinjaman ini dijadualkan selesai pada tahun 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Grand Plaza Serviced Apartments dibeli melalui hasil penyenaraian FGV pada tahun 2012 dan ia telah  dimaklumkan kepada pihak media pada 12 Februari 2017 dan
mendapat liputan akhbar-akhbar utama.

"Dakwaan Rafizi bahawa FELDA akan kerugian RM38 juta akibat jualan Grand Plaza Serviced Apartments juga tidak tepat kerana pembelian ini menggunakan dana dalaman FELDA (FELDA internal funds) dan tidak menanggung sebarang kos bayaran faedah.

"Rafizi tidak sedar bahawa FELDA merupakan sebuah badan berkanun yang mempunyai sumber pendapatan dan kewangannya sendiri tanpa mendapat pembiayaan kos operasi dari kerajaan persekutuan sejak tahun 1996. Ini bermakna perjalanan operasi FELDA tidak langsung ditanggung oleh pembayar cukai mahupun peneroka," katanya.

Ujar Shahrir, komitmen FELDA sebagai agensi kerajaan diteruskan bagi memastikan kesejahteraan peneroka dan aktiviti tanam semula dilaksanakan mengikut perancangan.

Sementara itu, Shahrir berkata, penjualan pangsapuri merupakan antara inisiatif penyusunan semula aset-aset dan langkah penstrukturan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan FELDA.

Katanya, keputusan itu juga dilakukan susulan keputusan FELDA untuk menjual aset-aset yang tidak berkaitan dengan operasi teras agensi pembangunan itu.

“Saya yakin bahawa penjualan hotel ini sejajar dengan hala tuju FELDA untuk ‘balik asal’ dan akan memberi impak yang positif kepada kewangan FELDA.

“Ini juga dapat membantu FELDA untuk fokus kepada pengurusan ladang peneroka bagi memastikan pendapatan peneroka yang tinggi, sekali gus memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka terbela,” katanya.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 54 pihak yang menyatakan minat untuk membeli Grand Plaza Serviced Apartment dan kini proses penjualan dalam peringkat terakhir meneliti tawaran yang baik dan munasabah.

Tambahnya,dakwaan Rafizi mengenai perbelanjaan “misteri” operasi berjumlah RM80 juta juga berlandaskan fakta yang tidak berasas kerana komponen utama perbelanjaan pentadbiran hotel itu adalah bayaran kadar pajakan tahunan.

Kadar pajakan tersebut merupakan bayaran sewaan yang perlu dibuat oleh FIC Grand Plaza Ltd, iaitu sebuah syarikat yang mengurus perniagaan bagi pihak syarikat induk, Felda Investment Corporation (FIC) UK Properties Sdn Bhd (syarikat cabang pelaburan Felda).-13/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 734  tetamu dalam talian