16Januari2018

PM mahu 30 peratus senator di Dewan Negara terdiri dari wanita

Ini tentu berita baik baik kaum wanita negara ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu beliau berhasrat melihat sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menjadi senator di Dewan Negara.

Katanya cadangan ini akan dilaksanakan jika barisan Nasional mendapat mandat yang kukuh dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Wanita Dalam Politik 2017 (WPIKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Isnin.

Persidangan itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung dari 5 hingga 9 Disember ini.

Perdana Menteri menjelaskan kerajaan ingin melihat lebih ramai wanita menyertai politik kerana penyertaan mereka dapat mencerminkan pengundi dan menjadikan proses politik lebih inklusif, sekali gus memperkukuh demokrasi.

Beliau berkata Malaysia mempunyai rekod yang kukuh berhubung hak wanita, dengan golongan wanita mengisi 35 peratus daripada jawatan pengurusan tertinggi di negara ini.

"Malah, saya diberitahu bahawa sekiranya perkhidmatan polis dan ketenteraan dikecualikan, pegawai wanita merupakan majoriti dalam perkhidmatan awam dengan mencatatkan kadar 57.5 peratus. Oleh itu, kita sedang menuju ke arah yang betul, tetapi kita mahu pergi lebih jauh lagi terutamanya di peringkat yang lebih tinggi," kata Najib.

Mengenai sasaran menjadikan 30 peratus wanita sebagai anggota lembaga pengarah syarikat senarai awam (PLC), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: "Saya telah memberi amaran bahawa mulai tahun depan, kerajaan akan menamakan dan memalukan PLC yang tidak mempunyai wanita sebagai anggota lembaga pengarahnya. Saya sudah memberi amaran bahawa mereka mungkin tidak diberikan kontrak kerajaan."

Beliau menekankan bahawa tiada siapa yang perlu ketinggalan, terutamanya wanita, dalam usaha memajukan Malaysia dengan lebih bermakna.

"Kita sememangnya mahu Malaysia maju sehingga mencipta kegemilangan dan kita berasa bersyukur dengan sokongan, dorongan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh wanita-wanita Malaysia," katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata sejak sekian lama, parti itu bergantung kepada sayap Wanitanya untuk mengekalkan hubungan di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar.

"Dan itulah sebabnya Wanita UMNO dikenali sebagai tulang belakang parti," kata beliau mengenai komponen Wanita parti itu, yang mana UMNO banyak bergantung kepada pergerakan berkenaan bagi melakukan tugas asas pilihan raya dan berkempen serta melaksanakan inisiatif yang menumpu kepada rakyat.

Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menjadi senator di Dewan Negara jmerupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan Wanita UMNO dan BN.

Katanya ia bakal menjadi peristiwa bersejarah bagi golongan wanita negara ini sekiranya ia menjadi kenyataan.

Sambil menyampaikan ucapan terima kasih Wanita UMNO kepada Najib yang juga Presiden UMNO pada sidang media di sini, hari ini, Shahrizat berkata: "Nampaknya, perdana menteri menyahut seruan perjuangan Wanita UMNO dan BN...saya harap ia akan jadi kenyataan."

Dalam pada itu, Shahrizat yang juga Pengerusi WIPKL 2017, melihat penyertaan 18 negara yang mewakili 28 parti politik di seluruh dunia pada persidangan antarabangsa itu sebagai satu petanda baik bahawa mereka menghormati dan mempercayai sistem politik yang ada di Malaysia.

"Kalau mereka tidak menyokong dan tidak percaya dengan cara kita berpolitik, mustahil mereka akan hadir di sini (WIPKL 2017)," katanya.- 4/12/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 809  tetamu dalam talian