19Jun2018

Peruntukan ADUN disekat: PAS ke Istana Mestika

Seperti dijanjikan... PAS menulis urat rasmi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menyekat peruntukan tahunan ADUN parti tersebut.

ADUN PAS yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri mengemukakan disekat peruntukan tanpa sebab oleh Azmin.

Penyerahan surat itu dilakukan sendiri Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi kepada pegawai pengiring baginda, Kepten Ahmad Ramli Kardi di Istana Mestika, Seksyen 7 petang Isnin.

Surat tersebut kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Utusan melaporkan Sallehen berkata surat tersebut adalah untuk memaklumkan kepada baginda mengenai situasi sebenar selepas peruntukan tahunan 13 wakil rakyat PAS disekat sejak dua bulan lalu.

“Kita (PAS Selangor) serahkan surat itu kepada Sultan Selangor hari ini. Kita bukan minta campur tangan Sultan Selangor, tetapi surat itu adalah untuk memaklumkan kepada baginda mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik isu sekatan peruntukan kerajaan negeri kepada wakil-wakil rakyat PAS ketika ini.

“Sebelum ini kita telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar termasuk meminta tarikh untuk mengadakan perbincangan. Namun, Menteri Besar memilih untuk bermain tolak tarik dengan kita,” katanya.

Pada masa sama, Sallehen turut mencabar Azmin supaya menyatakan pendirian sama ada Menteri Besar itu benar-benar berniat mahu menyekat terus peruntukan tahunan kepada wakil rakyat PAS atau sebaliknya.

Ini kerana jelasnya, berdasarkan tindak-tanduk Azmin dalam isu berkenaan, Timbalan Presiden PKR itu dilihat tidak menunjukkan sebarang minat atau berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan sehingga kini.

Sebaliknya, Azmin, tegas Sallehen, didapati sering menjadikan masalah teknikal sebagai alasan bagi menidakkan hak wakil-wakil rakyat PAS yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

“Kita telah bertanyakan isu peruntukan wakil-wakil rakyat PAS ini kepada semua Pegawai Daerah selaku pengawal kewangan, namun mereka memaklumkan perkara itu harus dirujuk kepada Menteri Besar yang mengeluarkan arahan. Apabila kita tanya kepada Menteri Besar, beliau minta kita tanya pula kepada Pegawai Daerah.

“Justeru, Menteri Besar kena ikhlas dan jujur sama ada nak beri atau tak nak beri langsung peruntukan tahunan itu kepada wakil-wakil rakyat PAS. Kita tidak akan merayu,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Munir ketika dihubungi mengesahkan telah menerima surat daripada Sallehen dan akan menyerahkannya untuk perhatian Sultan Selangor.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 549  tetamu dalam talian