25September2017

Pembunuhan Jong-Nam macam cerita spy... plot bertukar setiap jam

Kisah pembunuhan Kim Jong-nam terus menjadi berita paling sensasi di Malaysia. Habis semua sumber dikorek wartawan untuk dapat scoop.

Sekejab laporan media antarabangsa dakwa dua wanita itu sudah mati, kemudian ada pulak kata suspek wanita yang ditangkap orang Myanmar pakai passport Vietnam.

Ini termasuk satu laporan akhbar Cina yang mendapat liputan meluas yang menyiarkan pengakuan suspek wanita yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh berprofil tinggi tersebut.

Suspek wanita Vietnam yang terkenal kerana berbaju putih bertulis LOL itu mendakwa rakan memaklumkan serangan itu hanya satu permainan gurauan (prank), lapor Oriental Daily.

“Mereka beritahu saya ia adalah gurauan (prank), saya tidak tahu ia bertujuan membunuh orang.”

Polis mengenal pasti suspek wanita itu sebagai Doan Thi Huong, 29. Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), kira-kira jam 8.20 pagi Rabu sehari selepas pembunuhan tersebut.

Akhbar itu melaporkan wanita Vietnam itu memberitahu polis, dia dan seorang lagi rakan wanitanya bersama empat lelaki datang ke Malaysia untuk melancong.

Dia mendakwa ketika tiba di klia2, empat lelaki yang datang bersama mereka memberitahu akan mengenakan penumpang dengan gurauan (prank).

Empat lelaki itu kemudiannya mengarahkan mereka menyembur muka Kim Jong-nam dengan sejenis cecair dan menyerkup muka lelaki itu dengan sapu tangan.

Sumber polis berkata, selepas melancarkan serangan, dua wanita itu menaiki teksi meninggalkan klia2, manakala empat lelaki terbabit dibahagikan kepada dua kumpulan turut keluar dari lapangan terbang dan pergi ke sebuah hotel di Salak Tinggi.

Bagaimanapun, suspek yang ditahan polis itu mendakwa rakan wanitanya bersama empat lelaki itu tidak pulang, selepas memaklumkan mereka hendak keluar.

Difahamkan, suspek itu memberitahu polis, dia kembali ke klia2 untuk mencari rakannya sebelum ditahan.

Sementara itu, The Star melaporkan Kim Jong-nam seronok datang ke Malaysia tetapi sentiasa diiringi pengawal peribadi kerana bimbang mengenai keselamatannya, kata seorang pemilik restoran yang mengenali beliau.

"Saya mengesyaki dia mempunyai peranti untuk menjejaskan CCTV. Setiap kali saya memeriksa kamera selepas dia meninggalkan premis, tiada rakaman.

"Dia takut dibunuh, dengan itu dia sentiasa melancong diiringi pengawal peribadi," kata Alex Hwang, warga Korea Selatan yang restorannya sering dikunjungi Jong-nam.

Hwang berkata Jong-nam akan tinggal di hotel bertaraf lima bintang setiap kali dia berada di Malaysia.

"Kadang kala, dia akan membawa isterinya ke sini," kata Hwang sambil menambah Jong-nam telah membawa teman wanitanya dari Singapura ke Malaysia.

Hwang yang juga bekas Presiden Persatuan Korea di Malaysia berkata:"Terdapat banyak restoran di ibu negara tetapi dia gemar berkunjung ke Galeri Starhill kerana kawalan keselamatan di sana."

Katanya, Jong-nam sering melakukan perjalanan ke Singapura, Malaysia dan Macau.

"Keluarganya menetap di Macau. Anak lelakinya sudah kembali ke Macau dari Eropah."

Hwang percaya Jong-nam berada di sini kali ini kerana mempunyai urusan perniagaan atau rakan di Malaysia yang boleh membantunya dari segi kewangan.

"Dia sering mendapat bantuan kewangan dari Kedutaan Korea Utara tetapi tidak lagi selepas bapanya meninggal dunia dan dia hidup dalam buangan.

"Dia mungkin mempunyai beberapa sumber kewangan di sini.

"Saya cuba memujuknya untuk pergi ke Korea Selatan tetapi dia menolak," katanya.

Hwang menyifatkan pembunuhan Jong-nam sebagai perbuatan keganasan.

"Ia dilakukan di tempat awam. Mereka datang ke Malaysia untuk melakukan perkara yang teruk dan kami kini hidup dalam ketakutan," katanya.

Sumber lain berkata Jong-nam kerap berkunjung ke sini antara 2010 dan 2013 apabila sepupunya, Jang Yong-chol merupakan duta Korea Utara ke Malaysia.

"Kemudian, Jong-nam akan tinggal di sebuah rumah dua tingkat di Bukit Damansara.

"Dia akan tinggal di sini selama 10 hingga 15 hari setiap kali perjalanan. Kadang kala bersama keluarganya," kata sumber.

Sumber berkata Jong-nam kerap berkunjung ke pusat hiburan di Bukit Damansara dan berparti di kelab malam di Changkat Bukit Bintang.

Jong-nam berhenti datang ke Malaysia buat seketika selepas Yong-chol dipanggil pulang ke Pyongyang pada Disember 2013 dan menjalani hukuman mati.

Song-thaek dan seluruh keluarganya dihukum mati atas arahan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Sumber itu berkata, Jong-nam tidak kembali ke Malaysia selama setahun tetapi dikesan semula berada di negara ini pada 2015 dan 2016.

Jelas sumber itu lagi, Jong-nam terlibat dalam perniagaan IT, pengedaran perkakasan dan perisian untuk perniagaan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Dia menyedari akan ada percubaan untuk meragut nyawanya dan telah beberapa kali berkunjung ke Kuala Lumpur bersama pengawal peribadi," katanya.-16/2/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 855  tetamu dalam talian