19September2014

Zahid mahu ROS siasat pemilihan CEC DAP

kongresdap513
KEMASKINI  Pendaftar Pertubuhan (ROS) perlu melakukan siasatan berhubung isu pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan lalu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bernama melaporkan Zahid berkata hanya ROS yang boleh menyiasat perkara itu.

"Dan jika didapati ketelusan tidak ada maka mungkin ROS boleh mengeluarkan kenyataan terhadap hasil siasatan itu.

"Itu terpulang kepada ROS untuk mengharamkan DAP atau tidak," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini melaporkan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang diumum 15 Disember tahun lalu dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini berada pada kedudukan 20.

Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Ahmad Zahid mendakwa alasan DAP kononnya berlaku kesilapan dalam pengiraan undi itu adalah bagi membolehkan mereka meletakkan Zairil sebagai wakil Melayu dalam CEC.

"Maka mereka menyusun strategi yang kononnya kiraan undi itu salah selepas tiga minggu (pemilihan). Ini memperlihatkan mereka tidak telus.

"Tetapi kalau pengundian itu dibuat selepas sehari atau dua (hari) mungkin munasabah tetapi apabila media memberikan komen maka mereka cuba untuk mengelirukan keadaan kononnya mengira semula undi," katanya.-6/1/2013


Pemilihan DAP: Tak akan 'oppp silap' saja kot...

Kalender politik DAP tahun baru 2013 dimulakan dengan kisah parti cauvanis itu terbitkan video lawak bodoh dengan meniru klip video paling popular di laman Youtube di seluruh dunia, Oppa Gangnam Style, yang dijadikan 'Ubah Rocket Style'.

Sedutan klip video lawak bodoh itu ada ditayangkan di Kongres Nasional parti tersebut di Pulau Pinang Disember lalu.

Kongres yang dihangatkan dengan pemilihan menyaksikan parti yang perjuangkan 'sama rata, sama rasa' tersebut terus dipimpin oleh dinasti keluarga, Lim, Ngeh dan Karpal.

Sebaik saja keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC)  DAP dimumkan, parti itu dikritik siang malam kerana semua lapan calon Melayu yang bertanding tewas.

Konon pelbagai kaum, macam mana 17 dari 20 anggota CEC DAP terdiri daripada kaum Cina, dua Benggali iaitu Karpal dan anaknya, dan seorang India.

Setiausaha politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari juga tidak terpilih selepas hanya dapat 305 undi dari 1800 perwakilan.

DAP kena kutuk kaw-kaw berhubung isu tersebut, bayangkan, macam mana parti tersebut hendak harap undi orang Melayu pada PRU13 nanti, jika tak ada seorang pun pemimpin Melayu boleh menang dalam pemilihan CEC DAP?

Sebab itu ada teori lain apabila DAP umum silap kira undi dalam pemilihan baru-baru ini, yang mana membawa kepada 'kemenangan semula' Zairil jadi bahan kritikan terbaru pada parti tersebut.

Lawaknya alasan maha hebat DAP punca kepada kesilapan tersebut adalah kesilapan perjumlahan undi yang dikira menggunakan program komputer Microsoft Excel.

Zairil pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20. Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Bagi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  kesilapan tersebut tidak harus dianggap kecil kerana ia melibatkan soal integriti sebuah parti yang mendakwa mereka telus dan adil.

Menurutnya Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP perlu memperjelaskan apakah tindakan meminda keputusan itu, sekali gus mengembalikan wakil Melayu dalam CEC itu, disebabkan agenda tertentu dalam kalangan pemimpin parti itu.

"Walaupun ini mungkin perkara kecil tapi implikasinya amat besar, banyak orang boleh mempertikaiakn integriti, kewibawaan serta ketelusan yang diperjuangkan DAP di mana Guan Eng kena jawab dan jelaskan.

"Mungkin ada agenda lain dalam DAP...mungkin, saya tak mahu nak tuduh tapi dalam banyak calon Melayu yang bertanding ini pula yang menang," katanya merujuk kepada Zairil diketahui umum 'anak didik' Lim Guan Eng.

Manakala penganalisis politik Dr Atory Ahmad Hussain pula, DAP seakan mempunyai agenda tertentu apabila mendakwa terdapat kesilapan teknikal itu.
 
"Oleh kerana tekanan dan juga desakan daripada pelbagai pihak dalam parti dan juga luar parti, tetapi pada saya sudah terlambat hingga hendak menunggu tiga minggu.
 
"Takkan dalam masa tiga minggu itu, tiada satu malam itu pun boleh selesai pengundian dan pengundian tidak semestinya silap saya rasa, jadi tidak ada pembetulan di situ sebab pengiraan undi DAP itu bukannya berjuta-juta, takkanlah hendak kira yang sedikit pun tidak boleh," katanya.

Dr Atory berkata apa jua alasan yang diberikan DAP beliau tetap berpendirian pembetulan keputusan pengundian itu adalah satu helah.
 
"Memang ini satu helah yang saya fikir tetapi benda ini kalau hendak dibetulkan malam itu juga atau keesokannya tetapi ini sudah tiga minggu, nampak sangatlahkan.
 
"Jadi saya rasa DAP mengalami masalah kemelut jugalah untuk hadapi masalah orang Melayu," katanya.

Rasa hairan bin ajaib pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut dikongsi bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang percaya pengakuan DAP tentang kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan parti itu memang sengaja dibuat.

Malah, beliau yakin DAP terdesak membuat pengakuan itu selepas parti tersebut menerima kritikan hebat selepas tiada seorangpun calon Melayu yang mendapat tempat dalam CEC.

Katanya, kalau DAP jujur, parti itu tidak memerlukan masa yang lama untuk membuat pengiraan semula.

"Hari itu juga boleh buat semula. Ini bukan pilihan raya umum tetapi hanya pemilihan kecil dalam parti, parti pun bukan besar sangat," katanya.

Tunku Abdul Aziz menambah, beliau tidak terperanjat langsung dengan pengakuan DAP itu, sebaliknya menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tindakan untuk manipulasi persepsi orang Melayu terhadap parti tersebut.

"Siapa yang pernah berada dalam DAP akan tahu bagaimana kebolehan parti itu memutar-belitkan banyak fakta. Itu aktiviti kebiasaan DAP.

"DAP ingat dengan cara macam ini mereka pandai, tetapi mereka lupa orang Melayu juga tidak bodoh," ujar beliau.

Hari ini, ramai pemimpin DAP mengaku 'merah muka' sebab kejadian tersebut.

Antaranya Karpal yang bagaimanapun tetap mempertahankan 'kejujuran' DAP mengumumkan kesilapan itu.

Bagaimanapun macam perpatah, 'nasi dah jadi bubur', mulai awal tahun 2013 ini dan seterusnya sehingga PRU13, orang akan ingat DAP sebagai parti yang tidak cekap.

Jika pemilihan libat 1,800 perwakilan pun boleh silap kira dan salahkan komputer, macam mana parti tersebut boleh dengan bangga mengkritik SPR yang mengendalikan PRU melibatkan 222 kawasan dengan puluh juta pengundi?

Macam kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, apa yang jadi adalah petunjuk dari tuhan terhadap parti yang sering menjaja kelemahan BN untuk meraih sokongan.

"Mereka tidak tahu kira walaupun tidak sampai 2,000, budak darjah empat pun tahu kira...."ujarnya.

Menurut Nor Mohamed, pindaan keputusan itu menunjukkan DAP tertekan dalam usaha membuktikan ia sebuah parti pelbagai kaum.

Apapun yang orang kata, satu benda yang kita kena angkat topi kepada pemimpin DAP adalah, isu sebesar ini, boleh selamba badak saja kata 'Oppp silap...'.

Bagaimana jika ada calon lain yang kalah bangkitkan, benarkah keputusan keseluruhan pemilihan DAP ini?

Ingat antara yang kalah adalah orang lama Dr Tan Seng Giaw, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, Exco Selangor Ronnie Liu dan ramai lagi.

Jangan-jangan keseluruhan keputusan pemilihan CEC DAP tercemar, sebab itu anak beranak boleh duduk jawatan nombor satu dan dua parti.

Sapa nak jawab... Atau memang, pemimpin yang kalah bertanding dalam DAP ni tak ada 'bola' dan boleh terima penjelasan 'oppp silap' saja.-5/1/2013 OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 460  tetamu dalam talian