15Ogos2018

Pembunuh pensyarah Palestin dipercayai ada kaitan organisasi perisikan

Kes pembunuhan mengejutkan pensyarah warga Palestin Dr. Fadi Mohammed Al Batsh di Setapak, Kuala Lumpur awal pagi Ahad dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara.
 
Cakap-cakap yang berlegar mengesyaki ia dilakukan oleh ajen Mossad yakni perisik Israel.
 
Dr Fadi ditembak mati pada jam 6 pagi oleh dua orang berkulit putih yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di luar kondominium kediamannya di Medan Idaman,Setapak ketika dalam perjalanan ke surau berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.
 
Allahyarham yang berusia 35 tahun merupakan pensyarah di sebuah universiti swasta tinggal di kondominium itu bersama isteri dan tiga anaknya.
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk seri Dr Zahid Hamidi yang ditemui wartawan di Bagan Datuk kata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Interpol (Polis Antarabangsa) dan Aseanapol (Polis ASEAN) bagi menjejaki dua lelaki itu, yang dipercayai warga Eropah, dengan kadar segera.
 
"Polis akan melakukan siasatan dari semua sudut biar pun mangsa dan suspek merupakan warga asing. Kita berasa kita turut bertanggungjawab (menyiasat dan menangkap suspek) sehingga tertangkap.”
 
Tanpa menyebut secara spesifik pihak yang berkenaan beliau berkata dua suspek yang menembak mati seorang pensyarah warga Palestin itu dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara.
 
Menurut Zahid hasil siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya berlepas ke Turki tengah hari tadi bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa.
 
Beliau berkata mangsa, yang merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan elektrik dan pembuatan roket, dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah perisikan dari negara luar dan aktif dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang memperjuangkan isu Palestin.
 
"Beliau (mangsa) yang merupakan pemastautin tetap di negara ini dipercayai menjadi liabiliti sebuah negara yang bermusuhan dengan Palestin," katanya.
 
"Kita akan memaklumkan perkembangan kes ini dari semasa ke semasa," katanya yang juga Menteri dalam Negeri.
 
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek melepaskan lebih 10 das tembakan dan pemeriksaan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan di kepala dan badan mangsa, yang meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Katanya tembakan bertalu-talu itu jelas menunjukkan suspek memang berniat hendak membunuh mangsa.- 21/4/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 612  tetamu dalam talian