24September2014

BN ada kelebihan hadapi pilihan raya umum - Muhyiddin

bn2
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan beberapa faktor dan kelebihan yang menunjukkan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam kedudukan yang memihak parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka amat mencabar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata kelebihan yang dilihat menyebelahi BN, berbanding 2008 itu, adalah apabila rakyat terus menerus memberi sokongan kepada BN selepas kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi menyeluruh yang memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bernama melaporkan beliau berkata inisiatif dan pendekatan kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memfokuskan usaha membela nasib rakyat amat serasi diterima dan diterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar baru dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), transformasi politik serta tranformasi luar bandar.

"...pelbagai bentuk program yang menjurus kepada masyarakat dengan 111 inisiatif dalam perbentangan Belanjawan 2013 yang menyenaraikan semua lapisan masyarakat mendapat semua faedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-15 di Dewan Masyarakat Keningau, di Keningau, Sabtu.

Beliau berkata usaha itu turut disokong menerusi soal perpaduan kaum yang menjadi teras pembangunan nasional negara yang sentiasa diperkukuhkan malahan tiada perpecahan berlaku walau pun terdapat usaha pihak tertentu merosakkan semangat perpaduan kaum.

Beliau berkata situasi turut jelas positif di mana tiada masalah dalaman antara parti komponen BN yang tidak dapat diatasi dan diselesaikan secara baik.

Antara faktor selebihnya, Muhyiddin berkata pencapaian luar biasa kedudukan ekonomi negara yang berkembang sebanyak lima peratus menerusi program GTP dan peningkatan hasil pelaburan domestik dan antarabangsa.

Katanya, jumlah pelaburan dalam negara lebih besar dan kukuh berdasarkan perkembangan pelaburan domestik dan antarabangsa selain pendapatan perkapita negara meningkat kepada US$9,700 berbanding USS$7,500 pada dua tahun lepas.

"Kalau kita senaraikan, inilah perkara asas yang menunjukkan parti kita bertambah kukuh dan penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri agak jelas dan mendapat respons positif. Bagi saya suasananya amat baik (berbanding 2008)," katanya.

Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata kedudukan BN yang kuat itu harus didorong oleh semangat yang kental bagi kesemua 13 parti komponen BN termasuk parti 'kerdil' seperti PBRS yang harus memainkan peranan besar seumpama parti besar lain.

"Kita harus bertekad BN tidak boleh boleh kalah, sebab itu kita harus bangun dari tidur selepas leka dengan kejayaan-kejayaan dan mungkin sebab kita kerajaan, kita tidak beri perhatian hal-hal rakyat, tetapi kini kita telah turun padang dan membantu masyarakat.

"Tuhan beri kita isyarat dan kita sedar, isyaratnya kalau tidak berusaha, mungkin juga boleh kalah, jadi Umno bangkit dan semua komponen-komponen parti sedar, jumpa, berbincang soal perkukuh parti dan usaha kembalikan keyakinan rakyat," katanya sambil menambah kerajaan berada pada 'lokomatif' betul yang dipandu Najib ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.

Muhyiddin turut mengingatkan anggota parti komponen BN agar jangan 'berperang' sesama sendiri, sebaliknya membantu menjaga hati pengundi, tidak melakukan sesuatu yang menyentuh kehendak mereka, sentiasa mendengar dan menyelesaikan setiap permasalahan pengundi kawasan mereka.

Sambil mengakui beliau di samping Najib dan pemimpin negara lain yang mengamalkan sikap turun padang berjumpa rakyat atas faktor kepastian " kita kekal (sebagai kerajaan) adalah kerana rakyat jelata".

"...sebab itu apa saja kita dengar (peringkat akar umbi) kita beri perhatian. Najib sendiri selepas balik dari lawatan kerja ke negeri-negeri dari Johor mahupun Sabah atau Kedah, beliau akan membuat keputusan dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meluluskan pembinaan sekolah baru, Sekolah Menengah Dalit selain bersetuju membina sebuah gereja di daerah itu.

Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup turut menghadiri jamuan perayaan Krismas dan Tahun Baru di dewan itu.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi daerah ini.-29/12/2012


Pembangkang tak penting...yang penting apa kata rakyat - kata TPM


Kalau dah namanya pembangkang, apa sahaja yang kerajaan buat, walau sebaik manapun, termasuk yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, mereka tetap tidak mengakuinya. Ada masanya, tak cukup dengan menghentam kerajaan, mereka memperkecilkan pula sumbangan penjawat awam dalam kejayaan yang dikecapi negara.
 

"Saya tahu mereka (pembangkang) memperkecilkan kerana mereka tidak menghargai sumbangan penjawat awam kepada kejayaan Kerajaan Barisan Nasional hari ini. Sebagai pembangkang, pastinya mereka tak mahu iktiraf. Ini kerana kalau berbuat demikian, bermakna mereka mengakui kejayaan kita.
 

"Strategi pembangkang biasanya ialah menidakkan kejayaan kita," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin apabila diminta mengulas sikap pembangkang ini kebelakangan ini yang tak henti-henti menidakkan kejayaan negara.
 

Beliau berkata demikian  pada sidang media selepas menghadiri majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik Muda di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Jumaat.
 

Muhyiddin berkata, walaupun segala kejayaan negara dicapai kerana dasar yang diamalkan oleh kerajaan, pemangkin utamanya ialah gandingan kerjasama dengan penjawat awam serta hasil maklumat dan maklum balas yang dikumpul daripada semua sektor maysarakat di negara ini.
 

"Kita tak buat di atas awang-awangan. Kita berdasarkan kepada asas-asas yang kukuh. Sebab itu, bagi saya, tak penting apa yang pembangkang kata. Yang penting, apa rakyat kata terhadap usaha yang kerajaan buat.
 

"Saya percaya pada hari ini rakyat rasa lebih selesa dan merasakan Kerajaan Barisan Nasional lebih fokus menyelesaikan masalah dan membantu mereka. Banyak touch-point yang kita sudah gerakkan mendapat respon yang amat baik.  Jadi, kesan-kesan baik ini bagi pembangkang tak menguntungkan mereka. Sebab itu mereka tak mahu nak iktiraf kejayaan kita.
 

"Kalau dia (pembangkang) bertanggungjawab dan rasional, mana yang baik dia kata baik dan mana berjaya, dia kata berjaya. Kalau tidak baik, dia tegur. Tetapi pembangkang di Malaysia tidak bersikap begitu," katanya.
 

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, ketika krisis kewangan dan kegawatan ekonomi pada tahun 80an dan 90an, kerajaan tidak menjual harta-benda rakyat sebagai jalan penyelesaian.


 

Diminta membezakan ucapannya dengan janji Pakatan Pembangkang yang mahu melelong Putrajaya kononnya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, Muhyiddin berkata, dia tidak fikir pembangkang mempunyai niat berbuat demikian malah menganggapnya sebagai gimik sahaja.
 

"Pembangkang tak akan lelong Putrajaya pasal dia nak duduk di sini. Rasanya itu cuma gimik mereka sahaja. Tapi apapun kita buat segala-galanya kerana kita tahu inilah yang terbaik berdasarkan kepada keperluan dan masa depan rakyat belaka.
 

"Bagi saya, yang penting apa yang kita lakukan. Kita tahu bila dah dekat dengan pilihanraya macam-macam kita difitnah. Memang sejarah telah terbukti dan diakui di peringkat antarabangsa,bahawa inisiatif kita untuk mengatasi krisis kewangan dan kegawatan ekonomi menjadi contoh kepada banyak negara," katanya.
 

Menjawab soalan lain, Muhyiddin menolak anggapan sesetengah pihak bahawa dalam soal membuat dasar kebanyakan keputusan berdasarkan pandangan ahli politik, tanpa mengambilkira pendapat penjawat awam.
 

"Itu mungkin persepsi. Apapun segala proses keputusan baik berkenaan dasar dan program transformasi memang ada rundingan yang agak rapi dan kerap dibuat di semua peringkat, dari peringkat kementerian sehingga kepada pegawai PTD dan banyak pihak."
 

"Ini dilakukan sejak dulu dan hasilnya kita meraih pencapaian yang membanggakan. Ia  tidak akan berlaku hanya kerana seorang menteri membuat keputusan. Contohnya di Kementerian Pelajaran apabila saya diberi tanggungjawab melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
 

"Kita ambilkira pandangan pakar dan banyak proses perbincangan dibuat dengan Ketua Setiausaha (KSU), Timbalan KSU, Ketua Pengarah (KP), Timbalan KP dan bahagian-bahagian pakar dan mahir dalam bidang pendidikan, baharulah kita sediakan platform yang terakhir, iaitu pendapat rakyat.
 

"Ia bukan hasil keputusan seorang ahli politik, tetapi hasil gandingan tenaga dan idea yang kita kumpul dari semua peringkat. Yang penting, kita nilai hasil yang lebih mantap dan banyak kecemerlangan telah dicapai," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.
 

Muhyiddin  selanjutnya mengumumkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dibentang kepada Kabinet Januari ini.


Muhyiddin berkata pelan yang lengkap kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya tahun depan.
 

"Pelan itu yang kini berada di peringkat akhir setelah menerima laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak. Kita sudah banyak membuat perbincangan. Saya fikir tidak ada satu pihak yang terkecuali.  Jadi langkah ini agak komprehensif dan lengkap dan sudah disediakan. Malahan kita tambah baik lagi kalau ada kekurangan kita lihat dalam tempoh dua tiga bulan lepas."
 

Mengenai bantahan pihak tertentu termasuk Persekutuan Persatuanpersatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Muhyiddin berkata kementerian tidak mampu memuaskan hati semua pihak.


"Tetapi kita sudah ambil kira semua. Malah pandangan Dong Zong pun sebahagiannya sudah diambil kira tentang status sekolah Cina, bantuan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.  Bukan tujuan kita menyediakan blue-print untuk puaskan Dong Zong, tetapi yang penting memuaskan rakyat," katanya. - 28/12/12.- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 569  tetamu dalam talian