23November2017

Perhimpunan Agung UMNO fokus PRU14, tidak bincang pemilihan parti - Hishamuddin

Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) pada bulan depan akan memfokuskan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan tidak sama sekali membincangkan perkara berkaitan pemilihan parti, kata Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
 
Beliau berkata selaku pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO 2017, beliau telah meminta agar usul yang ada kaitan dengan pemilihan parti tidak dibahaskan kerana tumpuan parti adalah kepada pilihan raya umum.
 
"Tidak ada gunanya untuk para perwakilan dan pembahas menyentuh mengenai pemilihan dalaman parti pada perhimpunan itu tetapi akhirnya parti gagal mendapat mandat besar daripada rakyat pada PRU nanti," katanya katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu, di Kuala Lumpur Isnin.
 
Hishammuddin berkata perhimpunan kali ini yang merupakan terakhir sebelum PRU akan menampilkan 'feel good factor' atau 'faktor menyenangkan' parti itu dan suasana 'winning mentality' atau 'mentaliti menang' dalam kalangan perwakilan sesuai dengan persiapan ke arah PRU14.
 
Ditanya tentang 'feel good factor' yang dimaksudkan, beliau berkata pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah antara contoh kerana apa yang terkandung di dalamnya adalah hasil perjuangan UMNO sejak sekian lama.
 
Mengenai usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu, Hishammuddin berkata sebanyak 826 usul telah diterima daripada 191 Bahagian UMNO dengan sebahagian besar daripadanya iaitu 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas dan tiada usul yang ditolak.
 
"Usul-usul tersebut merangkumi 238 usul politik, 79 usul ekonomi, 40 usul agama, 97 usul sosial, 114 usul pendidikan, satu usul mengenai pindaan Perlembagaan dan 66 lain-lain usul," katanya.
 
Katanya, semua usul tersebut dikemukakan oleh anggota parti peringkat akar umbi sekaligus mencerminkan UMNO sebagai sebuah parti yang inklusif dan demokratik.
 
Sementara itu, Hishammuddin berkata Jawatankuasa Usul akan menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 pada 19 Nov ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang akan disertai oleh pelbagai pihak berkepentingan seperti ahli politik, ahli akademik, pakar ekonomi dan mahasiswa.
 
Katanya, konvensyen itu akan membincangkan topik-topik berkaitan pemerkasaan ummah dan UMNO di mana hasil perbincangan itu nanti akan dijadikan panduan jurucakap yang akan membahaskan usul pada PAU nanti.
 
PAU 2017 akan berlangsung di PWTC mulai 5 hingga 9 Dis depan.-13/11/2017
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 656  tetamu dalam talian