16Disember2017

PM tiup lima semboyan perang untuk kemenangan PRU14...kata ia penentu nasib negara

Semangat ahli UMNO jelas membara untuk turun berentap dalam pilihanraya umum ke 14 yang dianggap sebagai ‘bapa segala pilihanraya’.Ini tergambar dari reaksi para perwakilan yang beri tepukan gemuruh dan berdiri sederap diakhir ucapan bersemangat Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Sekalipun tidak berikan sebarang indikasi mengenai tarikh hari yang dinantikan itu beliau mengingatkan mereka PRU 14 is not just another General Election…tetapi penentu nasib negara.

“Jika kali ini,... negara tergadai dan terlepas jatuh kepada pihak yang salah dan tidak bertanggungjawab,... apa yang bapa-bapa terdahulu dan kita semua bina dengan segala susah payah selama ini,... akan ranap dan musnah,...hancur berkecai di depan mata.

“Oleh itu, ketahuilah, pilihanraya kali ini, meletakkan kita di satu persimpangan pemutus lagi  monumental, sebabnya di tangan kita adalah pilihan, yang akan menjadi penentu kepada THE FATE OF THIS NATION,”katanya dalam ucapan hampir dua jam di Dewan Merdeka PWTC Khamis.

“ Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini, cukup serius dan tidak ada tawar menawar lagi.

“Sesungguhnya, tidak terbayang oleh kita, mimpi ngeri dan nasib buruk yang bakal menimpa,” kata Najib.

Kata Perdana Menteri  antara kesan kelak ini adalah agama Islam dan syiarnya akan diperlekeh dan dihina,kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimuliakan manakla institusi kebanggaan orang Melayu Bumiputera seperti MARA, FELDA serta Tabung Haji akan disisihkan.

“Begitulah juga dengan nasib UiTM, institusi kebanggaan UMNO Bumiputera, yang pastinya akan digagalkan objektifnya begitu saja, sekiranya pihak lawan memerintah.

“Sementelahan itu, seandainya pembangkang mengambil alih, Para Penjawat Awam, yang menjadi tulang belakang Kerajaan selama ini, semestinya,… tanpa lengah-lengah lagi, akan dikuncupkan jumlahnya,” kata Najib lagi.

Malah katanya, sudah tentu sekali, kesumat pihak lawan, sejak sekian lama, terhadap keistimewaan orang-orang Melayu Bumiputera, sebagai leluhur jati di pertiwi ini, dari bangsa yang mulia lagi merdeka, akan dipijak-pijak maruah dan tergadailah kedudukannya.

“Bahkan, lebih buruk dari itu, akan merempat, dicelakan sehina-hinanya sehingga terbangsat di tanah air sendiri,” katanya sambil meminta ahli-ahli UMNO mesti lekas-lekas sedar bahawa, Perhimpunan Agung dan Pilihanraya kali ini, bukan hanya demi UMNO, tidak juga untuk Barisan Nasional namun terpikul misi yang amat besar bagi menentukan survival yang sangat penting takni destini masa depan rakyat dan negara.

Justeru itu Najib berkata, beliau tidak mahu lagi ahli-ahli UMNO dan rakyat mengulangi kesilapan-kesilapan dan kelalaian-kelalaian yang berlaku pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.

Bagi mempastikan kemenangan Perdana Menteri membekalkan perwakilan dan ahli UMNO dengan lima pesanan.

“ Ertinya, kali ini, untuk mempastikan kemenangan besar, jangan teragak-agak lagi, kita mesti bergerak dalam saf yang padu, jemaah yang kukuh dan ketumbukan yang jitu.

“Lantaran, kepada semua Wanita UMNO, yang bukan lagi sekadar tulang belakang parti, bahkan, kini  turut bergelar Ibu Terbaik Bangsa. Junjunglah,... amanah dan tanggungjawab sebagai komandan kepada setengah juta ahli dan jentera JR Plus.

“Lalu, kepada Wanita UMNO khususnya, berbekalkan semangat wanita sebagai wirawati bangsa ini,... turunlah padang,... dekatilah rakyat,... seraya gempurlah kubu pihak lawan,... dan PERANG MESTI MENANG!!

“Kepada para Pemuda UMNO pula, berpencaklah dengan berani, sebagai perwira harapan parti dan  bangsa, dan tawanlah hati pengundi baharu,...berbekal semangat kejayaan sebagai Juara Keseluruhan Temasya Sukan SEA Ke-29,... junjunglah obor kecemerlangan itu, sehingga kita menang besar di Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.

“ Selanjutnya, kepada para Puteri UMNO, sebagai sayap paling bongsu dan taat kepada parti, usahlah  segan, gentar dan bimbang,... gerakkanlah Skuad Puteri Peduli, demi menawan hati masyarakat, mengundi UMNO dan Barisan Nasional.

“Seruan dan Semboyan kedua bergeraklah dengan penuh keyakinan bahawa kita berada di landasan benar lagi betul.Maknanya, kepada semua ahli UMNO dan Barisan Nasional, dengan idealisme dan semangat setiakawan serta kekeluargaan yang tidak boleh terpisahkan lagi, bagai rambut tersimpul mati.

“ Atas semangat itu,... pahatkan wala’ yang sepenuhnya, ukirkan taat setia dan patuh kepada segala arahan pucuk pimpinan. Pabila sudah ada calon yang dikenal pasti, janganlah diboikot dan disabotaj, tapi tumpahkanlah taat setia serta sokongan yang tidak berbelah bagi.

“Bergeraklah, dengan winning mentality,... tanpa rasa takut dan gentar,...jangan ragu-ragu lagi,... bagi memenangi pilihanraya ini. Dengan penuh rasa tawadhuk, yakinlah,... kita di atas jalan perjuangan yang dirahmat lagi diredhai.

“Bagi Seruan dan Semboyan yang ketiga : bertindaklah dengan pantas,selesaikan cabaran yang akan dihadapi secara syura dan kekeluargaan.

“ Justeru, sesekali jangan kita patah semangat dipukul badai perjuangan. Kalau sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkalnya.

“Seruan dan Semboyan Keempat pula : bertempur dan bertarunglah di dalam siber dan dunia digital sebagai pejuang siber .

“ Sebabnya, perang sebenar di pilihanraya kali ini adalah, peperangan di dalam siber dan dunia digital . Kalau kita gagal menguasai dunia siber dan digital ini, maka apa yang kita usahakan selama ini, mungkin menjadi sia-sia.

“Saya pasti setiap orang mempunyai ‘alat’ seumpama ini (sambil tunjuk telefon bimbitnya) . Oleh itu,... gunakanlah ia sebaiknya. Jangan diharap hanya kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja, kerana sesungguhnya, kita lebih 3 juta Ahli UMNO atau lebih 7 juta Ahli Barisan Nasional, setiap seorang adalah pejuang siber yang sebenarnya .

“ Dan Seruan serta Semboyan yang terakhir pula : bertarunglah dengan semangat juang dan tekad yang tinggoi bahawa kita telah berbuat sehabis baik,berusaha dan merancang semampu mungkin ,lalu yang tingga ,berserahbulatlah sambil tawakal kepada Allah Hu Taala”.- 7/12/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1142  tetamu dalam talian