23September2014

Persepsi musuh utama Umno baiki imej- Tengku Adnan

kunan-baru200
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata masalah persepsi merupakan cabaran utama dalam mengukuhkan imej parti itu di persada politik tanah air.

Beliau berkata selepas pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja berhadapan dengan tohmahan pembangkang yang melabelkannya sebagai parti kronisme, elitis dan korup.

Malah terpaksa berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa apabila gagal meraih kedudukan politik semasa bersama Umno hingga menjadi manusia yang 'angkuh hati' dan sanggup menyebarkan persepsi buruk mengenai parti.
 
Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Ibu Pejabat Umno di sini sempena Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung dari 28 Nov hingga 1 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
 
Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan dihadiri 2,759 anggota perwakilan, manakala Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri selama dua hari akan bermula 27 Nov, dan setiap sayap parti itu di wakili 991 perwakilan.
 
Tengku Adnan berkata walaupun menghadapi kesukaran berdepan 'lawan' itu, beliau optimis imej parti telah dan akan menjadi lebih baik melalui usaha pemulihan yang dilaksanakan termasuk transformasi politik yang dicetus Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Beliau berkata bekas anggota Umno yang menyebarkan persepsi negatif terhadap parti itu perlu menilai diri mengapa mereka tidak berjaya dalam Umno.

"Yang kecewa, keluar parti kita tahu. Bila tak berjaya dalam parti dia keluar. Cuba dia fikir kenapa dia tak berjaya dalam Umno. Mesti ada sebab. Jangan fikir mereka disekat, ditekan," tegasnya.

Tengku Adnan berkata sebagai kerajaan, Barisan Nasional yang ditunjangi Umno tidak terlepas daripada membuat kesilapan tetapi kepimpinan baru di bawah Najib telah melaksanakan pelbagai pembaharuan untuk memperbaiki kekurangan yang ada.

"Saya tak kata, sebagai kerajaan, kita ini sempurna...memang ada kesilapan-kesilapan yang dibuat tapi kita dapat lihat pemimpin baru kita Datuk Seri Najib sedang dan telah buat perubahan. Kita mahu bergerak ke hadapan, kita tidak mahu kembali ke belakang. Bagi dia peluang," katanya.
 
Menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Umno, beliau turut mengingatkan perwakilan supaya tidak menjadikan perhimpunan itu sebagai platform untuk menonjolkan diri dan menarik perhatian pucuk pimpinan untuk dipilih sebagai calon pilihan raya.   
 
Tengku Adnan berkata rasa teruja untuk berbahas juga perlu dikawal supaya apa yang diucap tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Beliau berkata pembahas bebas menyentuh apa sahaja isu di bawah topik ucapan dasar presiden, ekonomi, politik, agama dan pendidikan tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
 
"Kita tak larang sebab Jawatankuasa Usul akan berbincang dengan mereka (pembahas) dan akan beri satu panduan kerana kadang-kadang ada orang yang akan jadi ghairah bila dapat mikrofon.
 
"Kita juga minta perwakilan jangan terlalu hendak menonjolkan diri memandangkan pilihan raya yang semakin hampir. Ini mungkin akan jadi masalah tapi kita akan cuba bendung," katanya.

Tengku Adnan berkata perwakilan perlu menumpukan ucapan mereka mengenai kepentingan mempercayai dasar Umno yang memperjuangkan semua kaum dan bukan hanya menjadi payung kepada orang Melayu.

Beliau berkata pembahas juga perlu peka terhadap persepsi yang dilemparkan pembangkang terhadap Umno dan memasukkan peringatan dalam perbahasan bahawa parti itu tidak menjanjikan kekayaan kepada individu tetapi memperjuangkan kepentingan rakyat.  - 9/11/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 414  tetamu dalam talian