17November2018

Pengumuman kerusi Port Dickson untuk Anwar yang ‘cacamarba’ buka luas pekong pergolakan PKR...

Dalam politik segala macam alasan boleh diberi.Kini kalangan ahli PKR tentu tertunggu tunggu untuk mendengar penjelasan Datuk  Seri Anwar Ibrahim mengenai pengumuman pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson untuk bolehkan beliau bertanding pilihanraya kecil di situ yang dilihat agak ‘cacamarba’.
 
Isunya bukan siapa yang kosongkan kerusi untuknya.Malah pengumuman Ahli Parlimen PKR kawasan itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah sudah dijangka.
 
Sebaliknya acara pengumuman diadakan di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya pada Rabu semalam yang cetus persoalan.
 
Semua orang ada mata dan telinga boleh lihat dan dengar sendiri ‘drama’ pengumuman untuk merintis jalan bagi Anwar ganti Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri nanti.
 
Jadi apa nak hairan kalau Zuraida Kamaruddin Ketua Wanita PKR dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan berani keluar kenyataan desak Anwar tampil mengumumkan pendirian beliau mengenai hal itu.
 
Pada ketika team diketuai Rafizi Ramli dan team Datuk Seri Azmin Ali bergasak sakan dalam kempen pemilihan PKR sekarang…acara pengumuman pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson jelas ‘menceritakan segalanya’.
 
Acara penting itu jelas terbentang dikuasai oleh team Rafizi yang sebelum ini menjadikan tema kempen mereka memastikan Anwar jadi Perdana Menteri dan mempersoalkan kesetiaan Azmin.
 
Selain Danyal Balagopal yang menjadi tuan tubuh yang hendak kosongkan kerusi,beliau diapit oleh Rafizi yang duduk sebelah.

Turut sama Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution dan Ahli Palimen PKRT Sungai Petani Datuk Johari Abdul yang merupakan anggota team Rafizi.
 
Cuma seorang saja orang team Azmin yakni Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dilihat terkebil kebil masuk menyertai sidang akhbar berkenaan.
 
Gara gara kehangatan dalam kempen PKR ,Anwar dan begitu juga isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sudah berkali kali menegaskan tiada team dalam PKR.
 
Biasanya dalam pengumuman penting seperti ini semua barisan pimpinan utama PKR akan berdiri bersama sebagai tanda perpaduan.
 
Azmin selaku Timbalan Presiden tidak ada kerana menghadiri satu forum di Vietnam. Zuraida juga tidak hadir.Begitu juga Tian Chua dan lain lain.
 
Kebetulan Anwar yang pergi ke Hong Kong ketika itu dalam penerbangan pulang.
 
Soalnya kenapa pilih waktu seperti semalam untuk membuat pengumuman itu sedangkan ia bukan mendesak sangat hingga tidak boleh menanti kehadiran pimpinan lain. 
 
Pada Rabu, Naib Presiden PKR Tian Chua telah membidas Rafizi kerana mendakwa bekas Ahli Parlimen Pandan itu merancang pilihanraya kedil untuk Anwar secara rahsia.
 
Ia susulan daripada kenyataan Rafizi bahawa "keputusan penting tidak dibincangkan dengan semua orang dan hanya diselesaikan dengan beberapa orang di kalangan kita".
 
Sejurus sidang akhbar pengosongan kerusi itu,seorang lagi pimpinan PKR yang vokal Latheefa Koya telah membuat kenyataan yang menyengat.
 
Beliau mempersoalkan kenapa isu pilihanraya kecil untuk Anwar tidak dibincang menerusi lingkungan parti dan kenapa ia dirancang secara sulit.
 
“Kenapa tidak maklumkan kepada pimpinan tertinggi kamu.Kenapa biar budak budak kamu berkeliaran lawan dengan siapa saja yang menentangnya.Apa reformasi yang kamu bercakap?Apa demokrasi yang kamu cakap?” katanya.
 
Semua orang sudah tahu bagaimana dalam majlis majlis kempen PKR kebelakangan ini team Rafizi balon sakan khusnsya Azmin dan Zuraida yang didakwa tidak tunjuk semangat jadikan Anwar Presiden parti dan Perdana Menteri.
 
Malah Rafizi dakwa hingga ke hari ini PKR negeri Selangor pimpinan Azmin tidak menyuarakan sokongan terbuka Anwar jadi Presiden.
 
Paling mengejutkan ialah dakwaan beliau Azmin telah pergi ke Turki masa Anwar jalani pembedahan di sana untuk memintanya jangan bertanding jawatan Presiden PKR dan sebaliknya beliau hendakj bertanding.
 
Diatas kertas nampaknya Azmin yang hendak pertahankan kerusi Timbalan Presiden lawan Rafizi kini berada diatas ‘kerusi panas’.
 
Kenyataan Zuraida yang hendak bertanding kerusi Naib Presiden selepas sidang akhbar pasal pengosongan kerusi Port Dickson sudah tentu menghangatkan lagi suasana.
 
Mengikut Zuraida tindakan sesetengah pe­mimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran yang betul dalam membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson, demi memberi laluan kepada Anwar e Parlimen.
 
Beliau menegaskan sepatutnya setiap keputusan yang diambil oleh parti ini perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan daripada seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.
 
“Saya khuatir, sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan dengan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh kelompok tertentu.
 
“Adalah penting untuk seluruh kepimpinan PKR menjunjung tinggi agenda reformasi yang kita perjuangkan selama ini,” katanya.
 
Anwar mungkin boleh main politik untuk ‘cover line’ pergolakan ini namun ia tidak mungkin lagi dapat menutup sepak terajang dalaman yang kritikal sedang berlaku dalam parti itu.-13/9/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 515  tetamu dalam talian